- 09/05/2021
- Posted by: Team RichWorks
- Categories: Business Review, Pembangunan Peribadi
Selama sekitar 9 bulan, seorang ibu, emak, umi atau bonda mengandungkan kita dengan terpaksa menanggung kesakitan dan kesukaran ketika hendak melahirkan anaknya ke dunia ini.
Kemudian, kita dibesarkan dengan kasih sayang. Mereka berjaga siang dan malam bagi memastikan keperluan anaknya. Ibu membesarkan kita tanpa meminta sebarang balasan, hingga ada yang sudah bekerja dan ada pula yang sudah mempunyai keluarga sendiri.
Sesungguhnya, kasih sayang seorang ibu itu mengatasi segalanya, tidak ternilai dan tak terbalas dengan wang ringgit.
Dalam riwayat Ibnu Majah, Imam an-Nasai, Imam Ahmad, Imam at-Thabarani dan disahihkan oleh Imam al-Hakim yang disepakati oleh Imam adz-Dzahabi. Maksudnya:
“Bahawasanya ia (Muawiyah bin Jahimah) datang kepada Nabi SAW, lalu ia berkata: “Wahai Rasulullah, aku ingin berperang dan aku datang untuk meminta petunjukmu.” Nabi SAW bersabda; “Apakah engkau memiliki ibu?” Maka, dia menjawab ya. Dan Baginda SAW bersabda: “Beradalah dengannya kerana sesungguhnya syurga di bawah kedua kakinya.” (Hadis Riwayat An-Nasai, no. 3104)
Hadis ini menunjukkan bahawa, dalil berkenaan syurga di bawah tapak kaki itu adalah sahih dengan membawa makna, keredaan seseorang itu bergantung kepada redanya ibu bapanya. Maka bila mana ibu redha akan kita, urusan untuk ke syurga akan dipermudahkan, dengan izin Allah.
Sehubungan itu, Islam mewajibkan anak-anak untuk menghormati, taat dan berbuat baik kepada kedua ibu bapanya bukan saja ketika mereka masih hidup, malah selepas mereka meninggal dunia.
Firman ALLAH SWT:
“Dan kami perintahkan kepada manusia (agar berbuat baik) kepada kedua orang tuanya. Ibunya telah mengandungkannya dengan keadaan lemah yang bertambah-tambah dan tempoh menceraikan susunya adalah dalam usia dua tahun. Bersyukurlah kepada-KU dan kepada kedua orang tuamu. Hanya kepada AKULAH kamu kembali.” (Surah Luqman, ayat 14)
Selagi ibu kita masih ada, berusahalah untuk bersama-sama menyenangkan dan menjaga ibu kita.
Gembirakanlah ibu bapa kita.
Apatah lagi bagi kita yang tak dapat merentas negeri ini dengan Hari Raya Aidilfitri menjelang tiba. Jika tidak dapat balik kampung, gembirakanlah ibu bapa kita dengan panggilan telefon, video dan sebagainya.
Cari jalan, gunakan kemudahan teknologi yang ada bagi menghubungkan kita dengan mereka ini. Sama juga seperti di dalam bisnes, SOP yang perlu dipatuhi dan cari jalan untuk dapat marketing kepada sasaran anda walaupun dengan pergerakan yang terbatas.
Akhir sekali, kita perlu ingat betapa besarnya pengorbanan seorang ibu dan ayah itu. Ingatlah, seorang ibu boleh memelihara 10 orang anak. Tetapi, 10 orang anak belum tentu mampu menjaga seorang ibu.
Bagi yang ibunya sudah meninggal dunia, maka sentiasalah mendoakan keampunan untuknya, perbanyakkanlah amalan bersedekah untuk diniatkan pahalanya kepada arwah ibu.
Pesanan buat diri ini dan kita semua agar selagi masih bernafas, jangan sesekali lupa akan ibu anda. Lakukan perkara yang menyenangkan hati mereka sekiranya ibu masih ada dan bersedekah serta berdoalah selalu bagi yang sudah tiada.
Semoga dengan tindakan sedemikian, hidup kita akan diberkati dan dirahmati Allah SWT dan kita menjadi manusia yang berbahagia di dunia dan di akhirat kelak, insyaAllah.
Berikut antara doa yang boleh kita amalkan untuk mendoakan ibu dan bapa :
Ya Tuhanku! Ampunilah aku dan ibu bapaku dan rahmatilah serta sayangilah mereka sebagaimana mereka menyayangi dan mengasihi aku di masa kecil. (Surah Al Israk: Ayat 25)