Usahawan

Usahawan atau dalam bahasa Inggerisnya disebut sebagai “entrepreneur” merupakan satu istilah yang digelarkan kepada mereka yang memikul satu tugas besar. Contohnya, mereka mengusahakan sebuah perusahaan membangun dengan kapasiti yang besar. Itu yang membezakan antara usahawan dan peniaga.

Oleh itu, sering kita lihat di luar sana bagaimana usahawan sentiasa tampil dengan produk dan idea baru secara berterusan. Itu adalah salah satu perkara luar biasa yang sering dilakukan oleh mereka untuk memastikan perusahaan yang dijalankan kekal relevan dan membawa keuntungan secara berpanjangan.

Ini antara perkongsian kami berkenaan “Usahawan”:

Ramai orang keliru dengan penggunaan istilah usahawan dan peniaga. Antara usahawan dan peniaga, ada perbezaannya yang anda perlu tahu. Jadi, jangan salah faham dan perlu berhati-hati dalam menggunakan istilahnya.

Siapakah usahawan yang anda kagumi? Tidak kira usahawan tanah air atau usahawan luar negara. Jika mereka dapat memberikan gambaran yang baik untuk diikuti, mereka wajar dijadikan contoh. Antara usahawan luar negara yang popular sehingga sekarang adalah Oprah Winfrey, Walt Disney, Steve Jobs, Bill Gates dan ramai lagi. Banyak nilai dan pengajaran yang anda boleh belajar dari setiap individu tersebut.

Perbezaan antara usahawan dan peniaga dapat dilihat dalam pelbagai dimensi. Antaranya adalah dari segi peranan, perkembangan perniagaan serta sumbangan. Ketiga-tiga dimensi inilah yang digunakan untuk membezakan mereka.

Peranan

Usahawan amnya terlibat dengan lebih terperinci dalam proses jual beli barang, pemprosesan dan juga perkhidmatan. Usahawan juga sentiasa mengenalpasti peluang dan berinovasi bagi sentiasa menghasilkan idea baru dalam penciptaan produk.

richworks usahawan 2

Manakala peniaga hanya fokus kepada perniagaan dari segi promosi serta kualiti. Kebanyakan peniaga mendapatkan produk yang sedia ada di pasaran untuk dipasarkan.

Pengembangan Perniagaan

Usahawan sudah semestinya perlu ada cita-cita serta kemahuan yang tinggi kerana mereka yang bertanggungjawab memikul harapan pekerja dan pembeli di luar sana. Tengok saja berapa bilangan pekerja dan agent yang berdaftar, sudah tentu mereka perlu lebih maju kehadapan!

Sumbangan

Apabila sudah bergelar usahawan, sudah pastinya banyak sumbangan yang boleh diberikan hasil daripada keuntungan yang diperolehi. Oleh sebab itu anda dapat lihat ramai usahawan di luar sana menjalankan tanggungjawab sosial kepada masyarakat. Sekaligus ekonomi negara juga semakin baik dengan wujudnya ramai usahawan berjaya yang menjalankan tanggungjawab.

Peniaga juga ada tidak kurang hebatnya. Akan tetapi, peniaga lebih fokus terhadap tanggungjawab sosial dan bukan orientasi.

Mereka yang telah bergelar usahawan sudah semestinya mempunyai peranan yang tertentu bagi memberikan impak kepada pertumbuhan ekonomi. Mereka ini sudah tentunya menjadi inspirasi kepada ramai orang di luar sana. Termasuk juga anda. Siapakah usahawan yang anda kagumi?

Menjadi seorang usahawan juga ada peranannya yang tersendiri, contohnya dalam sesebuah organisasi mikro. Antara peranan utama usahawan adalah mereka perlu sentiasa menyumbang idea dan melakukan pembaharuan dari masa ke semasa.

Mereka juga merupakan orang penting yang perlu merancang kejayaan sesuatu produk. Proses pengurusan, pemprosesan, pengeluaran dan pengedaran antara yang perlu diberikan perhatian.

Di samping itu, usahawan juga perlu cepat bertindak bagi menangani sesuatu masalah serta ketidakpastian yang timbul. Justeru itu, tanggungjawab yang dipikul sebagai seorang usahawan perlu dibuat sehabis baik.

