Rasa penat berulang-alik dari tempat kerja ke rumah kediaman membuatkan pasangan suami, Sri Krishna Subramaniam dan Sudha Devi bertekad untuk mengusahakan perniagaan sendiri.
Sudah lima tahun beroperasi, jenama Kytee Herbals terus menawan hati pencinta dunia kecantikan dengan produk kosmetik dan penjagaan wajah yang selamat dan 100% semula jadi.
“Saya dan suami pada asalnya merupakan bekas pegawai bank. Saya mahu mulakan bisnes tapi mahukan perniagaan yang boleh bermula dari rumah agar mudah untuk menjaga anak-anak di samping menjana pendapatan.
“Kebetulan pula waktu itu sedang tular perniagaan dalam talian, jadi atas sebab itulah saya pilih bisnes ini,” ujar pengasas Kytee Herbals, Sudha Devi atau mesra dipanggil Madam Sue.
Tambahnya lagi, beliau memulakan bisnes pada 2016 dan melakukannya secara bersendirian kerana pada waktu itu suaminya masih bekerja di ibu kota.