Mempunyai matlamat dan cita-cita besar dalam hidup membuatkan Hasni Ahmad, 27, tekad mengubah laluan hidup dengan mengejar impiannya untuk menjadi seorang jutawan berjaya.
Mengusahakan syarikat pembinaan rumah di Kuala Terengganu, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) dan Pengarah kepada Anjung Impian Development Sdn. Bhd. ini pernah berkhidmat sebagai seorang akauntan di Kuantan, Pahang selama tiga tahun sebelum mengambil keputusan untuk meletakkan jawatan dan mulakan perniagaan.
Pada mulanya, beliau memulakan perusahaan dalam industri penternakan itik dan ladangnya dengan purata pengeluaran 1,500 ke 2,000 biji telur sehari.
“Memang banyak, muka pun dah macam telur dah. Namun, segalanya mulai berubah setelah kemunculan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Saya hanya merasai kemanisannya selama enam bulan sahaja.
“Stok telur terlalu banyak dan kita tak boleh menyimpannya. Kutipan telur lebih kurang 30,000 ke 60,000 biji tak boleh dipasarkan. Waktu itu memang sangat stres sebab pelaburan besar telah dikeluarkan untuk projek ini.