Sedekah Buka Pintu Rezeki

Amalan sedekah dengan kita menyumbangkan sebahagian daripada harta yang ada pada jalan Allah bagi mencari keredhaan-Nya akan dibalas dengan berlipat kali ganda.

Sesungguhnya Allah akan membalas dengan lebih banyak lagi kepada orang yang bersedekah dan infak kepada golongan asnaf dan orang yang memerlukan.

Seperti mana dalam firman Allah SWT:

مَّثَلُ الَّذِينَ يُنفِقُونَ أَمْوَالَهُمْ فِي سَبِيلِ اللَّـهِ كَمَثَلِ حَبَّةٍ أَنبَتَتْ سَبْعَ سَنَابِلَ فِي كُلِّ سُنبُلَةٍ مِّائَةُ حَبَّةٍ ۗ وَاللَّـهُ يُضَاعِفُ لِمَن يَشَاءُ ۗ وَاللَّـهُ وَاسِعٌ عَلِيمٌ ﴿٢٦١﴾ الَّذِينَ يُنفِقُونَ أَمْوَالَهُمْ فِي سَبِيلِ اللَّـهِ ثُمَّ لَا يُتْبِعُونَ مَا أَنفَقُوا مَنًّا وَلَا أَذًى ۙ لَّهُمْ أَجْرُهُمْ عِندَ رَبِّهِمْ وَلَا خَوْفٌ عَلَيْهِمْ وَلَا هُمْ يَحْزَنُونَ

Maksudnya: “Bandingan (derma) orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah, ialah sama seperti sebiji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji. Dan (ingatlah), Allah akan melipatgandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya, dan Allah Maha Luas (rahmat) kurnia-Nya, lagi meliputi ilmu pengetahuan-Nya. Orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan (agama) Allah, kemudian mereka tidak mengiringi apa yang mereka belanjakan itu dengan perkataan membangkit-bangkit (pemberiannya), dan tidak pula menyinggung atau menyakiti (pihak yang diberi), mereka beroleh pahala di sisi Tuhan mereka, dan tidak ada kebimbangan (dari berlakunya kejadian yang tidak baik) terhadap mereka, dan mereka pula tidak akan berdukacita.”

(Surah al-Baqarah: 261-262)

Umpama satu sedekah yang kita lakukan akan dilipatgandakan sebanyak 700 kali. Betapa besarnya ganjaran pahala dijanjikan Allah kepada hamba-Nya yang bersedekah dan berinfak di jalan-Nya. Malah amalan bersedekah juga dapat menjauhkan kita daripada sifat tamak, kedekut dan bakhil dalam diri ini.

Kita kena faham dan tahu bahawa bersedekah dan berinfak tak akan sesekali menyebabkan harta seseorang itu semakin berkurangan, namun ia dapat memperkayakan hati, membersihkan harta, memanjangkan usia serta melancarkan rezeki yang dikurniakan Allah.

Bersedekah ini juga bukan hanya terbatas kepada wang ringgit, apa saja yang dapat berikan manfaat kepada orang lain termasuk makanan seperti kuih-muih dan menghidangkan makanan kepada orang ramai yang pahalanya sangat besar di sisi Allah SWT.

Dalam pada itu, jangan pula kita menunjuk-nunjuk sedekah diberikan dengan niat nak membangga diri, sebaliknya lakukan dengan penuh keikhlasan.

Hadis yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah R.A, bahawa Rasulullah SAW telah bersabda:

إِذَا مَاتَ الإِنْسَانُ انْقَطَعَ عَنْهُ عَمَلُهُ إِلاَّ مِنْ ثَلاَثَةٍ إِلاَّ مِنْ صَدَقَةٍ جَارِيَةٍ أَوْ عِلْمٍ يُنْتَفَعُ بِهِ أَوْ وَلَدٍ صَالِحٍ يَدْعُو لَهُ ‏

Maksudnya: “Apabila mati seorang manusia, terputuslah daripadanya amalannya kecuali tiga perkara: Sedekah jariah atau ilmu yang dimanfaatkan dengannya atau anak yang soleh yang mendoakan baginya.”

Riwayat Muslim (1631)

Hanya dengan tiga amalan di atas ini yang tidak terputus meskipun bila nyawa kita sudah dicabut oleh malaikat maut. Adakah kita masih mahu menunggu hingga ada duit yang banyak ataupun mula bersedekah saja mengikut kemampuan yang ada.



Leave a Reply