Pengalaman hampir 20 tahun dalam bidang perakaunan tidak menjamin bisnes yang dilakukan boleh berjaya
Perniagaan ini tidak akan boleh berjalan dengan baik jika tiada pemikiran yang betul, tingkah laku dan tindakan yang berterusan tanpa kenal erti putus asa.
Begitulah yang dihadapi oleh Ketua Pegawai Eksekutif ZAMZAM Corporate Services Sdn. Bhd., Nor Zam Zam Ibrahim pada 15 tahun dulu.
Situasi itu berlaku apabila beliau melakukan bisnes yang bukan mengikut kepakaran yang dimiliki.
“Berniaga tidak ada ilmu, ‘syok’ sendiri hingga berhutang ratusan ribu ringgit dengan kesilapan demi kesilapan dilakukan menjadi sejarah hitam dalam hidup saya.
“Sampaikan rumah hampir dilelong. Ketika itu anak telefon saya beritahu rumah yang dihuni hendak dilelong dan terpaksa mencari rumah kedai tingkat atas untuk disewa,” imbaunya lagi.
Waktu itu, nama beliau disenarai hitamkan dan nama bekas suami sebagai penjamin juga terpalit sama hingga mereka berpisah selepas itu.
“Waktu itu memang ibarat nak lemas di tengah lautan.
“Saya kerja dan buat bermacam-macam bisnes sambilan seperti insurans tapi tiada kebebasan masa dan kewangan. Dalam hati ini sebenarnya sudah takut nak buat bisnes,” ujarnya.