Mendaftarkan Cap Dagangan

Perlukah daftar cap dagangan? Jual telekung aje, pun! Jawapannya, iya! Anda perlu daftarcap dagang produk anda. Sebenarnya mendaftarkan cap dagangan ini sering diambil remeh oleh peniaga. Mungkin ada segelintir merasakan, pendaftaran itu rumit walaupun sebenarnya tidak. Sebelum kita pergi lanjut, jom kita memahami apa itu Harta Intelek.

Harta Intelek adalah hasil dari kreativiti anda yang boleh mendatangkan hasil pada anda secara langsung atau tidak. Harta Intelek terbahagi pada dua iaitu Harta Industri dan Hak Cipta.

Hak Cipta lebih pada kesenian seperti tarian, buku, filem, lukisan atau hasil kerja reka bentuk. Harta Industri pula terdiri daripada Cap Dagangan, Rekabentuk Perindustrian, Ciptaan (paten), Petunjuk Geografi, dan juga Rekabentuk Susun Atur Litar Bersepadu. Yang membezakan antara kedua- dua komponen ini adalah Harta Industri memerlukan kepada pendaftaran bagi mendapatkan hak eksklusif manakala Hakcipta tidak memerlukan kepada pendaftaran untuk mendapatkan hak eksklusif  (Voluntary notification) namun perlindungan kepada pemilik karya adalah sepanjang hidup dan 50 tahun setelah kematian.

Selanjutnya, mari kita tumpukan pada Harta Industri. Ianya lebih menepati bidang yang anda ceburi iaitu perniagaan. Bagi mendaftarkan Harta Industri anda, ianya mempunyai beberapa prosuder iaitu:

  1. Semakan Formaliti

Pemohon adalah dinasihatkan untuk membuat semakan formaliti terhadap Cap Dagangan anda sebelum permohonan dilakukan bagi mengelakkan permohonan anda mendapat bantahan/bangkangan yang akan melambatkan proses pendaftaran Cap Dagangan anda. Periksa jika benar produk / servis anda tidak pernah mempunyai kesamaan keseluruhan dengan mana-mana produk lain yang pernah didaftarkan oleh pemiliknya. Pemohon boleh melayari laman web MyIPO bagi membuat semakan formaliti tersebut dengan pergi kepada carian cap dagangan di bahagian cap dagangan tersebut. Pemohon juga digalakkan melantik Agen/Peguam yang berdaftar bagi menguruskan permohonan pendaftaran Cap Dagangan sekiranya anda kekangan masa dan/atau memerlukan bantuan undang-undang mengenai Cap Dagangan kerana ini akan lebih memudahkan anda kerana setiap urusan, surat-menyurat dan sekiranya terdapat sebarang bantahan/ bangkangan Agen/Peguam akan membantu menyelesaikan permohonan anda tersebut.

  • Pemfailan Permohonan

Proses pendaftaran Cap Dagangan bermula dengan pemfailan permohonan oleh pemohon, diikuti dengan semakan formaliti, setelah itu carian dan pemeriksaan oleh pihak Perbadanan Harta Intelek (MyIPO) dilakukan, dan pada peringkat akhir adalah pengiklanan (Pewartaan) sebelum sijil Cap Dagangan pemohon dikeluarkan oleh MyIPO. Pemohon boleh melakukan pemfailan Cap Dagangan dengan mengisi Borang Permohonan (Borang TM5) dan Borang (TM1) sekiranya melantik Agen/ Peguam yang berdaftar bagi menguruskan permohonan anda. Akuan berkanun perlu diikrarkan dihadapan Pesuruhjaya Sumpah dan perlu disediakan oleh pemohon bagi tujuan pemfailan.

  • Tunggu Keputusan Pemeriksaan

Setelah permohonan Cap Dagangan anda difailkan, anda tunggu keputusan dari pihak MyIpo. Sekiranya terdapat bantahan/bangkangan terhadap permohonan Cap Dagangan anda setelah carian dan pemeriksaan dilakukan oleh pihak MyIPO, anda hendaklah mengemukakan keterangan/hujah bertulis beserta bukti keterangan atau bukti penggunaan secara Akuan Berkanun dalam tempoh dua (2) bulan daripada tarikh anda menerima surat bantahan/bangkangan tersebut. Dan menurut Peraturan 28 Peraturan- Peraturan Cap Dagangan 1997, sekiranya tiada jawapan dan/atau pindaan diterima di dalam tempoh tersebut, anda dianggap sebagai telah menarik balik/menggugurkan permohonan Cap Dagangan tersebut. Setiap bantahan/bangkangan yang telah dijawab akan dipertimbangkan oleh pihak Pendaftar terhadap permohonan tersebut.

Namun sekiranya permohonan Cap Dagangan anda telah dipersetujui tanpa ada sebarang bantahan/bangkangan, permohonan anda akan diiklankan/diwartakan dan seterusnya sijil Cap Dagangan anda akan dikeluarkan. Tempoh sah sijil tersebut adalah selama 10 tahun dan perlu diperbaharui. Pemohon perlu melengkapkan Borang TM31 bagi pengiklanan Cap Dagangan tersebut dalam tempoh dua (2) bulan daripada surat setujuterima telah diberi kepada pemohon.

Bagi memudahkan anda memahami lebih jelas, berikut adalah carta pemfailan dan proses pendaftaran Cap Dagangan (TRADEMARK) bagi usahawan/peniaga/syarikat/individu yang ingin mendaftarkan serta melindungi Cap Dagangan perniagaan mereka:

  • Pemfailan Cap Dagangan

-Pemohon perlu mengisi Borang Permohonan (Borang TM5)

-Akuan berkanun yang diikrarkan dihadapan Pesuruhjaya Sumpah.

-Pemohon perlu mengisi Borang Permohonan (Borang TM1) jika permohonan diuruskan oleh Agen/Peguam yang berdaftar.

-Sesalinan Carian Syarikat yang terkini adalah diperlukan sekiranya pemohon adalah sebuah Syarikat.

-Borang permohonan dan yuran pemfailan boleh dimuat turun dan dilihat di laman web MyIPO http://www.myipo.gov.my

  • Pemeriksaan formaliti
  • Carian dan Pemeriksaan Cap Dagang (Diterima/ Dibantah/Dibangkang)
  • Diwarta/diiklankan (tiada bantahan/bangkangan)

-Pemohon perlu mengisi Borang Permohonan (Borang TM31)

  • Sijil Cap Dagangan dikeluarkan

Bukan sesuatu yang sukar untuk mendaftar jika anda bersedia dan mengikut carta ini satu persatu. Dengan mendaftar cap dagang, anda boleh mengelakkan dari ditiru atau dicetak rompak sewenang-wenangnya. Bukan itu sahaja, anda juga boleh mengelakkan dari disaman oleh mereka yang merasakan produk mereka sama dengan anda.



Leave a Reply