Niat di hati hanya ingin memperbaiki diri dari segi rohani selepas menerima pelawaan kawan yang mengajak beliau ke program Intensif Magnet Kekayaan dan Kejayaan (IMKK) anjuran RichWorks International. Tidak terlintas langsung di fikiran Siti Hajar Mohd Tahir untuk terlibat dalam dunia bisnes.
Bermula dari ayat ‘mulakan apa yang ada di tangan’ menjadi pencetus kepada pemilihan beliau untuk mengubah hidup. Beliau yang minat dan mahir dalam bidang memasak, mula mendapat idea untuk keluar dari nasib beliau yang hidup dalam keadaan susah. Bekerja di merata tempat, beliau akhirnya memutuskan untuk menjadi seorang usahawan.
KD Supply and Services atau KD Food yang diusahakan oleh Siti Hajar, kini meluaskan empayar di seluruh Malaysia dengan membantu mereka yang memerlukan makanan sedap khususnya kudapan tradisional tanpa perlu berpenat untuk menyediakannya.
Produk ‘Frozen Food’ terutamanya karipap pusing oleh KD Food menjadi pilihan para suri rumah kerana keranggupan yang tahan pada masa yang lama dari pagi hingga ke petang.
Menjadikan sistem ejen dan stokis sebagai bisnes model, Siti Hajar berjaya membawa bisnes beliau ke tahap yang lebih tinggi dan meraih hasil jualan sebanyak RM 1.24 Juta pada tahun 2023.
1.Tabiat membawa produk kemana-mana
“Tabiat saya dari dulu sampai sekarang ialah bawa karipap ke mana-mana, goreng dalam 20 biji dan bagi orang rasa”
Tidak kira di mana sahaja beliau berada, Siti Hajar menjadikan tabiat beliau dalam membawa karipap pusing yang telah disiap goreng hampir kemana-mana sahaja untuk memberi orang rasa makanan yang dihasilkan oleh beliau.
Beliau sendiri sebagai seorang yang gemar memasak, tidak suka menghasilkan sesuatu yang tidak berkualiti. Tambahan pula apabila ingin menyediakan kepada orang. Walaupun bisnes semakin maju, Siti Hajar mempraktikkan strategi ini sebagai perkara harian agar dapat meluaskan lagi pengenalan produk beliau di mata orang ramai.
Siti Hajar juga dapat memahami lebih akan keperluan di pasaran. Sebagai contoh, ada pelanggan yang suka inti ikan bilis manakala ada yang lebih gemar akan inti ubi kentang dalam karipap. Ini sahaja sudah membuka peluang baru sekiranya beliau ingin mengeluarkan macam-macam jenis inti pada masa hadapan nanti.
Dengan menguji pasaran untuk melihat kesesuaian produk mereka dengan keperluan dan citarasa pelanggan di pelbagai kawasan, ini membolehkan KD Food untuk membuat penyesuaian dalam strategi pemasaran untuk meningkatkan keberkesanan operasi mereka.
2.Pengwujudan ‘SOP’ inti makanan
“Bila kita dah capai tahap kepuasan orang ramai, kita kena ada SOP supaya kualiti produk tu kekal dan tidak jatuh. Susah kita nak hasilkan balik sesuatu berkualiti kalau tiada panduan”
Mewujudkan ‘Standard of Procedure’ (SOP) dalam produk makanan adalah penting kerana ia membantu memastikan konsistensi, keselamatan, dan kualiti.
SOP menyediakan panduan yang jelas kepada pekerja dalam semua peringkat pengeluaran, memastikan bahawa setiap langkah dalam proses makanan dipatuhi dengan teliti. Ini membantu mengurangkan risiko kesilapan dan meningkatkan kecekapan operasi keseluruhan.
SOP juga membantu memastikan keselamatan makanan dengan menetapkan garis panduan yang ketat untuk pengendaliannya. Ini penting untuk mematuhi peraturan kesihatan serta keselamatan makanan untuk melindungi pelanggan dari risiko makanan yang tidak selamat.
Itulah yang dilakukan oleh Siti Hajar untuk makanan sejuk beku yang dihasilkan. Sebelum ini kalau beliau menggunakan air tangan sendiri, beliau tidak dapat ukur dengan tepat kerana kadang kala akan membuat kesilapan dalam proses pembuatan makanan.
Beliau kini telah pun mempunyai sebuah kilang kecil menggunakan SOP yang ada dan tidak perlu lagi risau tentang isu yang menjejaskan kualiti produk.
3.‘Ranggup sampai ke petang’
“Sebagai seorang yang minat dan mahir dalam memasak, saya memang teliti dengan kualiti makanan. Sebagai usahawan pula, saya cari faktor perbandingan yang pelanggan selalu buat bila nak membeli”
Unique Selling Proposition (USP) bukanlah perkara baru bagi mereka yang berada dalam dunia bisnes. Ciri unik yang membezakan produk daripada pesaing dalam pasaran ini termasuk produk itu sendiri, harga, kualiti, dan keselesaan yang memberi nilai kepada pelanggan.
KD Food selain menekankan keenakkan makanan yang dimasak, memberi nilai tambah dalam ketahanan makanan yang masih ranggup hingga ke petang, berbanding produk jenama lain yang mempunyai isu untuk menghasilkan karipap yang tidak cepat lemau.
Ini sahaja telah meyakinkan pelanggan yang ada kerana melihat KD Supply sebagai jenama yang dapat mencipta makanan makanan sejuk beku berkualiti tinggi tanpa perlu mengorbankan rasa. Seiring dengan SOP yang diwujudkan, Siti Hajar menggunakan kekuatan keranggupan produk karipap pusing beliau untuk sentiasa kekal bermutu tinggi.
Biografi Siti Hajar
Dari kecil hingga dewasa, Siti Hajar tidak pernah merasa kehidupan yang senang lenang. Dilahirkan dari keluarga petani miskin yang sangat susah di Bachok, Kelantan, beliau seringkali mengimbas semula sewaktu beliau terpaksa berhenti sekolah semasa berada di Tingkatan 5. Beliau ingin memberi laluan untuk adik untuk menyambung belajar kerana ibu dan ayah beliau tidak mampu menampung pembiayaan sekolah anak-anak mereka.
Bagi mencari pendapatan sendiri dan membantu orang tua beliau, Siti Hajar mula bekerja sebagai pekerja kilang di Bangi, Selangor. Tidak lama kemudian, rezeki datang apabila beliau dapat menyambung belajar di Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) dan Institut Kemahiran Tinggi Belia Negara (IKTBN). Beliau juga seorang graduan dari Universiti Utara Malaysia (UUM) dengan pengambilan Executive Diploma in Business Management.
Beliau kemudian bekerja di syarikat swasta selama berpuluh tahun sehinggalah pada tahun 2018. Mengenangkan nasib diri yang tidak mampu untuk membeli rumah dan tidak dapat memberi kesenangan kepada ibu pada umur 40 tahun, beliau tekad untuk bangkit menjadi usahawan luar biasa.
Dari hanya menghadiri kelas percuma, IMKK ke Millionaire Marketing Mastery (MMM) dan kemudian ke Program Mentorship SPIRE hingga penyertaan beliau ke Program Mentorship TITANIUM, Siti Hajar kayuh dari tiada aset yang dimiliki hingga dapat membeli rumah, mempunyai kilang serta dapat membahagiakan orang sekeliling dengan hidup yang bebas pilihan, masa dan kewangan.