Sediakan Rancangan Perniagaan Anda

Rancangan Perniagaan adalah satu dokumen perniagaan yang merangkumi selok belok sesebuah perniagaan / syarikat yang merangkumi informasi pemilik, sasaran pemasaran, latar belakang syarikat, keperluan modal, unjuran keuntungan dan banyak lagi yang akan kami terangkan untuk anda di sini.

Selain dari untuk merekodkan informasi penting, dokumen Rancangan Perniagaan juga penting sebagai rujukan pemberi dana, pelabur atau organisasi perbankan untuk pinjaman. Rancangan Perniagaan yang lengkap mampu menarik rakan kongsi dan pelabur apabila mereka yakin dan nampak dengan jelas pulangan yang mereka akan dapat dari bisnes anda.

Antara kepentingan lain Rancangan Perniagaan adalah:

  • Menjadi blueprint / panduan sebelum mahupun selepas sesuatu projek atau operasi perniagaan yang dijalankan.
  • Mampu menjadi kajian pasaran sama ada sesuatu perniagaan mampu berdaya saing atau sebaliknya.
  • Meyakinkan institusi kewangan dan pelabur yang mampu memberi pinjaman berdasarkan dokumentasi di dalam Rancangan Perniagaan yang lengkap.
  • Pemilik sendiri boleh membuat rujukan dan penilaian dari projek atau aktiviti perniagaan dari sudut teknikal dan kewangan.

Bagi menyediakan Rancangan Perniagaan yang lengkap, ia mestilah mempunyai:

  1. Jadual kandungan / muka surat

Seperti sebuah buku yang teratur, Rancangan Perniagaan perlu mempunyai jadual kandungan untuk rujukan muka surat yang memudahkan pembaca dan pemerhati sasaran melangkau dan mencari maklumat yang diperlukan

  • Ringkasan / Sinopsis

Menerangkan secara ringkas dan serba sedikit tentang perniagaan yang sedang atau bakal dijalankan dan juga tujuan sesebuah perniagaan.

  • Tujuan Penyediaan Rancangan Perniagaan

Perlu dinyatakan secara jelas apakah tujuan Rancangan Perniagaan ini samaada untuk mendapatkan pelaburan atau pinjaman. Mungkin juga ia bertujuan untuk mendapatkan projek baru bagi mengembangkan perniagaan atau sekadar dokumen rujukan mana-mana usahawan lain.

  • Latar Belakang Syarikat

Apakah nama perniagaan, alamat, nombor telefon dan apakah bentuk perniagaan tersebut. Bayangkan seperti resume, namun ianya menerangkan secara jelas sesebuah syarikat atau perniagaan ditubuhkan. Ini bermakna, ia perlu mempunyai tarikh penubuhan, nombor pendaftaran dan modal sebenar sewaktu ia bermula.

  • Latar Belakang Pemilik / Pemegang Saham

Butir-butir pemilik dan pemegang saham seperti nama, kelulusan akademik, nombor telefon perlu dinyatakan di sini. Rancangan Perniagaan yang menarik juga perlu menyatakan pengalaman mereka bagi meyakinkan pembaca dan mereka yang merujuknya.

  • Maklumat Pengurusan Dan Organisasi

Apa visi dan misi syarikat? Nyatakan dan tampilkan dengan menarik supaya matlamat syarikat anda jelas. Bagi organisasi, anda boleh meletakkan carta yang tersusun dan kemas supaya gambaran pengurusan syarikat kelihatan teratur. Nyatakan jawatan mereka dalam organisasi beserta tugas dan peranan.

  • Rancangan Dan Strategi Pemasaran

Bahagian ini sangat penting dalam Rancangan Perniagaan anda. Analisis harus dibuat dan disampaikan dengan jelas di sini. Rancangan Pemasaran yang memaparkan strategi yang baik akan menggambarkan masa depan produk atau projek yang dicadangkan atau sedang dibuat. Nyatakan bagaimana penyimpanan bahan mentah, teknologi, berapa ramai tenaga kerja terlibat, halangan serta penyelesaian yang telah dilakukan.

  • Rancangan Kewangan

Ini adalah satu lagi topik penting yang perlu ada dalam Rancangan Kewangan anda. Ia mampu menggambarkan analisis berkaitan pasaran secara realistik. Rancangan kewangan perlu mengandungi kos, modal, sumber pembiayaan, aliran tunai, penyata pendapatan dan analisis pulangan modal.

Jika anda memerlukan idea untuk menghasilkan Rancangan Perniagaan yang menarik, anda boleh merujuk pada template atau contoh yang ada di laman web. Pada zaman yang mengutamakan IT, banyak syarikat yang memperkenalkan Rancangan Perniagaan mereka secara ringkas di laman web masing-masing.



Leave a Reply