Jika seseorang usahawan itu mampu menjalankan peranannya dengan cekap dan teratur, sudah tentu hasilnya akan berganda-ganda. Oleh sebab itu, seperti yang anda dapat lihat di luar sana begitu ramai usahawan menjadi tonggak utama kepada ekonomi.

richworks usahawan 4

Masyarakat

Contoh yang sudah ada di depan mata, banyak sumbangan usahawan kepada masyarakat khususnya di negara kita. Antaranya adalah mereka banyak menawarkan peluang pekerjaan sekaligus mengurangkan kadar pengangguran di Malaysia.

Jika tidak bekerja bersama organisasi syarikat, masyarakat berpeluang mencari rezeki dengan menjalan bisnes melalui peluang yang diberikan contohnya menjadi agent dan stokist produk-produk tertentu. Dengan peluang yang diterima, ia dapat meningkatkan taraf hidup masyarakat.

Selain itu, usahawan mempunyai kelebihan untuk menggunakan harta dan keuntungan ke arah kebaikan dengan melakukan tanggungjawab sosial kepada masyarakat. Usaha murni seperti ini menjadikan usahawan sentiasa mendapat tempat di hati masyarakat.

Negara

Tidak terkecuali, usahawan antara faktor terbesar yang menjadi pemangkin kepada pembangunan negara. Sumbangan usahawan antaranya mempelbagaikan ekonomi negara dengan kepelbagaian sektor yang diceburi.

Justeru itu banyak peningkatan yang berlaku antaranya dari segi pendapatan perkapita negara, produktiviti, cukai dan zakat. Lagi banyak keuntungan, lagi banyak sumbangan dapat disumbangkan. Ini sama sekali tidak akan membawa kerugian kepada mereka, malahan ianya merupakan satu bentuk keberkatan.

Sudah terang lagi bersuluh, usahawan antara individu yang banyak memberikan sumbangan kepada masyarakat dan negara.

Menjadi seorang usahawan bukanlah satu pencapaian yang mudah, sudah tentu ada cabaran tersendiri yang perlu dihadapi. Kalau tidak berani untuk berhadapan dengan cabaran, karier “usahawan” mungkin tidak sesuai untuk anda.

Berikut antara cabaran yang sering dihadapi oleh para usahawan di luar sana:

Persaingan

richworks usahawan 5

Dalam melakukan apa sahaja di dunia ini, ada saingannya. Sama juga seperti usahawan. Amat mencabar lagi jika pesaingnya begitu ramai. Namun, tidak semua pesaing memilih untuk bersaing secara sihat. Oleh sebab itulah usahawan perlu memainkan peranan dengan bijak.

Ilmu yang ada di dalam diri mereka untuk bersaing yang akan menentukan tahap prestasi syarikat. Oleh sebab itu lah jika mahu lebih berjaya dan berstrategi, mereka tidak boleh malu untuk sentiasa mencari ilmu dan dibimbing.

Kewangan

richworks usahawan 6

Ini juga antara masalah yang sering menimpa para usahawan di luar sana. Ada di antara mereka yang menghadapi cabaran kos yang tinggi, masalah ini selalunya datang tanpa diduga. Selalunya disebabkan oleh kerosakan peralatan, bayaran cukai, kos bahan serta kemungkinan-kemungkinan yang lain.

Justeru itu, sediakan payung sebelum hujan. Pastikan pengurusan kewangan anda sentiasa berada di tahap terbaik. Lagi bagus kalau ada tabung kecemasan. Baru lah tak terkejut bila masalah melanda.

Pembekal

Masalah pembekal merupakan satu cabaran yang perlu dielakkan oleh usahawan. Ia mampu menggugat prestasi serta kepercayaan pengguna dan pekerja yang bergantung rezeki bersama syarikat. Masalah ini tidak seharusnya timbul jika anda sudah bergelar usahawan.

Antara masalah yang sering dialami berkaitan pembekal adalah gagal mendapatkan bekalan bahan mentah, kualiti bahan yang tidak konsisten serta kesukaran mendapatkan tenaga kerja yang mahir. Ekoran itu, kos latihan yang tinggi perlu dikeluarkan untuk menghasilkan tenaga kerja yang mahir ekoran masalah bekalan pekerja.

Sememangnya tidak mudah untuk kekalkan momentum jika syarikat sudah semakin besar. Oleh itu, usahawan perlu tahu cara untuk mengatasi cabaran tersebut agar prestasi syarikat sentiasa berada di tahap terbaik.

