- 18/06/2021
- Posted by: Team Richworks teamrichworks
- Categories: Business Review, Pembangunan Peribadi
Marilah kita jadi orang yang bijak dalam merebut 5 perkara sebelum datang 5 perkara ini dalam kehidupan ini.
Walaupun sekarang kita berada dalam ‘Total Lockdown’ yang dilanjutkan sehingga 28 Jun ini. Masa tetap berlalu Pelan Pemulihan Negara yang diumumkan juga menjangkakan pada awal Julai baru kita akan memasuki Fasa Kedua jika kes baru jangkitan di bawah 4,000 orang sehari.
Sudah lama kita berkurung dalam rumah masing-masing dengan pergerakan yang terbatas namun ia sesuatu langkah dan tindakan yang perlu dilakukan ketika pandemik ini.
Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud:
“Rebutlah lima perkara sebelum datangnya lima perkara. Masa sihat sebelum sakit. Masa kaya sebelum datangnya masa sempit (miskin). Masa lapang sebelum tiba masa sibuk. Masa mudamu sebelum datang masa tua dan masa hidup sebelum tiba masa mati.” (Riwayat al-Hakim dan al-Baihaqi).
Hadis ini merupakan satu peringatan terbaik buat kita semua agar sentiasa berwaspada dengan waktu kehidupan yang banyak cabaran. Moga ia mnejadi iktibar yang boleh diambil dengan sentiasa mengingati lima perkara sebelum datangnya lima perkara ini.
5 perkara sebelum datang 5 perkara ini :
1. Sihat sebelum sakit
Ketika kita diberikan kesihatan yang baik, perlu kita gunakan sebaik mungkin untuk mengerjakan amal ibadah kepada Allah SWT dan menjalankan tanggungjawab masing-masing.
Jika datangnya sakit, kekuatan kita sudah berkurang dan hingga ada tak mampu untuk beribadah dengan sempurna. Bagaimanapun, ramai di antara kita ketika sihat lalai atau terus meninggalkan ibadah yang diwajibkan ketika melakukan kerja-kerja.
2. Muda sebelum tua
Ketika di usia masih muda, mulalah mendidik dan melatih diri untuk lakukan perintah Allah SWT dan elak melakukan perkara yang dilarang-Nya.
Ia akan menjadi kebiasaan dan memudahkan seseorang itu untuk melakukan ibadah kepada Allah SWT meskipun dalam apa jua keadaan.
3. Kaya Sebelum Miskin
Rezeki yang ada perlulah dikongsikan kepada orang yang memerlukan. Tidak rugi pun bila berkongsi rezeki kerana Allah SWT akan tambah lagi.
Ikut kemampuan masing-masing, apa yang penting adalah keikhlasan dan niat kita untuk membantu. Allah SWT sangat memuliakan orang-orang yang suka bersedekah.
4. Lapang sebelum sempit
Gunakan masa lapang yang terluang dengan melakukan perkara-perkara berfaedah dan mengingati Allah SWT. Hargailah masa bersama keluarga anda, jaga hubungan terutama dengan ibu bapa kita yang mungkin berjauhan ketika ini disebabkan tidak dapat balik kampung.
Dalam dunia teknologi maklumat ini, kita perlu pandai menjaga masa bagi elakkan sentiasa sibuk dengan perkara-perkara remeh dan tidak penting.
5. Hidup sebelum mati
Mati tidak mengenal usia, muda ataupun tua. Bila-bila masa kita boleh diambil nyawa yang dipinjamkan ini. Tapi persoalan penting di sini adakah kita sudah bersedia dengan bekalan untuk kehidupan di akhirat kelak?
Ingatlah, kehidupan kita ini terlalu singkat kerana dunia ini hanya sementara. Manfaatkan kehidupan dengan sentiasa mendekatkan diri dengan Allah SWT dan melakukan amal kebaikan yang disukai-Nya.
Kerja dan bisnes dilakukan juga suatu ibadah jika niat kita betul. Niatkan untuk membantu orang lain dengan peluang kerja, menyara keluarga, mahu bersedekah kepada mereka memerlukan dan dapat melakukan lebih banyak amal jariah.
Kita juga boleh jadikan lima perkara ini sebagai kayu ukur sepanjang kehidupan agar tidak tersasar daripada landasan yang benar. Semoga diri kita sentiasa dirahmati dan dilindungi oleh Allah SWT.
Dalam pada itu, ingatlah apa yang kita ada dan miliki ketika ini hanyalah sementara di samping sedar bahawa harta dunia yang dicari akan hadir bersama tanggungjawab cukup besar.
Harta yang kita peroleh bukan semuanya milik kita secara mutlak, sebaliknya ada bahagian ataupun hak orang lain yang perlu kita tunaikan. Sebab itu, dalam Islam adanya istilah zakat dan sedekah. Ia dapat mendidik jiwa kita agar berkongsi rezeki dan tidak bakhil untuk memberikan bahagian tertentu kepada mereka yang berhak.
Semoga kita tergolong dalam kalangan hamba Allah SWT yang sentiasa mensyukuri nikmat yang dikurniakan dan memanfaatkan nikmat itu dengan perkara yang baik. Di samping itu, mohonlah agar Allah SWT agar terus menganugerahkan nikmat-Nya kepada kita dan menambahnya dari semasa ke semasa.
Firman Allah SWT bermaksud:
“Dan (ingatlah) tatkala Tuhan kamu memberitahu: Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambah nikmat-Ku kepada kamu dan demi sesungguhnya jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azab-Ku amatlah keras.” (Surah Ibrahim, ayat 7)