- 06/03/2021
- Posted by: Team RichWorks
- Categories: Business Review, Pembangunan Peribadi
“Demi Masa! Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian; Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan kesabaran” (Surah Al-Asr,Ayat 1-3)
Kita sering merasa terburu-buru mengejar masa kerana perlukan masa yang banyak bagi melakukan aktiviti harian. Ini akan menyebabkan kerja yang kita lakukan menjadi kelam kabut.
Tahukah anda, kekayaan masa iaitu mempunyai masa yang cukup untuk melakukan apa yang kita suka adalah satu nikmat yang tak terhingga? Berikut kami kongsikan beberapa tips mula gunakan masa dengan baik untuk dipraktikkan dalam kehidupan seharian.
10 tips mula gunakan masa dengan baik untuk anda :
1. Rancang jadual harian
Rancang jadual aktiviti harian adalah penting kerana kehidupan kita menuntut kita meluangkan masa untuk bersama diri sendiri, keluarga dan juga untuk Allah Swt. Pengurusan masa adalah pengurusan kehidupan harian kita. Berjaya mengurus masa bermakna kita berjaya menguruskan hidup kita.
Anda boleh mulakan hari anda dengan melakukan kerja-kerja yang paling penting di awal pagi. Anda juga boleh rancang jadual anda pada hari atau minggu sebelumnya.
2. Tetapkan had masa untuk setiap tugas
Jangan lakukan sesuatu tugas lain sebelum menyelesaikan tugas yang kita sedang lakukan. Sentiasa periksa jadual sebelum memulakan tugas yang baru. Sentiasa tanya diri sendiri, bilakah tugas yang sedang dilakukan itu boleh selesai? Bilakah ianya perlu diselesaikan. Adalah lebih bagus untuk menyiapkan tugasan lebih awal supaya anda ada lebih masa untuk memeriksa tugasan anda. Ini akan memastikan tugas yang sedang dibuat akan mencapai matlamat yang berkualiti. Ini juga akan membantu kita untuk lebih fokus dalam menyiapkan tugasan yang kita perlu lakukan.
3. Tahu deadline anda
Bukan mudah bagi kita untuk merancang kerja yang perlu dilakukan. Set tarikh akhir (deadline) untuk menyelesaikan kerja kerana ini akan mengurangkan rasa risau kerana merasa tidak mencukupi masa. Melakukan tugasan tanpa tahu tarikh akhirnya seperti anda tidak tahu arah tuju atau kesudahan tugasan tersebut. Ini menyebabkan anda akan mengambil masa yang lama untuk menyiapkannya.
4. Belajar untuk berkata “TIDAK”
Daripada semua tips penggunaan masa dengan baik, barangkali yang paling efektif ialah selalu menggunakan perkataan tidak. Belajarlah menolak dengan menggunakan kebijaksanaan tetapi tegas terhadap setiap permintaan yang tidak menunjang pencapaian sasaran anda. Kadang-kadang, bila kita berani mengatakan tidak kepada ajakkan kawan-kawan, atau kepada perkara-perkara yang tidak memberikan kesan besar kepada kita, kita boleh gunakan masa tersebut untuk perkara yang lebih memberikan kebaikan kepada kita.
5. Teknik 15 minit lebih awal
Dalam zaman sekarang, sangat mudah untuk kita mengawal masa. Kita boleh gunakan telefon bimbit sebagai penjaga masa kita. Dalam telefon bimbit, kita boleh setkan ‘reminder’ untuk memberi peringatan kepada kita tentang jadual dan waktu yang tepat. Ada orang menggunakan kaedah menetapkan waktu jam 15 minit lebih awal dari waktu sebenarnya supaya kita lebih berdisiplin dan mengelakkan dari terlambat.
6. Fokus
Kita akan memberi lebih tumpuan dalam melakukan kerja sekiranya kita fokus kepada sesuatu kerja. Buat sesuatu kerja dengan memastikan kerja tersebut merupakan perkara yang utama perlu diselesaikan. Untuk membantu anda fokus, anda boleh kurangkan gangguan di sekitar anda. Anda boleh ‘silent’ kan telefon bimbit, matikan notifikasi media sosial anda, jauhkan diri dari televisyen, YouTube dan lain-lain yang boleh mengalih perhatian anda dari terus fokus.
7. Jejaki masa yang dihabiskan
Lihat kembali pencapaian masa yang telah kita gunakan dalam sesuatu kerja. Gunakan teknik ini dengan memperkembangkan lagi fokus dalam matlamat yang perlu kita capai. Ramai antara kita tak pernah “keep track” berapa banyak masa yang kita gunakan untuk selesaikan sesuatu perkara. Sebagai contoh, cuba jejaki berapa banyak masa untuk anda siapkan satu tugasan yang biasa anda lakukan dan cuba lakukannya lebih cepat keesokkan hari. Anda akan mula perasan anda ada lebihan masa nanti.
8. Tidak kecoh dengan perkara-perkara tidak penting
Ramai antara kita selalu menyalahgunakan masa dengan kecoh dengan perkara-perkara yang tak ada kena mengena dengan kita. Contoh jelas, jika berlaku kemalangan di lebuh raya, ramai pemandu akan berhenti semata-mata untuk tengok. Ini akan menyebabkan anda lambat sampai ke lokasi dan juga melambatkan orang lain. Jangan kecoh dan kepoh dengan perkara-perakara yang tidak membawa kebaikan.
9. Jangan lupa untuk berehat.
Bekerja dalam tempoh yang lama tanpa rehat bukanlah penggunaan waktu yang efektif. Tenaga makin menurun, kebosanan makin mempengaruhi serta ketegangan fizikal dan mental makin terkumpul. Oleh itu, anda memerlukan masa rehat yang secukupnya kerana hanya berehat sahaja merupakan cara yang paling baik. Tidur sebentar juga boleh membantu kita menjadi lebih efektif, Rasulullah juga mengamalkannya. Tapi jangan jadikan ini sebagai alasan untuk lari dari tugasan!
10. Jangan mudah terpedaya
Masa bergerak sangat pantas. Kadang-kadang tanpa kita sedar, hari dah menjelang petang sedangkan banyak lagi perkara yang kita tak lakukan. Ramai orang gagal uruskan masa dan mudah terpedaya dengan masa dan mula menggunakan masa sebagai alasan. “Releks la, baru pukul 9 pagi.” “Kenapa nak cepat-cepat, ini kan waktu rehat”. Dengan asyik melengah-lengahkan masa dan membiarkan diri terpedaya dengan masa yang ada, kita akan kehilangan masa tersebut.