Seronok berniaga secara online? Senang dan mudah untuk dilakukan terutama bagi mereka yang baru berniaga. Tapi tahukah anda ada beberapa kesilapan yang selalu peniaga lakukan mungkin sebab tak sedar atau tak tahu.
Kami ingin kongsikan 9 kesilapan berniaga di media sosial untuk rujukan anda serta melalui perkongsian ini, anda boleh perhebatkan lagi perniagaan anda di Facebook, Blog, Instagram dan media sosial lain yang anda gunakan.
Semoga ianya bermanfaat untuk anda.
9 kesilapan berniaga yang boleh kita elakkan:
1/ TERLEBIH PROMOSI DAN TIADA PROMOSI
Anda mungkin pernah lihat peniaga yang terlebih suka promosi perniagaan mereka di media sosial. Bila anda buka sahaja Facebook atau Instagram, timeline anda penuh dengan gambar-gambar dan jualan dari peniaga tersebut.
Tidakkah anda rasa ia menyakitkan mata? Atau adakah anda juga tergolong seperti mereka? Setiap masa upload gambar je di Facebook atau Instagram.
Bila anda ada perniagaan, ada media sosial tapi tak guna alat tersebut untuk promosi barangan anda juga satu kesilapan.
Anda gunakan media sosial tersebut untuk tujuan peribadi, langsung tidak perkenalkan barangan anda pada rakan-rakan media sosial. Ataupun, anda hanya “kadang-kadang” promosi guna media sosial. Contohnya, bila anda rasa nak update barangan di media sosial, anda update…bila anda rasa tidak mahu update, anda tidak updated.
2/ FOKUS PADA SATU CARA PROMOSI
Ramai kalangan peniaga yang menggunakan satu kaedah saja dalam memasarkan barangan mereka. Jika barangan tersebut tidak mendapat feedback dari orang ramai, mereka tidak mahu mencuba pelbagaikan media sosial yang lain.
Mungkin anda pernah dengar “buat apa nak guna banyak media sosial kalau satu media sosial pun dah tak menang tangan”.
Sebenarnya, ia terpulang pada anda. Jika satu media sosial seperti Facebook sudah cukup memberikan anda keuntungan yang banyak sehingga tak menang tangan, gunalah…tapi jika ia tak membantu anda, perniagaan anda masih ditahap yang sama, hanya cukup makan je, baik anda cari peluang yang lain.
Cuba anda fikir, anda nak keuntungan yang cukup makan sahaja ke?
3/ KURANG INTERAKSI
Ada peniaga yang kurang interaksi dengan pelanggan mereka. Contohnya penggunaan PM di media sosial seperti jika pelanggan mempunyai sebarang pertanyaan, mereka boleh PM…tetapi bila pelanggan PM, mereka tidak memberi maklum balas.
Sekiranya pelanggan PM pada waktu malam dan jika ia mengganggu waktu anda bersama keluarga, anda boleh balas pada waktu pagi. Bukan tidak hiraukan terus PM tersebut.
Kebanyakan peniaga juga hanya mahu orang like page mereka sahaja, tetapi mereka tidak mahu like page peniaga lain. Sebagai peniaga, interaksi antara anda dengan pelanggan dan peniaga lain juga penting seperti memberi komen di page mereka.
Jika anda tidak like page mereka, macam mana mereka nak like dan berinteraksi dengan anda.
4/ MENYALAHGUNA HASHTAG
Ramai peniaga menyalahgunakan #hashtag dalam perniagaan mereka. Contohnya anda berniaga shawl atau tudung, tapi masukkan hashtag #sayademam atau selainnya yang tidak sesuai.
Ada juga yang mengambil kesempatan dengan menggunakan hashtag trending yang popular. Bila anda berniaga, gunalah hashtag yang sesuai dengan perniagaan anda. Tidak perlu nak berlebih-lebih guna hashtag di Facebook, Blog atau Instagram.
