5 Cabaran Utama Usahawan dan Solusinya

Bila dah bergelar usahawan, jangan ingat anda sudah berada di tahap yang selesa. Pasti akan ada sahaja cabaran yang perlu ditempuhi. Bukan sahaja usahawan, malah pekerjaan apa sekalipun ada cabarannya yang tertentu.

Inilah yang akan menentukan kredibiliti anda berada di tahap yang terbaik atau sebaliknya. Namun, walau apa pun cabaran yang mendatang sudah pasti ada jalan penyelesaiannya.

Disini saya kongsikan antara cabaran utama usahawan yang seringkali melanda. Antaranya adalah:

1. Cabaran kewangan.

Kewangan merupakan cabaran utama yang seringkali dihadapi oleh usahawan. Masalah yang muncul berkenaan kewangan merangkumi pelbagai aspek. Antaranya ialah bajet tidak cukup, kerosakan mesin, masalah aliran tunai, pengurusan akaun tidak terkawal, masalah hutang, kos operasi, kos material dan kos-kos tambahan yang lain.

Lebih mengejutkan lagi jika masalah ini berlaku tanpa diduga. Pepatah ada mengatakan ‘ sediakan payung sebelum hujan’.

Oleh sebab itulah, selalu ditekankan tentang penjagaan kewangan sejak dari mula berniaga lagi bagi mengelakkan berlakunya masalah kebocoran duit berlaku. Rekod segala transaksi kewangan yang berlaku dengan teliti. Pastikan tidak berlaku apa-apa kesilapan ketika merekod aliran tunai keluar masuk.

Oleh sebab itu, seseorang usahawan itu perlu menuntut ilmu berkenaan pengurusan kewangan dengan sebaiknya. Kalau perkara ini diabaikan, perniagaan anda tidak dapat bertahan lama.

Setiap masalah pasti ada jalan penyelesaiannya. Berikut antara cara yang boleh dilakukan untuk mengelakkan masalah ini terjadi:

  • Anda perlu lengkapkan diri anda dengan ilmu pengurusan kewangan dengan cukup. Jangan malu untuk menuntut ilmu biarpun anda sudah memiliki syarikat yang besar.
  • Anda perlu pisahkan antara kewangan perniagaan anda dengan kewangan peribadi. Jangan campur adukkan duit perniagaan dengan duit anda sendiri. Perkara ini tidak sepatutnya berlaku.
  • Dapatkan bantuan dari mereka yang mahir tentang pengurusan kewangan.
  • Anda perlu pastikan keuntungan syarikat anda lebih tinggi mengatasi kos dan hutang syarikat.
  • Setiap perniagaan perlu mengambil langkah membina tabung kecemasan atau dana untuk perniagaan agar duit yang disimpan boleh digunakan pada waktu-waktu tertentu. .
  • Anda boleh dapatkan dana, geran dan juga pembiayaan yang disediakan untuk usahawan di Malaysia.

2. Cabaran persaingan.

Buat apa sahaja yang mendatangkan duit pasti ada persaingannya. Jual goreng pisang pun ada pesaing, apatah lagi kalau anda sudah ada perniagaan yang besar. Ramai orang sedang memerhatikan tindak tanduk anda. Anda harus ingat, tidak semua pesaing bersaing secara sihat.

Budaya bersaing secara tidak sihat perlu dielakkan kerana ianya hanya akan membawa kemudaratan buat perniagaan yang telah anda bina. Bukan itu sahaja, imej anda sebagai seorang usahawan juga akan tercalar. Ia memberi tanggapan yang buruk terhadap semua kakitangan, jadi fikir sebelum lakukan

Competitors to be feared is one who never bothers about you at all, but goes on making his own business better all the time.” – Henry Ford.

Jadi, bagaimana nak pastikan perniagaan anda sentiasa mendapat tempat di hati pengguna?

  • Amalkan persaingan secara sihat. Gunakan ia sebagai satu peluang untuk anda lebih mengenali dan bekerjasama dengan kakitangan untuk memikirkan sesuatu solusi.
  • Buat strategi pemasaran yang betul. Anda perlu tahu siapa sasaran anda dan lakukan pemasaran dengan sebaiknya. Fokus kepada kualiti. Pelanggan akan lebih tertarik pada barangan atau perkhidmatan yang membawa banyak manfaat dan kelebihan.
  • Mantapkan brand perniagaan anda. Anda perlu mencari USP iaitu (Unique Selling Point) brand anda sendiri. Itu adalah kunci untuk serlahkkan perniagaan anda di mata masyarakat.

3. Cabaran emosi dan motivasi.

Usahawan juga sama seperti manusia biasa yang mempunyai emosi dan perasaan. Lagi-lagi kalau mereka berdepan dengan pelbagai cabaran. Walaupun diri mereka sudah diajar tentang semangat yang tinggi dan sikap profesional, ada kalanya mereka juga pernah alami perasaan sedih, marah, risau dan sebagainya dari masa ke semasa.

Lebih teruk lagi jika semangat motivasi untuk lakukan perniagaan sudah hilang. Mereka sudah tentunya akan rasa putus asa.

Kalau dibiarkan berlarutan, padah jawabnya. Jadi, bagaimana nak hadapi masalah emosi ini?

  • Ambil masa untuk tenangkan fikiran secara bersendirian.

Kosongkan minda anda buat seketika waktu. Pada masa ini, ingat kembali apakah tujuan dan juga BIG WHY anda melakukan perniagaan. Fikirkan tentang matlamat yang anda ingin capai dengan perniagaan anda. Paling penting, ingat kembali perjalanan yang pernah anda lalui untuk capai ke tahap anda yang sekarang.

Adakah berbaloi untuk anda patah semangat? Kuatkan azam anda.

