Puasa 6 Umpama Puasa Setahun

Ramadan yang baru saja berlalu, tidak bermakna kita bebas melakukan apa saja. Kita hendaklah terus istiqamah dengan amalan-amalan dilakukan sepanjang bulan mulia itu.

Mereka yang istiqamah telah dijanjikan ganjaran syurga seperti janji Allah SWT dalam firman-Nya:

“Sesungguhnya orang-orang yang mengatakan: “Tuhan kami adalah Allah” kemudian mereka istiqamah, maka malaikat akan turun kepada mereka dengan mengatakan: “Janganlah kamu takut dan janganlah merasa sedih; dan gembirakanlah mereka dengan jannah yang telah dijanjikan Allah kepadamu.”
(Surah Fushilat : 30).

Antara amalan sunat yang boleh dilakukan apabila tibanya Syawal adalah dengan melakukan ibadah puasa sunat 6 hari di bulan Syawal.

Pada bulan Syawal ini kita dituntut berpuasa enam hari sebagai menambah nilai puasa wajib di bulan Ramadhan. Sabda Rasulullah SAW:

Maksudnya: “Barangsiapa yang berpuasa pada bulan Ramadhan, dan kemudian diikuti dengan puasa enam hari pada bulan Syawal, maka seolah-olah dia telah berpuasa selama setahun”.(Riwayat Muslim)

Hadis ada menyebutkan mengenai kelebihan berpuasa 6 hari di bulan Syawal iaitu bersamaan pahalanya dengan berpuasa sepanjang tahun. Ini berdasarkan sebuah hadis riwayat Muslim daripada Abu Ayub al-Ansari RA yang mana Rasulullah SAW telah bersabda:

مَنْ صَامَ رَمَضَانَ ثُمَّ أَتْبَعَهُ سِتًّا مِنْ شَوَّالٍ كَانَ كَصِيَامِ الدَّهْرِ

Maksudnya: Barangsiapa yang berpuasa di bulan Ramadhan kemudian diikuti dengan enam hari di bulan Syawal, ianya bersamaan dengan berpuasa sepanjang tahun.
Riwayat Muslim (1164)

Para ulama menghuraikan rahsia di sebalik ganjaran tersebut bahawa setiap amalan kebaikan manusia akan diganjari sebanyak 10 kali ganda.

Puasa 30 hari di bulan Ramadan diganjari sebanyak 300 hari, manakala puasa 6 hari di bulan Syawal pula diganjari dengan 60 hari. Jika dikira jumlahnya ialah 360 hari, ia hampir menyamai jumlah hari di dalam setahun sebanyak 360 hari.

Mungkin juga ada timbul persoalan bagi kita adakah puasa yang enam itu perlu dilakukan secara berturutan ataupun boleh dilakukan secara berasingan?

Memetik bekas Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri memberitahu, al-Imam al-Nawawi Rahimahullah di dalam al-Majmu’ ada menyebutkan: “…dan disunatkan untuk berpuasa secara berturutan di awal Syawal. Sekiranya dipisahkan (tidak berpuasa 6 hari secara berturutan) ataupun diakhirkan puasa tersebut di dalam bulan Syawal, maka ianya dibolehkan…”[2]

“Al-Imam Ibn Qudamah di dalam kitabnya al-Mughni menyebutkan mengenai permasalahan ini seperti berikut: “…tidak ada bezanya (menjadikan puasa tersebut) dilakukan secara berturutan ataupun dipisahkan samaada di awal Syawal ataupun diakhirnya kerana hadith menyebutkannya secara mutlaq tanpa dikaitkan dengan sesuatu yang lain…”[3]”.

Kesimpulannya, puasa 6 boleh dilakukan secara berturutan ataupun dipisahkan. Diawalkan ataupun dilewatkan selagi mana masih berada di dalam bulan Syawal ini. Selamat beramal.



Leave a Reply