Walaupun teknik ini memudahkan anda promosi barangan, tetapi ia tidak bersesuaian. Bayangkan anda menggunakan hashtag #PrayForPantaiTimur, tapi anda upload gambar sedang berseronok, adakah anda rasa ia sesuai dengan hashtag tersebut?
5/ BERNIAGA TANPA PERANCANGAN
Bila anda berniaga di media sosial, anda kena ada plan bila masa nak promosi barang, nak masukkan kata-kata motivasi, masukkan tips dan sebagainya. Ia untuk mengelakkan anda mengulangi post yang sama dan 24 jam post gambar produk anda.
Selain itu, bila anda berniaga tanpa plan, anda tak pasti nak berniaga produk apa. Contohnya, anda menjadi agen untuk semua produk barangan. Bila sesuatu produk sedang naik seperti produk kesihatan, anda akan jual produk tersebut. Bila ia sudah senyap, anda akan jual produk lain pula seperti jual shawl atau produk kecantikan.
Ada juga peniaga yang nak jual semua produk dalam media sosial seperti kecantikan, kesihatan, dan pakaian. Mereka beranggapan bahawa dengan menjual banyak produk, mereka akan mendapat hasil yang setimpal dengan jumlah produk yang dijual, tetapi kebanyakan ahli perniagaan berjaya melalui satu produk sahaja.
Yang penting anda fokus dan komited dengan barangan dan perniagaan anda.
6/ CAMPURKAN PERIBADI DENGAN PERNIAGAAN
Ramai antara peniaga yang tidak mempunyai akaun khusus untuk berniaga. Mereka sering mencampurkan media sosial peribadi dengan perniagaan.
Contohnya, menggunakan Facebook untuk tujuan peribadi dan berniaga.
Sebagai peniaga, anda harus buat satu page khusus untuk berniaga. Baru senang pelanggan nak merujuk barangan yang anda jual. Pernah tak anda buka Facebook seorang peniaga untuk membeli produknya, tetapi terpaksa mengambil masa yang lama kerana bercampur aduk dengan gambar peribadi atau post peribadi peniaga tersebut? Atau anda juga pernah buat begini?
7/ TIADA TARGET PELANGGAN
Sebelum anda buka akaun media sosial untuk berniaga, anda mesti tahu siapa target pelanggan anda, baru senang anda nak ‘cuit’ hati mereka untuk menggunakan produk anda. Betul tak?
Sebelum itu, anda kena selidik keadaan pasaran perniagaan, produk yang menjadi pilihan pelanggan dan keperluan pelanggan. Sekiranya anda buat perancangan ini, lagi mudah untuk anda target pelanggan dan pasaran perniagaan.
8/ PRIVATE AKAUN MEDIA SOSIAL
Cuba anda fikir, pernah tak anda nak beli sesuatu barangan, tetapi peniaga tersebut privatekan akaun media sosial mereka? Apa tujuan anda berniaga kalau anda nak privatekan perniagaan anda?
Ada juga sesetengah peniaga yang meletakkan syarat dalam perniagaan mereka seperti “hanya menerima tempahan melalui WhatsApp, panggilan telefon tidak akan dilayan”. Tidakkah ini menyusahkan pelanggan anda.
Bagaimana anda mahu perniagaan anda berjaya jika anda tidak mahu menerima cabaran dalam perniagaan?
9/ LAMBAT!
Pernah tak anda nak bertanyakan sesuatu soalan tentang produk yang dijual di media sosial tapi tuan punya kedai online ambil masa yang sangat lama untuk ‘reply PM’ atau komen anda?
Ada yang sampai berhari-hari sehinggakan prospek pun dah lupa yang mereka pernah PM anda! Berniaga di Media sosial pun kena ada sistem. Anda perlu tahu jika anda lambat reply PM, reply time anda akan jatuh dan tak lagi hijau. Faham ke faham?
Cari ilmu cara berniaga di media sosial supaya perniagaan anda mudah untuk berkembang.