- 09/07/2021
- Posted by: Team RichWorks
- Categories:
Bila disebut Istighfar, apa yang kita akan fikirkan? Adakah ia hanya sebagai zikir bagi memohon keampunan daripada Allah SWT saja? Atau diungkapkan selepas kita tersedar daripada melakukan dosa.
Tidak, sebenarnya banyak manfaat istighfar kepada umat Islam yang mengamalkannya.
Menurut ulama-ulama yang dekat dengan cara fikir al-Quran dan al-Sunnah cukup memahami hakikat kehidupan ini.
Jelas Ibnu Kathir, barang siapa yang menghiasi dirinya dengan amalan ini iaitu memperbanyak istighfar, maka Allah akan memudahkan rezekinya; memudahkan urusannya dan menjaga kekuatan jiwa.
Selain itu, Ibnu Qayyim pula memberitahu, “Apabila engkau berdoa, sementara waktu yang dimiliki begitu sempit, padahal dadamu dipenuhi dengan begitu banyak keinginan, maka jadikanlah seluruh isi doamu istighfar, agar Allah mengampunkan kamu. Apabila engkau diampuni, maka semua keperluanmu akan dipenuhi oleh-Nya tanpa engkau memintanya.”
Justeru itu, janganlah kita tertinggal dengan mengamalkan istighfar ini. Kita semua pasti pernah mengalami hari yang sukar seperti apa yang dibuat tidak kena saja. Kereta rosaklah, anak sakit, blackout, dibebani hutang, pasangan merajuk, kerja tidak siap dan bermacam-macam lagi.
Ketika itu, emosi pasti terganggu namun ingatlah Allah sentiada ada bersama kita. Allah mengajar kita dengan beristighfar. Allah sengaja mendatangkan pelbagai masalah untuk melihat sejauh mana kita menyelesaikannya. Adakah kita menjadi seorang merintih masalah atau berusaha mencari jalan penyelesaian?
Ingatlah, Allah tak akan uji kita melebihi kemampuan. Justeru itu, kita perlulah banyak beristighfar kepada Allah SWT iaitu memohon ampun kepada-Nya di atas segala dosa dan kesilapan yang telah kita lakukan.
Nabi Muhammad SAW yang diketahui terpelihara daripada dosa atau maksum pun tidak pernah meninggalkan istighfar ini, apatah lagi kita ini selalu lupa dan lalai ini.
Nabi SAW beristighfar lebih daripada 70 kali sehari sebagaimana yang diriwayatkan di dalam Sahih Imam al-Bukhari:
وَاللَّهِ إِنِّي لَأَسْتَغْفِرُ اللَّهَ وَأَتُوبُ إِلَيْهِ فِي اليَوْمِ أَكْثَرَ مِنْ سَبْعِينَ مَرَّةً
Maksudnya: “Demi Allah, sesungguhnya aku beristighfar kepada Allah dan memohon ampun kepada-Nya setiap hari lebih daripada 70 kali”. [Riwayat al-Bukhari (6307)]
Begitulah power of istighfar. Semoga Allah SWT menjadikan kita dalam kalangan hamba-Nya yang sentiasa beristighfar serta menggolongkan kita dalam kalangan penghuni syurga. Aamiiin.
Astaghfirullahal-ladzi la ilaha illa huwal-hayyul-qayyum, wa atubu ilaih, bermaksud, “Aku memohon ampun kepada Allah, Yang tiada Tuhan yang berhak disembah selain Dia, Yang Maha Hidup, Yang Maha Mengurus, dan aku bertaubat kepada-Nya.” (Riwayat al-Hakim dari Ibnu Mas’ud dan At-Tirmidzi dari Bilal bin Yasar bin Zaid)
Selamat beramal.
Alhamdullilah, Syukur
Elmu yang diberi..Amin.