  • Luangkan masa bersama keluarga dan rakan-rakan.

Tidak dinafikan, meluangkan masa bersama keluarga dan rakan-rakan mampu menimbulkan perasaan gembira. Buat aktiviti yang anda minat sama ada bersukan, membeli belah, menonton wayang dan sebagainya.

Anda juga boleh berdamping dengan rakan-rakan usahawan anda yang lain. Anda boleh berkongsi idea dan juga sama-sama berfikir untuk mencari jalan penyelesainnya. Disamping itu anda juga boleh terdedah dengan aura positif daripada mereka.

  • Hadir ke kelas keusahawanan dan seminar perniagaan.

Sesiapa sahaja yang pernah menghadiri kelas atau seminar berkaitan perniagaan pasti bersetuju dengan cara ini. Kelas dan seminar berkenaan perniagaan amat membantu para usahawan dan peniaga untuk membina motivasi dan tingkatkan tenaga ke tahap maksimum. Apatah lagi jika kelas itu dihadiri oleh ramai individu berjaya. Lagi banyak aura positif dan semangat yang boleh diperolehi bersama.

Oleh sebab itu kita dapat lihat ramai usahawan di luar sana sentiasa meghadirkan diri ke seminar-seminar yang dilangsungkan. Ia mampu memberikan manfaat buat para peniaga. Di samping memperoleh ilmu, dapat juga lepaskan tekanan dan berjumpa rakan-rakan perniagaan baru.

4. Cabaran sistem

Sesebuah perniagaan itu berjaya dengan adanya sistem yang berfungsi dengan baik. Dalam perniagaan juga memerlukan sistem. Tanpa sistem, tidak bergerak majulah perniagaan yang dilakukan.

Perniagaan yang berjaya dan berkembang maju adalah perniagaan yang sistematik. Tahukah anda? ada dua faktor utama yang mendorong perniagaan kearah sistematik, antaranya:

  • Sistem Pengurusan Dalaman.
  • Sistem Jaringan (Networking).

Sistem Pengurusan Dalaman.

Bagi faktor ini, ia melibatkan pengurusan dalaman yang terdiri daripada pekerja syarikat, kewangan syarikat, dokumen syarikat, lokasi sesebuah syarikat dan lain-lain yang berkaitan. Cuba anda bayangkan jika ada antara sistem ini tidak lengkap, bolehkah syarikat berkembang dengan pesat?

Malah, banyak masalah yang akan timbul antaranya pekerja yang bermasalah, dokumen syarikat tersebar, seleweng duit syarikat dan bermacam-macam lagi yang tidak diduga boleh terjadi.

Sistem Jaringan (Networking).

Sistem jaringan merupakan faktor luaran yang perlu diberikan perhatian. Sama sahaja konsepnya dengan sistem pengurusan dalaman. Networking sangat penting kerana tidak ada perusahaan yang boleh bertahan tanpa sokongan yang sistematik. 

Sistem Jaringan (Networking) adalah mereka yang terdiri daripada pembekal, rakan kongsi, pemborong dan lain-lain. Tanpa adanya mereka, perniagaan sukar untuk beroperasi.

Untuk memastikan anda boleh menghadapi cabaran sistem ini, anda perlulah:

  • Mencipta sistem pengurusan dalaman syarikat yang lebih teratur mengikut kepakaran masing-masing. Pastikan sistem itu mudah untuk diikuti.
  • Anda juga perlu memastikan pengurusan kewangan syarikat anda lebih sistematik.
  • Bina networking sebaiknya. Luaskan pandangan dan bina jalinan dengan usahawan-usahawan lain agar dapat saling berkongsi ilmu dan info berguna berkenaan pembekal, pemborong dan lain-lain.

5. Masalah Jangkaan Sosial.

Masalah ini banyak melanda usahawan-usahawan wanita. Walaupun sudah mencapai tahun 2021, masih ada sesetengah masyarakat mempunyai tanggapan tertentu terhadap wanita yang lebih berjaya dan kaya daripada lelaki.

“Berjaya” bebas untuk dicapai oleh kedua-dua jantina, tidak kira dalam sektor apa sekali pun. Tidak ada faktor yang membataskan seseorang individu untuk mencapai impiannya. Asalkan ia boleh membawa manfaat.

Sama juga dalam berniaga, usahawan banyak memberikan manfaat kepada masyarakat dan negara khususnya di Malaysia.

Jadi, tidak ada istilah ‘tidak boleh’ untuk wanita. Tukar stigma dan pemikiran kolot itu.

Masalah ini boleh diselesaikan dan tidak akan berlarutan jika para usahawan wanita bijak menanganinya. Caranya adalah dengan:

  • Berani mencuba dan berdepan dengan segala masalah yang berlaku untuk membuktikan bahawa wanita juga boleh berjaya. Action talk louder than words.
  • Sentiasa menuntut ilmu tentang perniagaan bersama mereka yang telah berjaya.
  • Jalinkan hubungan yang baik bersama rakan usahawan yang lain agar anda lebih terdedah dengan realiti usahawan sebenar.

Bagaimana? Anda sanggup untuk menempuh dugaan-dugaan di atas? Itulah realiti yang dialami oleh para usahawan di luar sana. Sungguh, tidak mudah untuk berjaya. Banyak cabaran dan liku-liku perlu dijalani untuk berada di tahap yang baik dalam perniagaan.

Namun anda harus ingat, tanpa ujian dan cabaran anda tidak akan menjadi insan yang cekal seperti sekarang. Semoga dengan perkongsian ini dapat memberikan anda sedikit gambaran dan info yang berguna. Selamat maju jaya para peniaga dan usahawan semua.



Leave a Reply