Senarai 9 Bantuan untuk Usahawan di Malaysia

Masalah dari segi modal kewangan sering dialami oleh usahawan yang ingin mengembangkan perniagaan dengan lebih meluas. Ramai usahawan di luar sana menghadapi masalah ini. Lebih-lebih lagi jika syarikat mereka ingin bersaing, bantuan dari segi kewangan amat diperlukan supaya syarikat lebih berdaya saing.

Bagi usahawan di Malaysia, anda boleh menarik nafas lega. Kerajaan Malaysia serta beberapa institusi kewangan ada menawarkan geran dan dana untuk tujuan pembiayaan kepada usahawan. Dengan adanya dana dan geran yang mencukupi, usahawan dapat mengembangkan perniagaan mereka dengan lebih baik dan lancar.

Berikut kami kongsikan antara beberapa jenis geran pembiayaan, bantuan untuk usahawan dan dana yang boleh dipohon:

1. TERAJU

bantuan untuk usahawan - teraju

TERAJU merupakan sebuah perbadanan bernaung di bawah Jabatan Perdana Menteri yang berperanan membantu dan memberi galakan kepada usahawan bumiputera di Malaysia untuk bersaing di dalam perniagaan.

Antara skim atau bantuan untuk usahawan serta pembiayaan yang ditawarkan oleh TERAJU adalah:

Skim Usahawan Permulaan Bumiputera (SUPERB)

Jumlah pembiayaan yang disediakan kepada usahawan dan syarikat-syarikat pemula di bawah skim ini bernilai sehingga RM500,000. Jumlah ini agak besar dan mampu mengembangkan perniagaan anda dengan cepat jika digunakan dengan bijak.

Ada syarat-syarat yang ditetapkan untuk pemohon, antaranya:

  1. Bumiputera berumur 18 – 40 tahun.
  2. Syarikat perlu mempunyai 60% pegangan bumiputera.
  3. Beroperasi kurang dari 3 tahun.

Usahawan boleh berdaftar dan memohon skim SUPERB di website mereka. Selain dari skim ini, TERAJU juga menyediakan skim lain yang dikenali sebagai Syarikat Bumiputera Berprestasi Tinggi (TERAS). TERAS bertujuan untuk membantu perusahaan bumiputera yang telah stabil untuk berkembang ke pasaran luar negara.

2. TEKUN

richworks usahawan tekun

Terdapat sebuah agensi di bawah Kementerian Pembangunan  Usahawan dan Koperasi yang dikenali sebagai TEKUN. Agensi ini telah banyak memberikan bantuan pembiayaan kepada syarikat dan perniagaan.

Antara skim atau bantuan untuk usahawan yang TEKUN tawarkan adalah seperti berikut:

  • Skim Pembiayaan Tekun Niaga.

Skim ini layak diterima oleh pemohon yang sudah menjalankan perniagaan, bumiputera dan berumur antara 18 – 60 tahun. Jumlah pebiayaan yang ditawarkan adalah dari RM10,000 hingga RM100,000.

  • Skim Pembiayaan Teman Tekun.

Peluang kepada bumiputera dan masyarakat India lebih terbuka luas untuk skim ini. Jumlah pembiayaan bermula dari RM1,000 hingga RM20,000. Pembayaran semula perlu dibuat pada setiap minggu selama 2 hingga 5 tahun.

  • Skim Pembiayaan Program TemanNita.

Bumiputera wanita sahaja khas untuk skim ini. Dana pembiayaan yang diberikan berjumlah RM1,000 hingga RM20,000.

  • Skim Pembangunan Usahawan Masyarakat India (Spumi)

Jumlah pembiayaan sehingga RM100,000 ditawarkan khas untuk usahawan dari kalangan masyarakat India berumur antara 18 – 60 tahun.

Pihak TEKUN juga ada menyediakan beberapa jenis skim pembiayaan lain yang bersesuai untuk usahawan-usahawan di luar sana. Anda boleh lawati pejabat TEKUN yang berdekatan untuk mendapatkan info yang lebih lanjut.

3. MARA

richworks usahawan MARA

Majlis Amanah Rakyat (MARA) juga tidak terkecuali dalam usaha membangunkan usahawan di dalam negara. Mara lebih mengutamakan pembangunan ekonomi bagi golongan bumiputera di kawasan luar bandar.

