MAHU KAUM HAWA CANTIK BERSAMA
Pencinta sejati dunia kecantikan pastinya kenal dengan jenama solekan terkenal negara, Obsess Cosmetics.
Ditubuhkan sekitar enam tahun lalu iaitu pada 2016, Hafizatul Atikah Mohd Fauzi atau Atikah kini boleh berbangga dengan kejayaan yang dikecapi apabila produk keluarannya semakin mendapat tempat di hati peminat dari hari ke hari.
Memulakan kerjaya sebagai pegawai bank selepas menamatkan pengajian di Universiti Islam Antarabangsa (UIA), Atikah kemudian mengambil keputusan untuk berhenti dan menjadi jurusolek sepenuh masa.
“Oleh kerana saya suka lihat orang jadi cantik, maka di situlah tercetusnya idea penciptaan Obsess Cosmetics ini.
“Warna ungu menjadi pilihan warna tema kerana ia sangat comel dan namanya juga dipilih agar orang boleh teringat-ingat, terasa ‘obses’ dengan produk kami,” jelasnya.
Tambah Atikah, dunia kecantikan memang sebati dengan dirinya sejak dari dulu lagi.
Menjadi jurusolek memang menyeronokkan kerana waktunya yang fleksibel namun beliau juga ingin mencari suatu jaminan dalam dunia perniagaan.
Beliau juga mempunyai misi ingin membantu para wanita menjadi lebih yakin di samping dapat menjana pendapatan bagi meningkatkan ekonomi keluarga.