- 09/06/2021
- Posted by: Team Richworks teamrichworks
- Categories: Business Review, Pembangunan Peribadi
Persepsi sesetengah daripada kita bagi orang kaya dan berjaya ini seorang yang tamak dan pentingkan diri sendiri. Hanya pedulikan tentang diri sendiri dan keluarga.
Mungkin ada segelintir yang sedemikian rupa, tapi ada saja mereka yang kaya ini prihatin kepada orang lain. Mereka gunakan duit yang ada itu untuk kebaikan semua orang dalam pelbagai cara.
Melalui kekayaan dengan mempunyai duit yang banyak, maka lebih ‘berkemampuan’ kita untuk membantu lebih banyak orang yang memerlukan. Percayalah, dalam rezeki kita ini, ada juga rezeki orang lain.
Contoh terbaik adalah kisah sahabat Nabi Muhammad SAW dan jutawan, Abdul Rahman bin Auf. Beliau salah seorang daripada 10 yang dijanjikan syurga oleh Rasulullah SAW. Jihad hartanya lebih hebat jika dibandingkan jihad peperangan ketika itu.
Dulu ketika Kota Madinah menghadapi situasi kering menyebabkan kekurangan bekalan makanan dan perniagaan agak merosot. Maka saat itu, Baginda SAW amat berharap sahabat dapat menginfakkan harta ke jalan Allah SWT.
Antara sahabat yang menginfakkan harta ialah Abdul Rahman yang menghadiahkan sebanyak 200 Auqiyyah emas (kira-kira 5580 gram emas). Infak Abdul Rahman tidak terhenti di situ. Banyak keadaan menyaksikan Abdul Rahman tampil menyerahkan hartanya ke jalan Allah SWT.
Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah telah membeli daripada orang yang beriman akan jiwa mereka dan harta benda mereka dengan (balasan) bahawa mereka akan beroleh syurga.” (Surah at-Taubah, ayat 111)
Abdul Rahman merupakan model yang harus dicontohi kerana sanggup mengorbankan nyawa bahkan seluruh hartanya untuk agama Allah SWT.
Keinginan untuk membantu dengan kemampuan untuk membantu merupakan dua perkara yang berbeza. Sesetengah orang yang mempunyai kekayaan, lebih berkemampuan berbanding yang lain bagi menghulurkan bantuan, berkongsi rezeki kepada mereka yang memerlukan.
Maka jika anda diberikan pilihan, adakah ingin menjadi orang yang ada kekayaan?