Antara skim atau bantuan untuk usahawan yang ditawarkan oleh pihak MARA adalah:

  • Skim Pembiayaan Peningkatan Perniagaan (SPiM).

SPiM berfungsi membantu usahawan dalam melakukan pembelian harta milik tetap, ubah suai premis dan sebagai modal pusingan.

Pembiayaan bagi pemilikan tunggal terhad hingga RM250,000. Bagi syarikat Sendirian Berhad pula sehingga RM500,000.

  • Skim Jaminan Usahawan MARA (SJUM)

SJUM berfungsi sebagai satu jaminan dari pihak MARA sebagai penjamin untuk beberapa buah bank bagi mendapatkan pembiayaan. Had pembiayaan yang ditawarkan untuk pemilikan tunggal adalah hingga RM500,000 manakala untuk syarikat sdn bhd  berjumlah RM5,000,000.

Untuk memohon skim SJUM, syarikat dan perniagaan mestilah sudah beroperasi selama 2 tahun. Laporan Kewangan Beraudit selama 2 tahun juga perlu disediakan.

  • MARA Entrepreneur Guarantee Scheme (MEGS)

MEGS merupakan kerjasama antara Mara yang berfungsi sebagai penjamin dan Bank Rakyat sebagai pihak yang memberi pembiayaan.

Syarat untuk memohon skim MEGS) adalah syarikat berstatus bumiputera, telah beroperasi selama 2 tahun dan perlu mempunyai Laporan Kewangan Beraudit selama 2 tahun.

Had pembiayaan yang ditawarkan bagi milikan tunggal adalah hingga RM500,000. Syarikan sdn bhd pula berjumlah RM2,000,000.

4. SME Bank

richworks usahawan sme bank

SME Bank ada menawarkan pembiayaan khusus untuk perniagaan kecil dan sederhana di Malaysia.

  • Small Business Financing (SBF)

Perniagaan yang ada boleh dipertingkatkan kepada tahap yang lebih tinggi dengan adanya skim SBF ini. Kadar pembiayaan yang diberikan untuk penerima skim ini adalah dari jumlah RM100,000 – RM750,000.

Syarat utama yang diletakkan untuk mereka yang memohon adalah perniagaan anda mestilah beroperasi lebih dua tahun dan mencapai jualan tahunan berjumlah RM250,000.

  • Pembiayaan Kontrak

Pembiayaan ini dikhaskan untuk usahawan atau kontraktor yang memperoleh kontrak dari Jabatan atau Kementerian. Tidak ketinggalan, mereka yang menerima kontrak dari agensi kerajaan juga layak untuk menerima pembiayaan ini. Ia bagi membantu kelancaran projek yang diterima.

Pembiayaan ini diberikan dalam jumlah yang agak tinggi iaitu 100% dari kos kontrak yang diterima oleh usahawan dan kontraktor. Namun, pemohon mestilah individu yang merupakan kontraktor utama atau mereka yang dilantik sebagai sub-kontraktor sahaja.

Syarikat juga perlu didaftarkan dengan salah satu dari badan berikut:

  1. Kementerian Kewangan Malaysia. (MOF)
  2. Pusat Khidmat Kontraktor. (PKK)
  3. Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan. (CIDB)
  4. Badan-badan perlesenan lain yang terlibat dengan kontrak.
  • Business Accelerator Program (BAP)

BAP berfungsi membantu usahawan kecil dan sederhana untuk membeli asset tetap dan juga sebagai modal untuk perniagaan.

Had yang diberikan berjumlah dari RM50,000 – RM1,000,000. Kadar keuntungan yang diletakkan hanya 4% setahun.

Syarat yang diletakkan untuk memohon BAP adalah, syarikat mestilah berstatus Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) dan telah beroperasi selama 6 tahun.

5. PUNB

richworks usahawan punb

PUNB merupakan singkatan kepada Perbadanan Usahawan Nasional Berhad yang diwujudkan untuk membantu dalam sediakan dana dan khidmat nasihat berguna untuk perniagaan.

Antara beberapa jenis skim yang ditawarkan oleh PUNB adalah:

  • Prosper Teras

Usahawan peruncitan diberikan perhatian melalui skim ini, skim ini diberikan supaya mereka dapat menaiktaraf perniagaan mereka. Jumlah pembiayaan yang diberikan bermula dari RM100,000 – RM500,000. Jumlah tersebut boleh digunakan untuk mengubahsuai premis dan membeli stok.

