- 08/05/2021
- Posted by: Team RichWorks
- Categories:
Jika anda sudah ada jenama produk atau servis, ianya tidak lengkap tanpa nama syarikat atau perniagaan. Jangan salah faham. Nama jenama tidak semestinya sama dengan nama syarikat dan nama syarikat pula boleh mewakili banyak jenama. Kedua-duanya sama penting dan akan memberi kesan pada operasi perniagaan anda. Namun sudah pasti anda juga boleh memilih nama jenama yang sama dengan syarikat seperti yang dilakukan oleh Coca Cola.
Ramai peniaga memilih untuk tidak membuka syarikat sekaligus tiada nama perniagaan. Sebenarnya, ini adalah tindakan salah yang akan membawa pada kerumitan di kemudian hari. Bukan itu sahaja, nama syarikat juga dapat memberi impak pada kejayaan anda dalam bisnes. Kami senaraikan di sini untuk rujukan anda dalam memilih nama tersebut:
Nama syarikat adalah cermin pada organisasi itu sendiri
Jika nama seseorang mampu mencerminkan individu begitu juga dengan nama syarikat. Ianya mencerminkan sesuatu organisasi tertentu. Apa tanggapan anda apabila mendengar nama syarikat yang menggunakan nama Teguh, Maju atau Jaya? Pasti anda akan merasakan ianya satu organisasi yang berhemah dan berwawasan, bukan?
Nama syarikat yang bagus akan memberi imej yang baik pada pelanggan. Nama inilah yang akan anda sebut selepas memperkenalkan jenama, produk atau servis. Jika nama tersebut tidak sesuai pula dengan jenama, produk dan servis, ianya akan memberi gambaran kekeliruan dan membuatkan perniagaan anda seolah-olah tiada matlamat jelas. Bayangkan anda menjual produk kosmetik manakala nama syarikat yang anda pilih pula adalah Waja Automotif Enterprise? Apa agaknya pandangan pengguna pada anda?
Nama Syarikat Cermin Masa Depan Anda
Bukan sahaja nama itu perlu jelas tujuannya, ianya juga perlu sesuai digunakan untuk masa hadapan. Sebagai contoh, jangan menggunakan nama yang melambangkan sesuatu tempat atau usia. Contohnya Belia, Pahang, atau Bumiputra. Ianya hanya akan melambangkan sasaran perniagaan anda yang terhad dan menyukarkan anda mengembangkan lagi sasaran di masa depan. Malah, mungkin juga permohonan anda tidak diluluskan jika anda ingin mendaftarkannya di SSM kelak. Begitu juga jika suatu hari nanti anda ingin mencari pelabur atau membuat urusan pinjaman. Nama yang mengelirukan dan lemah membuatkan mereka tidak yakin dengan syarikat anda.
Nama Syarikat Perlu Memudahkan Anda
Iya, nama syarikat perlu memberi kemudahan pada anda. Contohnya, nama itu perlulah mudah diingat oleh orang ramai agar mereka tahu mencari produk dan servis anda. Ianya juga perlu mudah dikesan di akaun media sosial supaya memberi capaian terbaik pada pengguna. Bayangkan jika nama syarikat anda terlalu rumit dan sukar diingati? Namun jangan pula terlalu ringkas dan umum sehingga jika anda membina laman web, terlalu banyak pertembungan nama lain yang menyukarkan syarikat anda menyerlah. Satu tips untuk anda, gabungkan saja nama anda dengan produk atau servis anda. Contohnya Aminah digabungkan dengan servis makanan menjadi Aminah Katering Enterprise.
Nama syarikat adalah pendorong semangat
Jadikan nama syarikat satu kebanggaan dan sedap apabila disebut. Ia membayangkan semangat sesebuah organisasi. Anda perlu merasa seronok dan menggemari nama yang anda pilih kerana ianya akan digunakan untuk tempoh masa yang lama. Jika anda berjaya suatu hari nanti, nama itulah yang akan meniti dari bibir ke bibir dan mendorong anda terus berusaha.
Sebenarnya, bukan sesuatu yang sukar untuk memilih nama yang sesuai. Malah, SSM ada meletakkan garis panduan untuk anda agar pilihan anda tepat dan tidak melanggar mana-mana sensitiviti.