Kehadiran pandemik benar-benar telah mengubah kebanyakan landskap perniagaan yang dimiliki usahawan pada masa kini.
Seperti Nur Sheraida Alimadi (Sheraida) yang merupakan pengasas kepada Cocodoki International Sdn. Bhd., beliau pada asalnya melibatkan diri dalam bidang pengurusan acara dan perkahwinan sebelum beralih kepada industri makanan dan minuman (F&B).
“Disebabkan terjadinya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) beberapa tahun yang lalu, kami ubah bisnes kepada F&B dan mulai memberi fokus untuk membina jenama Panda Bites.
“Situasinya memang mencabar kerana kami beralih ke industri yang berbeza. Tapi, alhamdulillah kami yakin dengan tindakan ini disebabkan telah membuat kajian pasaran tentang bisnes apa yang boleh dijalankan sebab waktu itu memang kami tengah stuck.
“Oleh itu, akhirnya kami memilih untuk membuat chocojar tapi hanya memfokuskan kepada pasaran Sabah dan Sarawak memandangkan saya berasal dari Sabah,” jelasnya yang memilih nama Panda Bites yang bertemakan warna merah agar mudah diingati oleh orang ramai terutamanya golongan kanak-kanak.