Syarat untuk memohon skim ini adalah usahawan bumiputera yang berumur 18 tahun ke atas dan usia perniagaan lebih 1 tahun.

  • PKS

PKS diwujudkan bagi membantu usahawan atau syarikat di dalam bidang pembuatan dan perkhidmatan yang berpotensi untuk mengembangkannya ke luar negara.

Jumlah pembiayaan diberikan secara maksimum dari RM5,000,000 – RM10,000,000 bergantung kepada projek.

Ciri-ciri pemohon yang diberikan perhatian untuk menerima pembiayaan ini adalah usahawan bumiputera yang menjalankan perniagaan lebih 3 tahun serta akaun beraudit selama 3 tahun.

6. Cradle Fund Sdn Bhd

richworks usahawan cradle

Cradle Fund telah membantu lebih 700 buah syarikat start up di Malaysia melalui pelbagai dana dan pembiayaan. Antaranya adalah:

  • Cradle Investment Programme 300 (CIP300)

Geran dan dana berjumlah RM300,000 ditawarkan CIP300 untuk usahawan di luar sana yang memiliki idea inovatif dalam teknologi.

Usahawan yang terdiri daripada rakyat Malaysia berumur 18 tahun ke atas dan sudah menjalankan perniagaan berkonsepkan Sendirian Berhad kurang dari 3 tahun layak menerima CIP300.

  • DEQ800

DEQ800 merupakan pelaburan berbentuk equiti yang diberikan untuk syarikat baru dalam industri teknologi di Malaysia. Cradle sendiri yang akan melabur di dalam syarikat anda dan mereka akan mendapat keuntungan dari equiti tersebut selama 5 – 7 tahun.

Pihak Cradle menawarkan pelaburan equiti sehingga RM800,000. Syarat yang diletakkan untuk penerima pelaburan equiti adalah syarikat perlu beroperasi kurang dari 5 tahun dan dimiliki oleh 51% rakyat Malaysia. Disamping itu, keuntungan tahunan mesti kurang dari RM5,000,000.

7. Platcom HIP2

richworks usahawan platcom

HIP2 (High Impact Programme 2) merupakan satu platform (end – to – end) bagi inovasi komersial. HIP2 direka untuk membantu kelancaran proses inovasi bagi syarikat SME di Malaysia. Maklumat lebih lanjut boleh didapati dari laman web Platcom HIP2:

http://www.platcomventures.com/staging/HIP2-@-High_Impact_Programme_2.aspx

8. MDEC GTF

richworks usahawan MDEC

Sasaran GTF (Global Tech Fund) merupakan syarikat scale-up teknologi tempatan yang bersedia untuk masuk ke pasaran global ataupun mengembangkan pasaran global sedia ada yang telah diceburi.

GTF lebih fokus terhadap syarikat tempatan yang berpotensi untuk menjadi Unicorn selepas ini. Untuk info yang lebih lanjut, anda boleh rujuk pada link ini: https://mdec.my/digital-economy-initiatives/global-tech-fund-gtf/

9. Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM)

richworks usahawan Amanah Ikhtiar Malaysia

Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) ditubuhkan sebagai badan amanah persendirian yang bertanggungjawab untuk mengurangkan kadar kemiskinan di Malaysia. Selain itu, AIM juga menyediakan dana kewangan kepada usahawan-usahawan secara berterusan.

Antara skim pembiayaan yang disediakan adalah:

  • Skim i-Mesra.
  • Skim i-Srikandi.
  • Skim i-Wibawa.
  • Skim i-Sejahtera.
  • Skim i-Bestari.

Anda boleh dapatkan maklumat yang lebih lanjut melalui laman web Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM).

Seperti yang anda dapat lihat melalui perkongsian kali ini, banyak dana dan pembiayaan diberikan untuk membantu usahawan. Segala dana dan pembiayaan ini perlu digunakan dengan baik agar mereka mampu mengembangkan syarikat dengan lebih maju. Semoga dengan perkongsian Senarai Bantuan untuk Usahawan di Malaysia kali ini dapat menyelesaikan masalah yang membelenggu anda. Selamat maju jaya.



Leave a Reply