Bina Usahasama Dengan Peniaga Lain

Bina usahasama dalam perniagaan bermaksud dua atau lebih syarikat bersetuju untuk menyusun sumber mereka untuk melaksanakan tugas tertentu yang boleh menjadi projek baru atau fungsi perniagaan baru bersama anda. Dalam sesebuah usahasama, setiap pihak bertanggungjawab terhadap kerugian, keuntungan dan kos yang berkaitan dengannya.

Jika anda merasakan perniagaan anda perlukan cabaran baru dan sasaran baru, tidak salah jika anda melakukan usahasama dengan peniaga lain. Namun begitu, untuk membina kepercayaan bukanlah mudah. Lebih-lebih lagi jika ia melibatkan projek usahasama yang besar.

Jangan salah faham usahasama dan rakan kongsi. Ianya berbeza kerana usahasama tidak melibatkan gabungan pemilikan tetapi lebih masih mempunya perjanjian untuk kepentingan kedua-dua belah pihak.

Ciri Ciri Usahasama Yang Sebenar

Usahasama yang sebenar bukan dari perjanjian mulut sahaja atau hanya perancangan tanpa langkah jelas. Sebaliknya, usahasama perlu ada perjanjian dokumen untuk memudahkan urusan kedua-dua pihak. Ianya perlu menyatakan dengan jelas tempoh, pembahagian modal, pembahagian untung, tanggungan kerugian dan peranan syarikat masing-masing. Dengan mewujudkan perjanjian dan memeterai melalui penerimaan dokumen berserta pengesahan pemilik, secara tidak langsung kedua-dua pihak telah memahami risiko dan bersedia memperolehi keuntungan bersama.

Pembubaran Sesebuah Usahasama

Usahasama bukanlah perjanjian yang mengubah pemilikan syarikat anda selama-lamanya. Jadi ianya boleh dibubarkan jika termaktub dalam perjanjian perkara berikut:

  • Matlamat dari segi keuntungan sesebuah usahsama telah dicapai.
  • Matlamat tidak dapat dicapai dalam tempoh yang ditetapkan.
  • Apabila kedua-dua pihak membentuk matlamat baru.
  • Apabila mana-mana pihak tidak bersetuju lagi dengan objektif usahasama tersebut.
  • Ada masalah dari usahasama dari segi undang-undang atau kewangan.
  • Usahasama itu tidak lagi sesuai dengan kehendak pasaran.

Kelebihan Usahasama

Walaupun langkah usahasama perlu perjanjian yang menjamin namun ianya ada banyak kelebihan yang dapat dinikmati oleh ke dua-dua pihak. Antaranya ialah:

  1. Teroka pasaran baru

Ianya adalah satu kelebihan jika anda dapat meneroka pasaran baru. Lebih-lebih lagi pasaran itu belum pernah anda ketahui. Dari situ, banyak perkara anda dan tim anda boleh belajar.

  • Meningkatkan kecekapan dari segi gabungan operasi dan aset.

Apabila kecekapan meningkat pasti penghasilannya lebih banyak sekali gus menambah keupayaan pemasaran dan meningkatkan lagi jualan anda.

  • Kongsi risiko pelaburan.

Apabila anda meletakkan pelaburan tinggi, pasti risikonya juga tinggi. Lebih-lebih lagi jika ia melibatkan projek besar. Dengan usahasama, risiko akan terbahagi dan modal pelaburan juga akan berkurangan.

  • Berkongsi teknologi, kemahiran dan kebolehan baru

Semua bisnes ada kebolehan dan kelebihan masing-masing. Dalam usahasama, anda boleh berkongsi kebolehan, kemahiran dan teknologi yang digunakan untuk sama-sama mencapai matlamat yang diingini.

Sebenarnya, jika sesebuah usahasama dimeterai berdasarkan kajian terperinci dan mengambil kira risiko yang ada, usahasama yang dijalin boleh mendatangkan keuntungan pada kedua-dua pihak. Terutama dari segi pengurusan modal dan sumber untuk projek jualan yang besar. Malah jika anda memikirkan untuk mengembangkan perniagaan di negara luar, mungkin anda terpaksa menjalinkan usahasama dengan pengusaha negara terbabit jika itu adalah syarat bagi peniaga luar untuk berniaga di negara tersebut.



Leave a Reply