Bagi pasangan suami isteri Rosdi Mohamed dan Siti Sarah Abdul Sani, mereka mahu berniaga bagi menjaga anak sulung yang pada ketika itu sudah hampir memasuki sekolah menengah dan tidak boleh duduk di pusat penjagaan lagi.
Menurut Rosdi, beliau dan isteri runsing memikirkan siapa yang akan dapat menjaga anak perempuannya itu dan akhirnya timbul idea untuk menjalankan bisnes.
Katanya, beliau juga memang suka baca buku berkenaan bisnes dan rasa ia boleh dijalankan bagi menjana pendapatan.
“Ketika itu, isteri saya yang bekerja sebagai pentadbir sistem di kilang percetakan sanggup berkorban untuk berhenti kerja dan menjaga anak di samping menjalankan bisnes sepenuh masa yang bermula dari rumah.
“Saya menyokongnya dengan membantu secara separuh masa ketika bercuti dan di waktu lapang yang ada,” katanya yang merupakan seorang jurutera di sebuah syarikat penerbangan kos rendah di negara hingga hari ini.
Bagaimanapun, disangka panas sampai ke petang, rupa-rupanya hujan di tengah hari. Bisnes yang dijalankan itu entah ke mana.
Meskipun sudah menyewa kedai di Seri Kembangan, Selangor dengan menjual pelbagai barangan seperti kain pasang, baju kurung dan sebagainya, namun hasil yang diterima tidak seberapa.