- 08/05/2021
- Posted by: Team RichWorks
- Categories:
Satu kesilapan besar peniaga adalah memandang remeh pada brand atau jenama. Asalkan boleh jual, itu sudah memadai bagi sesetengah peniaga. Sebenarnya, mentality ini adalah salah. Bayangkan anda adalah seorang peniaga burger. Cuba lihat sekeliling anda berapa ramai peniaga membuat perniagaan yang sama? Jika anda yakin rasa burger anda berbeza, apa yang membuatkan pelanggan kenal dan tahu ianya berbeza?
Sudah pasti melalui brand atau jenama.
Jenama mampu membezakan anda dengan pesaing. Jenamalah yang membawa mesej produk atau servis anda pada pelanggan. Mereka akan lebih mudah mengingati produk dan servis melalui jenama. Contoh paling dekat adalah ubat gigi. Apa jenama anda ingat apabila terfikir ubat gigi? Lihat betapa brand dan jenama memberi impak pada kehidupan manusia dan juga pilihan.
Jadi, sebagai usahawan, anda harus mempunyai jenama untuk produk / servis anda. Namun mencipta jenama juga perlukan ketelitian. Ini kerana jenama akan kekal pada produk / servis anda untuk jangka masa lama selagi diperlukan.
Sebelum menentukan jenama, rujuklah pada perkara berikut:
- Tidak semestinya nama syarikat/bisnes sama dengan jenama
Sebenarnya, jenama boleh dicipta berdasarkan kreativiti anda. Jangan terlalu teknikal sehingga nama serupa dengan syarikat. Contohnya, jika anda mendaftar syarikat atas nama Aminah Katering Enterprise, tak semestinya anda pilih produk sambal anda dengan nama Aminah sahaja. Anda boleh jadi lebih kreatif mungkin dengan menggunakan nama Minah dan digabungkan dengan perkataan lain sebagai jenama. Contoh lain adalah Mcdonalds sebagai brand tapi sebenarnya nama syarikat dia bukan mcdonalds sdn bhd. Nama syarikat yang miliki lesen mcdonalds di Malaysia adalah Gerbang Alaf Restaurants Sdn Bhd.
- Membawa maksud yang baik.
Nama bukan sekadar gelaran. Walaupun ketika kita memberi nama pada orang lain, kita tahu nama akan menjadi sebutan dan perlu maksud yang baik. Begitu juga nama syarikat, apa lagi untuk jenama? Jadi, pilih yang elok-elok supaya pengguna juga memikirkan yang elok-elok.
- Ringkas – maksimum 4 suku kata
Jenama yang anda pilih harus mudah untuk orang ingat. Jangan lebih dari 4 suku kata hingga pengguna nak sebut pun susah. Rujuklah jenama yang ada di luar sana. Yang terkenal sebagai contoh: Milo (2 suku kata), Sabella (3 suku kata), Tesco (2 suku kata), Honda (2 suku kata) dan banyak lagi. Jenama terkenal ini tidak perlu panjang berjela dan lebih mudah meniti dari bibir ke bibir. Jika sedap untuk di sebut, maksimum 4 suku kata sahaja. Jangan lebih hingga orang keliru. Lebih-lebih lagi bila baru nak mula berniaga.
- Sesuai untuk semua bangsa
Mungkin bila kita mula bisnes, kita rasa perniagaan kita ini kecil. Mungkin kita nak fokus satu jenis sasaran pengguna pada permulaan. Namun, jangan kita buang potensi bisnes kita untuk berkembang ke taraf lebih luas. Mana tahu suatu hari nanti, anda ingin memasarkan produk ke luar negara? Jadi, fikirkan nama jenama yang mudah disebut oleh semua bangsa dan kaum.
- Semak domain / laman web dan media sosial
Mungkin sekarang anda peniaga depan rumah sahaja namun adakah anda ingin kekal begitu sampai bila-bila? Lagipun, zaman sekarang, kita perlu menggunakan online untuk berniaga. Pelanggan sekarang ramai menggunakan platform internet. Malah peniaga sekarang mahu mencari stok barang pun, terpaksa menggunakan khidmat Google. Jadi, sangat penting untuk jenama anda wujud secara online.
Online ada 2 bahagian utama iaitu domain & media sosial. Domain adalah laman yang mempunyai .com manakala media sosial adalah seperti Facebook dan Instagram. Anda perlu pastikan nama jenama yang anda pilih belum digunakan oleh orang lain. Jika tidak, pelanggan yang cuba mencari anda tersalah pula memilih produk orang lain.
- Jangan cetak rompak jenama sedia ada
Ini juga penting untuk anda lakukan. Jangan meniru nama jenama lain. Bukan sahaja melanggar etika malah anda mungkin boleh disaman nanti. Kita pasti tidak mahu ianya ketika mula nak bertapak dalam bidang bisnes.
Sebenarnya, bukan perkara yang sukar untuk memilih dan mencipta jenama. Semuanya terpulang pada anda untuk menjadi kreatif. Anda lebih tahu kelebihan dan kekurangan produk atau servis anda jadi hanya anda yang tahu jenama apa yang sesuai untuk pengguna kenal bisnes anda. Yang penting, jenama yang sesuai dan baik akan kekal bersama anda selagi anda masih di bidang ini. Jadi, ciptalah satu jenama yang akan membuatkan anda bangga suatu hari nanti.