Ada tak anak muda yang minat dengan bidang pertanian?
Ada tak usahawan tani antara kalangan anak muda?
Mungkin ada yang dah biasa melihat tanaman sayuran datuk atau nenek kita di sekitar kawasan rumah, lebih-lebih lagi di kampung.
Mereka menanam tanaman seperti cili, serai dan daun pandan untuk kegunaan sendiri. Nak masak, terus petik sahaja.
Dalam kita memetik cili, mungkin terlintas difikiran kalau jual secara komersial, boleh jadi sumber pendapatan.
Tak rugi jika kita berbudi kepada tanah. Pertanian juga adalah perniagaan!
Sumbangan sektor agromakanan kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) meningkat dengan kadar pertumbuhan 6.8 peratus kepada RM51.3 bilion pada tahun 2020 berbanding RM28.3 bilion pada tahun 2011.
Bagi subsektor tanaman masih kekal sebagai penyumbang utama iaitu RM24.1 bilion berbanding dengan subsektor lain di bawah sektor agromakanan.
Bagi yang mahu berjinak-jinak sebagai usahawan tani, jom lihat tip ini.
5 tip untuk usahawan tani dalam bisnes pertanian
1. Bermula kecil dahulu
Jika tidak mempunyai pengalaman mengusahakan tanaman, anda perlu memulakannya pada skala yang kecil dahulu.
Anda juga perlu memaahami karakter tanaman, keperluan baja, kawalan penyakit dan lain-lain.
Sebagai contoh, apabila kita bermula pada skala yang besar, risikonya juga besar. Sekiranya gagal, kita akan rugi besar dan mengambil masa untuk bermula kembali.
Oleh itu, anda perlu bermula dengan skala yang kecil meletakkan kita berada dalam risiko yang boleh dikawal.
Apabila sudah yakin dengan pelaburan skala kecil yang sudah memberikan pulangan, kembangkan ke skala besar.
2. Mulakan Apa Di Tangan
Bermula dengan apa yang ada di tangan anda seperti yang sering disarankan oleh Mentor Usahawan, Datuk Wira Dr Azizan Osman. Maksud beliau, apa yang mudah dan kita tahu buat.
Jangan mulakan bisnes pertanian dengan pinjaman. Bank-bank juga tidak memberi pinjaman kepada mereka yang masih baru tanpa cagaran tanah. Sekiranya mencagarkan tanah dan perniagaan kita gagal, bank akan mengambil alih tanah tersebut kerana tidak mampu untuk membayarnya.
3. Rakan strategik
Anda juga boleh melakukan bisnes pertanian dengan bekerjasama dengan rakan strategik sekali gus dapat mengelakkan dari membuat pinjaman dengan bank.
Pada masa sama, anda boleh berkongsi kepakaran dan pengetahuan.
4. Tempoh penanaman
Tanaman kontan (cash crops) ialah tanaman seperti sayur-sayuran, buah-buahan atau ubi dan tanaman herba yang mempunyai tempoh penanaman yang singkat seperti cili, kacang panjang, pisang, ubi kayu, ubi keledek, keladi, misai kucing, stevia, serai wangi, mas cotek, dan halia.
Tempoh penanaman menjadi salah satu faktor yang penting kerana lagi cepat proses dari penanaman ke penuaian, lagi cepat proses untuk pusingan modal.
Tempoh penanaman sehingga tuaian untuk sayuran berdaun seperti bayam, kangkung dan sawi adalah purata 30 hari.
Manakala bagi sayuran berbuah seperti cili adalah 6 bulan (tanaman secara fertigasi).
5. Bekalan berterusan
Kebiasaanya hasil tuaian ketika musim perayaan adalah lebih tinggi berbanding dengan musim-musim lain.
Oleh itu, waktu memulakan tanaman perlu dikira dari tarikh musim harga tinggi ke belakang.
Selain itu, anda juga boleh fokus kepada strategi bekalan berterusan tanpa memikirkan harga turun naik pasaran.
Ini penting untuk mendapat kepercayaan daripada pelanggan anda dengan bekalan yang sentiasa ada.
6. Teknologi
Produktiviti dan hasil pertanian dapat ditingkatkan lagi melalui penggunaan teknologi pertanian pintar seperti precision farming, internet of things (IOT), big data, artificial intelligence (AI), blockchain serta dron bagi aktiviti pemetaan, taburan benih, semburan racun dan baja.
Penggunaan teknologi dapat menyumbang kepada peningkatan kualiti serta kuantiti hasil tanaman seterusnya meningkatkan produktiviti secara keseluruhan.
Langkah ini seiring dengan matlamat utama Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) dan Jabatan Pertanian untuk menjadikan sektor agromakanan sebagai suatu industri yang mampan, berdaya tahan dan berteknologi tinggi yang dapat memacu pertumbuhan ekonomi dan meningkatkan kesejahteraan rakyat serta mengutamakan sekuriti dan nutrisi makanan
Tidak kira anda berniaga apa, jangan lupa tambah ilmu pernigaan. Contohnya ilmu kepimpinan untuk menguruskan pekerja. Ilmu mengenai aspek lain mesti diberi perhatian juga, barulah perniagaan anda dapat berkembang pesat dan meraih hasil yang diimpikan. InsyaAllah.