- 25/02/2021
- Posted by: Team RichWorks
- Categories: Business Review, Pembangunan Peribadi
*Tulisan ini agak panjang tetapi sesiapa yang mampu habis membacanya bermakna anda mempunyai kemampuan untuk fokus dan kuasai akal, minda dan hati anda insyaAllah.
Acapkali dalam hidup ini kita “tersasar” dari apa yang hati kita inginkan. Contoh, di dalam hati kita, mungkin kita ingin merubah keadaan kewangan kita dengan berniaga.
Tetapi disebabkan kita mungkin selama ini tidak pernah berniaga, hati kita nak tetapi jadi kecut atau takut bila akal kita memberikan kata-kata “logik” bagi kita seperti “Kau dan keturunan kau mana pernah berniaga,” “Kau tak boleh berniaga,” “Nanti kau rugi nanti,” “Kau mana ada modal nak berniaga.”
Ini adalah “sabotaj” akal kita mungkin tahap pertama. Semakin kuat hati kita mahu memulakannya, lagi kuat akal kita mengakalkan kita. Dan apa yang akal suarakan kita pada tahap pertama, bila kita “terima” secara tidak sedar akan buat kita tumpukan atau “nampak” mereka yang telah gagal atau bertemu dengan mereka yang telah rugi.
Akal juga akan berusaha pada tahap ketiga untuk buat kita sibuk dengan apa sahaja yang kita BIASA lakukan sehingga kita “melupakan” atau tangguhkan tumpuan dan hasrat tindakan kita untuk berniaga tersebut.
Akal. Makhluk paling licik yang Tuhan jadikan. Ia mampu mengakalkan kita dengan tujuan agar kita tidak merubah apa-apa dengan apa yang kita ada atau melakukan perkara yang “berisiko” yang kita tidak biasa lakukan.
Kelicikan akal ialah ia mampu menguasai fikiran dan hati kita untuk percaya dan ikut apa yang akal kita bisikkan.
Akal pandai mengakalkan kita. Akal akan tetap pada “pegangan” fikiran apa yang telah kita percaya dan yakini sejak kecil atau di sekolah. Ia yakini selepas bertubi-tubi melihat, mendengar, merasa dan mengalami sesuatu berulang kali.
Contoh, sejak kecil telah diulang-ulang bahawa Melayu tidak boleh berniaga. Orang Melayu perlukan subsidi, orang Melayu hanya boleh kerja makan gaji dengan kerajaan (Ini contoh), maka apa yang diulang itu lama-lama sebati menjadi “pegangan” akal.
Dan ia terserlahlah dan menjadi paksi di dalam setiap keputusan dan tindakan kita. Sehinggalah saat ia berada di dalam suasana atau keadaan yang “mencabar” pegangan tersebut.
Contohnya bila berada di dalam kelas seminar-seminar saya kerana pada waktu itu, apa yang anda percaya selama ini bahawa Melayu tidak pandai berniaga, Melayu tidak boleh berniaga tanpa pinjaman, Melayu tidak mampu buat duit sehingga RM1 juta sebulan atau lebih, semua pegangan anda selama ini di dalam akal anda akan tercabar.
Pada saat itu, akal anda yang terlalu kuat pegangan kepada kepercayaan makan gaji akan bangkit menentang dengan menafikan atau menimbulkan lebih banyak keraguan sama ada memberikan anda keraguan kepada diri sendiri atau menerima fitnah atau kata-kata jahat dari “akal-akal” lain yang bersepakat untuk tidak mahu menukar pegangan,
Dan apa yang mereka percaya selama ini iaitu Melayu tidak boleh berniaga dan mana mungkin ada Melayu yang berjaya dalam perniagaan mampu mengajar Melayu lain berjaya dalam perniagaan. Ia tidak pernah berlaku dalam sejarah Melayu.
Biasa orang Melayu dah jadi jutawan baik mereka layan golf, kahwin banyak dan sibuk dengan kekayaan mereka, bisik akal anda.
Tetapi satu sahaja yang mampu menjadi pencetus ummah kepada permulaan perubahan hidup anda dan keluarga anda pada saat itu, iaitu bila anda tidak perlu percaya tetapi beri peluang kepada diri sendiri untuk explore apakah potensi dan kemungkinan yang ada?
Adakah benar sebenarnya dengan ilmu perniagaan yang betul dari pengalaman orang yang terbukti kepada dirinya serta ramai orang lain akan dapat membantu perubahan hidup anda?
Anda, Akal, Minda dan Hati!
Dalam hidup ini, antara peperangan dan perkara yang paling payah nak kuasai sebenarnya adalah diri sendiri.
Sebab itu bila anda mempunyai kuasa minda jutawan, segalanya tentang diri dan hidup anda akan mula berubah tetapi untuk melakukan perubahan tersebut, ia memerlukan M.E.S.T.I – Mentor, Emotional Intelligence, System / Strategi yang betul, Tindakan yang berani, luar biasa dan konsisten berterusan serta Istiqamah dengan Intention atau niat yang betul dari mula sampai habis.
Jika akal kita beroperasi atau “lock” pada tahap tertentu, maka hidup kita pun akan tersangkut atau “lock” pada keadaan tertentu.
Sebab itu saya selalu sebut, bila minda kita berubah, In sha Allah segalanya akan berubah.
Rugilah siapa yang tidak kenal diri mereka, rata-rata kerana mereka akan terlepas mengenal betapa hebatnya anugerah Tuhan pada dirinya sebenar-benarnya!
Teringat lirik lagu Rabbani/Hijaz ini:-
Pandangan mata selalu menipu
Pandangan akal selalu tersalah
Pandangan nafsu selalu melulu
Pandangan hati itu yang hakiki, kalau hati itu bersih! Hati – Kolam jiwa.
Hidup hanya sekali dan adakah kita hidup penuh hakiki? Cuba fikirkan dan jawab soalan ini…
Semakin hari semakin pantas perubahan berlaku di sekeliling kita. Perkara yang penting hari ini juga adalah melakukan perubahan dan peningkatan.