- 08/05/2021
- Posted by: Team RichWorks
- Categories:
Dalam pengurusan bisnes, tenaga kerja adalah satu keperluan bagi memastikan sesuatu perniagaan anda dapat berjalan lancar, cekap dan pantas. Lebih-lebih lagi jika anda sudah tidak menang tangan untuk memenuhi permintaan pelanggan. Namun begitu, anda tidak boleh sewenang-wenangnya melantik mahupun menambah pekerja tanpa melihat pada keperluan dan kemampuan perniagaan anda.
Pekerja terletak di bawah sumber manusia iaitu antara sumber yang penting untuk perniagaan berkembang dengan baik. Ianya perlu sistematik supaya tiada masalah berbangkit di kemudian hari. Sebagai pemilik perniagaan, anda seharusnya menjadi seorang pemimpin yang berkaliber dan bijak menguruskan mereka. Buatlah strategi yang betul agar pengurusan sumber manusia di syarikat anda tidak bercampur aduk dan berjalan lancar.
Berikut adalah cara pengurusan pekerja yang kami gariskan untuk rujukan anda:
Pengiklanan Jawatan Kosong
Terdapat pelbagai cara untuk menghebahkan tawaran pengambilan pekerja. Dari media sosial hingga menggunakan khidmat laman Job Street, Indeed atau banyak lagi. Malah, jika anda mahu, boleh paparkan di ruang iklan suratkhabar atau hanya di pintu masuk pejabat anda. Namun anda tetap perlu mematuhi garis undang-undang yang ada di Malaysia. Sebarang pengiklanan yang dibuat tidak boleh mempunyai unsur diskriminasi dengan menawarkan kerja itu terbuka kepada bangsa atau jantina tertentu sahaja, kecuali dalam kes yang dikenali sebagai “genuine occupational qualifications” di mana jenis /sifat kerja hanya terhad kepada perempuan atau lelaki atau bangsa tertentu sahaja. (Tertakluk pada Sex Discrimination Acts, 1975 & 1976; Race Relations Acts, 1976.)
Proses Pemilihan
Perkara yang perlu diambilberat oleh majikan dalam proses pemilihan adalah mengelakkan diskriminasi dari segi bangsa dan jantina. Elakkan juga mengutamakan ahli persatuan tertentu. Jika kita menyoal pemohon wanita tentang hajat perkahwinannya juga dikatakan sebagai diskriminasi kecuali pemohon lelaki juga ditanya soalan yang sama. Soalan seumpama ini seharusnya dielakkan.
Kontrak Perkhidmatan
Setiap orang yang bekerja dengan seseorang atau setiap majikan yang mengambil seseorang bekerja sebenarnya telah memeterai suatu perjanjian sama ada mereka sedar ataupun tidak. Sungguhpun begitu, huraian selanjutnya tentang kontrak perkhidmatan tidaklah semudah itu. Pelbagai syarat, terma, tugas dan tanggungjawab dalam hubungan kontraktual antara majikan dengan pekerja menjadikan kontrak perkhidmatan begitu kompleks. Apa yang penting anda dan pekerja anda jelas tentang tanggungjawab masing-masing secara bertulis dan anda tidak melanggar hak asasi mereka.
Kewajipan Menyediakan Sistem Kerja Yang Selamat
Kebanyakan perniagaan adakalanya menggunakan pelbagai pengangkutan atau mesin yang mendedahkan pekerja kepada pelbagai bahaya. Jadi undang-undang menggariskan supaya majikan menyediakan sistem kerja yang selamat di tempat pekerja bekerja. Majikan dikehendaki menyediakan alat-alat pekerjaan yang selamat untuk digunakan oleh pekerja. Kewajipan menyediakan sistem kerja yang selamat adalah tanggungjawab anda sebagai majikan dan tidak boleh dipindahkan kepada orang lain.
Pastikan Anda Faham Hak Pekerja Yang Termaktub Dalam Undang-Undang Buruh
Pastikan anda sedia maklum bahawa pekerja mempunyai hak dari segi tempoh masa kerja, gaji, hari cuti dan cuti tahunan. Jangan mengabaikan hak mereka kerana ianya akan memberi masalah pada anda.
Beri Latihan Pada Pekerja Anda
Jangan membiarkan pekerja anda tidak berkembang dari segi kemahiran. Galakkan mereka mencuba kemahiran lain dan anjurkan kursus atau berikan latihan agar mereka mendapat kemahiran baru. Pekerja yang sentiasa didedahkan dengan kemahiran baru, diberi pemahaman lebih luas dan dibimbing akan menjadi lebih cekap sekaligus membantu kelancaran operasi perniagaan anda.
Buat Sistem Ganjaran Pekerja
Berikan ganjaran untuk pekerja yang berkhidmat dengan cemerlang seperti memberi bonus, anugerah atau pakej percutian mengikut kategori seperti kedatangan pekerja cemerlang, perkhidmatan pekerja cemerlang dan sebagainya. Sistem ganjaran ini secara tidak langsung akan memberikan semangat kepada setiap pekerja untuk berikan hasil kerja yang terbaik dan secara tidak langsung membentuk disiplin mereka.
Sistem Rekod Yang Sistematik
Sistem rekod yang sistematik adalah penting untuk menjadi rujukan majikan dan pekerja. Ini termasuk dengan rekod gaji dan juga kedatangan. Sistem rekod juga penting untuk melindungi hak anda sebagai majikan dan juga hak pekerja anda.
Akhir sekali, tidak kira jika anda melakukan perniagaan sendirian atau mempunyai pekerja yang ramai, patuhlah pada undang-undang terutama akta pekerja yang termaktub. Ini penting agar semua mendapat keadilan saksama dan tidak berlaku penindasan dari segi pekerja mahupun anda sendiri sebagai majikan.