Antara usahawan-usahawan yang sudah berjaya di Malaysia adalah MamaSab, Hasnuri dan Das Abdul Global. Sebut sahaja brand mereka, anda semua pasti kenal dan tahu apa yang mereka jual. Itulah yang menentukan tahap kejayaan sesebuah syarikat. Orang kenal hanya melalui brand.

richworks usahawan mamasab logo

richworks usahawan hasnuri logo

richworks usahawan Das Abdul

Mereka juga sama seperti anda yang bermula dari bawah, dengan tindakan dan azam yang tinggi mereka sudah menjadi usahawan berjaya. Contohnya, MamaSab.

Lihat saja pencapaian jualannya pada tahun 2020, RM102.6 juta. Ini adalah hasil usaha dari kepelbagaian idea dan strategi dalam memastikan produk syarikat kekal menjadi pilihan di mata pengguna.

Usahawan juga tidak akan tergugat jika mereka bijak menghasilkan sesuatu dengan perancangan teliti. Erti kata lain, jika fikir pasal kek orang di luar sana hanya kenal brand dan produk mereka sahaja. Selain itu, perkembangan perniagan secara mendadak dan konsisten menjadi kunci kepada kejayaan mereka.

Perjalanan membina empayar MamaSab, Sabella, Das Abdul Global serta usahawan-usahawan lain wajar dicontohi. Siapa sangka dahulunya mula secara kecil-kecilan kini sudah mampu bergelar jutawan.

Antara usahawan lain yang ingin kami tonjolkan adalah Sabella dan Hasnuri. Mereka antara unsung hero usahawan baju kurung yang sangat menonjol melalui perjalanan bisnes mereka. Semangat waja dan sikap tidak mudah putus asa yang meletakkan mereka di tahap ini.

Keringat sebagai seorang usahawan pasti tidak akan terhasil dengan adanya bantuan yang tersedia daripada pihak kerajaan dan institusi kewangan.

Mereka yang mahu mengembangkan perniagaan mereka secara meluas sering menggunakan manfaat ini. Idea yang inovatif dan kreatif memudahkan lagi peluang usahawan untuk menerima dana. Berikut kami kongsikan antara beberapa jenis bantuan perniagaan dan dana yang terdapat di Malaysia: 

TERAJU

TERAJU merupakan sebuah perbadanan yang bernaung di bawah Jabatan Perdana Menteri. Ia berperanan membantu dan memberi galakan kepada usahawan bumiputera di Malaysia untuk bersaing di dalam perniagaan.

Pada Jun 2018 sahaja TERAJU telah memberikan dana sebanyak RM14.8 bilion kepada para usahawan. Bantuan daripada Teraju masih berterusan sehingga kini.

TEKUN

richworks usahawan tekun

Terdapat sebuah agensi di bawah Kementerian Pembangunan  Usahawan dan Koperasi yang dikenali sebagai TEKUN. Agensi ini telah banyak memberikan bantuan pembiayaan kepada syarikat dan perniagaan.

Antara skim yang TEKUN tawarkan adalah Skim Pembiayaan Tekun Niaga, Skim Pembiayaan Teman Tekun, Skim Pembiayaan Program Temannita dan Skim Pembangunan Usahawan Masyarakat India (Spumi).

MARA

richworks usahawan MARA

Majlis Amanah Rakyat Malaysia (MARA) juga tidak terkecuali dalam usaha membangunkan usahawan di dalam negara. Mara lebih mengutamakan pembangunan ekonomi bagi golongan bumiputera di kawasan luar bandar.

Antara skim yang ditawarkan oleh pihak MARA adalah Skim Pembiayaan Peningkatan Perniagaan (SPiM), Skim Jaminan Usahawan Mara (SJUM) dan Mara Entrepreneur Guarantee Scheme (MEGS). Skim-skim tersebut bernilai lebih RM250,000 hingga RM2,000,000.

Selain daripada tiga agensi di atas, banyak lagi pihak lain yang menyediakan pembiayaan serta dana buat usahawan membangunkan dan mengembangkan perniagaan. Bantuan usahawan yang diberikan perlulah digunakan dengan sebaiknya agar dapat memberi manfaat buat masyarakat dan negara.

Oleh sebab itu, untuk menjadi seorang usahawan banyak liku yang perlu dilalui. Tanggungjawab sebagai seorang usahawan amat berat untuk dipikul. Usahawan berjaya sering menjadi role model dan contoh buat mereka di luar sana.

Hanya mereka yang cekal, berpengalaman dan berilmu sahaja boleh bertahan lama.

Anda pun mahu jadi seperti mereka? Mulakan dahulu dengan bina bisnes berjaya. Tidak mustahil giliran anda pula untuk jadi usahawan berjaya pada suatu hari nanti.