Kalau sebut saja tentang Zai Sri Gemilang, pasti anda akan mula terkenangkan keenakan hidangan yang disajikan sewaktu acara majlis perkahwinan yang dihadiri.
Aromanya yang membangkitkan selera pasti membuatkan sesiapa saja yang menikmatinya teringat-teringat akan rasanya yang lazat itu.
Ya, servis katering yang ditawarkan sememangnya tidak dapat dipisahkan dengan majlis perkahwinan bahkan menjadi pilihan utama kebanyakan bakal mempelai di Malaysia ini untuk dihidangkan buat tetamu di hari bahagia mereka.
Sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Zai Sri Gemilang Sdn. Bhd., Norhafizah Abd Karim kini boleh berbangga dengan perkembangan bisnes legasi keluarganya yang mula diusahakan sejak dari tahun 2004 ini.
“Sebenarnya, perniagaan ini bermula daripada sebuah restoran di Seksyen 8, Shah Alam. Emak saya mula kembangkannya dalam bidang katering kerana arwah datuk saya memang buat perkhidmatan tersebut di Kluang, Johor.
“Dulu, emaklah yang pergi ke pasar dan menjadi tukang masak manakala saya pula menjadi juruwang di restoran tersebut,” kongsinya yang memiliki tiga cawangan restoran dan kafe di Shah Alam, Selangor.