- 11/03/2021
- Posted by: Team RichWorks
- Categories: Business Review, Pembangunan Peribadi
Haji Bakhil : Bagus, baguslah kita tolong anak yatim. Saya ini lagi yatim daripada anak yatim.
Pencari Derma Anak Yatim : Yatim yang macam mana Tuan Haji?
Haji Bakhil : Bapa dah mati, mak dah mati, isteri saya baru mati. Kan lagi bagus tuan-tuan cari derma bagikan saya.
Pencari Derma Anak Yatim Piatu : Tuan Haji orang besar, yang nak dicari derma ini anak-anak kecil Tuan Haji.
Haji Bakhil : Oh anak kecil. Labu, ambilkan duit aku di kocek tu.
Labu : Ada seringgit saja Encik.
Haji Bakhil : Bagus, berikan sama Encik ini.
Pencari Derma Anak Yatim Piatu : Seringgit saja Tuan Haji?
Haji Bakhil : Kan anak kecil, anak kecil tak boleh banyak menyimpan duit.
Begitulah antara dialog dalam filem evergreen, Nasib Si Labu Labi yang mengandung banyak pengajaran termasuk mengenai sifat bakhil atau kedekut yang ditunjukkan melalui watak Haji Bakhil itu.
Sifat bakhil ini perlulah kita hindari dan jauhkan dalam hidup ini, jangan jadi Haji Bakhil. Sifat ini sebenarnya berada dalam jiwa mereka yang bersifat individualistik menyebabkan ada terlalu sayang kepada wang ringgit dan harta buatkan sukar nak bersedekah dan membantu mereka yang memerlukan.
Ia sikap yang tercela sehingga Allah SWT memberi ancaman kepada mereka dengan seksaan yang menghinakan dan merendah-rendahkan mereka.
Mereka kufur dengan rezeki pemberian daripada Allah SWT sehingga tidak ingin mensyukuri segala nikmat yang melimpah ruah.
Suruhan Allah SWT supaya meninggalkan sikap bakhil yang bukan saja beri kesan bukan sekadar merosakkan kehidupan sendiri malah hubungan kita sesama manusia dan paling besar mengundang kemarahan Allah SWT.
Firman Allah S.W.T:
﴿وَلَا يَحْسَبَنَّ الَّذِينَ يَبْخَلُونَ بِمَا آتَاهُمُ اللَّهُ مِنْ فَضْلِهِ هُوَ خَيْرًا لَهُمْ بَلْ هُوَ شَرٌّ لَهُمْ سَيُطَوَّقُونَ مَا بَخِلُوا بِهِ يَوْمَ الْقِيَامَةِ وَلِلَّهِ مِيرَاثُ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ وَاللَّهُ بِمَا تَعْمَلُونَ خَبِيرٌ﴾
Maksudnya: Dan jangan sekali-kali orang-orang yang bakhil dengan harta benda yang telah dikurniakan Allah kepada mereka dari kemurahanNya – menyangka bahawa keadaan bakhilnya itu baik bagi mereka. Bahkan ia adalah buruk bagi mereka. Mereka akan dikalungkan (diseksa) dengan apa yang mereka bakhilkan itu pada hari kiamat kelak. Dan bagi Allah jualah hak milik segala warisan (isi) langit dan bumi. Dan (ingatlah), Allah Maha Mengetahui dengan mendalam akan segala yang kamu kerjakan. (mukjizat) yang nyata dan dengan (korban) yang katakan, maka membunuh mereka, jika kamu orang-orang yang benar (dalam apa yang kamu dakwakan itu)?”
Surah Ali-‘Imran (180)
Imam al-Qurtubi menyebut di dalam tafsirnya bahawa ayat ini diturunkan ke atas orang yang bakhil (kedekut) terhadap hartanya bagi melakukan infaq di jalan Allah S.W.T dan juga menunaikan zakat yang telah difardhukan ke atasnya.
Imam Ibrahim al-Nakha’i pula menyebut yang dimaksudkan dengan سَيُطَوَّقُونَ ialah Allah S.W.T akan menjadikan mereka (orang yang bakhil) pada Hari Kiamat kelak dibelenggu dengan api neraka.
Begitu juga hadis Nabi Muhammad S.A.W:
مَنْ آتَاهُ اللَّهُ مَالاً فَلَمْ يُؤَدِّ زَكَاتَهُ، مُثِّلَ لَهُ مَالُهُ شُجَاعًا أَقْرَعَ، لَهُ زَبِيتَانِ يُطَوَّقُهُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ، يَأْخُذُ بِلِهْزِمَتَيْهِ يَعْنِي بِشِدْقَيْهِ، ثم يَقُولُ: أَنَا مَالُكَ أَنَا كَنْزُكَ
Maksudnya: “Sesiapa yang dikurniakan oleh Allah harta dan tidak mengeluarkan zakatnya, maka hartanya pada hari Kiamat dijadikan seekor ular yang mempunyai dua taring, dan kepala yang tidak berbulu kerana terlalu banyak bisanya. Ia akan membelit dan menggigitnya dengan kedua-dua rahangnya sambil berkata: Akulah hartamu! Akulah simpananmu.”
Riwayat al-Bukhari (1338)
Hadis di atas juga menunjukkan betapa beratnya dosa bagi orang yang tidak mahu mengeluarkan zakat ke atas harta mereka.
Imam Ibn Hajar al-‘Asqalani mengatakan bahawa dosa tersebut terpakai ke atas orang yang mengingkari kewajipan zakat dan juga terhadap orang yang bakhil.
Jom bersedekah, jangan jadi Haji Bakhil
Justeru itu, pada penghulu segala hari ini marilah kita perbanyakan bersedekah mengikut kemampuan masing-masing. Mulakan dan biasakan amalan mulia ini disamping jangan lupa untuk banyakan berselawat ke atas junjung besar Nabi Muhammad SAW.
Syaitan berdusta apabila membisikkan infak membawa kemiskinan sedangkan Allah akan menggantikan dan memberikan lebih baik lagi.
Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan apa sahaja yang kamu dermakan, maka Allah akan menggantikannya, dan Dialah jua sebaik-baik pemberi rezeki.” (Surah al-Saba, ayat 39)
Selamat beramal.