Anda baru mulakan perniagaan? Tahniah!
Tapi tahukah anda ada beberapa perkara yang anda perlu tahu tentang memulakan perniagaan? iaitu perkara yang anda boleh buat dan jangan buat dalam bisnes? Berniaga jangan syok sendiri, perlu ada ilmu yang betul dan ilmu yang dah terbukti menjayakan ramai peniaga lain.
Untuk bantu anda memulakan perniagaan dan untuk bantu anda tak buat kesilapan yang besar, kami kongsikan ‘10 do’s and don’ts’ atau perkara boleh buat & jangan buat dalam bisnes untuk anda baca, fahamkan dan lakukan tindakan.
10 perkara boleh buat dan jangan buat dalam bisnes ini untuk anda beri perhatian :
1. Jangan ambil hati
Jangan mudah sentap! Jangan ambil hati dengan pandangan dan kata-kata orang luar. Mereka mungkin mahu menjatuhkan perniagaan anda dan dengki dengan kemajuan yang anda perolehi, atau mereka sebenarnya takut anda gagal. Apa yang perlu anda lakukan ialah, ambil nasihat yang baik-baik sahaja dan anggap ini sebagai cabaran untuk anda perbaiki kelemahan perniagaan anda.
2. Komitmen berterusan
Pastikan tindakan yang anda buat adalah secara berterusan dan penuh komitmen. Bekerja untuk mencapai impian sangatlah digalakkan. Anda tidak mudah gagal sekiranya setiap pekerjaan dilakukan dengan usaha yang tekun. Amat penting untuk anda kekal positif, bersemangat dan bersungguh-sungguh. Ini kerana, jika anda bekerja keras, tetapi sikap anda dengan masyarakat sekeliling adalah buruk, ia boleh membunuh kerjaya anda.
3. Etika kerja yang mantap
Rakan-rakan dan keluarga adalah insan yang penting di sisi anda, tetapi pengorbanan dan keseimbangan harus dilakukan. Perlu diasingkan hal peribadi dan pekerjaan. Jika bercampur, akan merosakkan hubungan majikan dan pekerja. Jangan sebab nak menjaga hati sahabat dan keluarga kita sanggup makan hati dan rugi.
4. Kekal dalam batas profesionalisme
Berhati-hati dalam membina hubungan peribadi dengan pelanggan. Apabila anda membentuk perniagaan, anda sentiasa berhubung dengan ramai pelanggan yang berbagai ragam. Adalah penting untuk melayan semua orang sama rata, tanpa melibatkan perasaan peribadi.
5. Membina rangkaian
Cuba ubah persekitaran anda dan cuba luaskan rangkaian dan kenalan. Anda kena belajar untuk kenal dengan ramai usahawan lain. Jangan takut untuk kenal pesaing anda kerana sebenarnya itu akan membantu anda membina perniagaan yang lebih baik. Jika anda seorang peniaga, dan anda berkawan hanya dengan orang yang bekerja, susah juga untuk anda mendapat sokongan dari mereka.
6. Perjanjian bertulis
Adakah anda seorang yang mencapai persetujuan melalui kata-kata, telefon atau secara berhadapan? Dalam dunia perniagaan, kata-kata sahaja tidak memberi sebarang makna, tetapi kertas kerja adalah paling utama. Ia merupakan satu perjanjian yang sah dan tidak boleh ditipu. Setiap perjanjian bersama stokis, agen, pembekal, pengedar semuanya perlukan perjanjian secara bertulis.
7. Sentiasa bersedia
Tidak ada perniagaan yang tidak dibadai ombak. Pasti akan ada turun naik dan untung ruginya. Sekiranya perniagaan bermasalah dengan pelanggan atau sesiapa sahaja, kuatkan semangat, kentalkan jiwa, teruskan berusaha dan maju ke hadapan. Ia akan merugikan masa dan membazirkan tenaga jika anda fikirkannya. Ia tidak memberi apa-apa manfaat kepada anda. Jangan mudah merajuk dengan dugaan. Jadikan ianya suatu alat untuk anda bangun lebih kuat.
8. Jangan salah berguru
Jangan sesekali menerima tunjuk ajar dari rakan-rakan yang tidak ada ilmu perniagaan. Ini kerana, mereka tidak ada pengalaman dan ilmu perniagaan. Apa yang mereka beritahu anda, hanya berpandu pada pemerhatian mereka sahaja. Cari ilmu yang dapat beri anda kepastian bahawa bila anda praktikkan ilmu tersebut, anda akan berjaya.
9. Pembahagian tugas
Peka dengan masa anda dan elakkan dari lalai supaya anda dapat fokus dengan kerja-kerja yang penting. Kadang kala ianya mudah untuk berkata ya kepada setiap perkara, tetapi kekalkan kebolehan sebenar anda dan asingkan mengikut kepentingan. Kalau tidak, anda akan stress. Rancang untuk anda seorang pembantu yang dapat membantu anda dari semua segi. Bila perniagaan dah semakin besar, bolehlah wujudkan team.
10. Berseronoklah!
Jadikan membina perniagaan sebagai sesuatu yang menyeronokkan. Jika anda tahu dengan jelas matlamat dan kenapa anda mahu berniaga, anda pasti akan bersungguh-sungguh untuk menjadikannya yang terbaik. Jika anda rasa berniaga itu sesuatu yang membebankan, membuatkan anda selalu risau dan lebih murung dari sebelumnya, lebih baiklah anda makan gaji sahaja.