Apa rahsia kejayaan Marvel? Setiap kali menghasilkan filem baru, pastinya akan ‘pecah panggung’. Walaupun diulang banyak kali di saluran TV, masih ramai yang akan menonton.
Walaupun sudah ada pelbagai versi, ianya masih menjadi kegilaan ramai sehingga mewujudkan kumpulan ‘raving fan/fan base’ yang cukup fanatik.
Contohnya seperti filem Spiderman. Bermula dari pelakon utama yang memegang watak lelaki bertopeng dan berpakaian lengkap merah iaitu Tobby Macquire kemudiannya bertukar kepada Andrew Garfield dan yang terkini adalah pemuda kacak berusia 22 tahun iaitu Tom Holland.
Itu belum dikira lagi pelakon dari era sebelumnya. Setiap tayangan Spiderman ini pasti akan menjadi bualan dan tajuk utama di media hiburan.
Penonton takkan lupa aksi Spiderman yang bergayut dari tali ke tali, aksi Thor dengan tukul besinya, kisah Captain Amerika yang romantis kerana ‘mati’ selama 70 tahun dan berjumpa semula kekasihnya ketika dia sudah sangat tua, dan banyak lagi moment dalam filem Marvel yang menjadi inspirasi dan kegilaan.
Kekuatan filem Marvel dengan jalan cerita yang memberi inspirasi, penuh aksi dan emosi mampu membuatkan ianya kekal relevan sepanjang zaman. Filem-filem lain seperti Avengers, Captain America, Thor, Guardian of Galaxy, Iron Man, Ant Man dan banyak lagi seolah menjadi agenda utama yang dinantikan oleh peminat filem sepanjang tahun.
Tapi tahukah anda, Marvel yang telah berada dalam industri selama 80 tahun ini pernah jatuh bankrap? Seperti setiap plot cerita dalam filem-filemnya, yang ada zaman kejatuhan dan kegelapan, Marvel juga pernah jatuh.
Pada awalnya mereka dikenali sebagai Timely Publication, di mana pada era ini sekitar tahun 1941 mereka menghasilkan komik Captain Amerika dan pada tahun 1961 mereka mulakan penjenamaan Marvel Comics yang dibangunkan oleh Steve Ditko, Stan Lee, Jack Kirby dengan menghasilkan komik Superhero Fantastic Four, Spiderman, Incredible Hulk, XMen dan Avengers.
Dengan penghasilan komik yang menjadi rebutan ramai dan mula tersebar di seluruh dunia, Marvel berjaya mengharungi era 40-an, 50-an, 60-an, 70-an dan 80-an.
Sebelum ini mereka mengunakan taktik di mana mereka menggalakkan peminat untuk membeli lebih dari 1 komik dan juga kad-kad supehero kerana ianya boleh menjadi pelaburan di masa akan datang apabila ianya boleh dijual semula pada harga yang lebih tinggi kepada pengumpul komik Marvel.
Namun, era 90-an menyaksikan perubahan dalam corak pembelian pengguna sehingga menyebabkan mereka menghadapi kejatuhan hasil jualan. Akibatnya 115 pekerja terpaksa diberhentikan pada November 1996 dan harga saham jatuh dari USD35.85 ke USD2.37 sahaja.
Akhirnya, pemegang saham dan lembaga pengarah mengambil keputusan untuk failkan kebankrapan supaya dapat membantu mereka membuat tindakan selanjutnya.
Sama seperti jalan cerita setiap dari komik dan filem keluaran Marvel, pasti ada cabaran, villains dan titik terendah dalam hidup.
Juga seperti kata Stan Lee – “Life is never completely without it’s challenges.”
Dan kini setelah beberapa tindakan yang mereka ambil, Marvel telah meningkat naik dalam perniagaan. Sama seperti karakter komik dan filem mereka yang selalunya akan menang selepas berhempas pulas melawan penjahat. Kini harga saham Marvel terus meningkat mencecah lebih dari USD35 dengan nilai terkini Marvel Entertainment adalah USD13billion.
7 rahsia kejayaan Marvel yang anda boleh belajar :
1 – Bersedia untuk terima perubahan. Betapa bagusnya produk anda, ianya takkan kekal lama selagi kita tak upgrade selari dengan perubahan teknologi, peredaran zaman dan perubahan citarasa pelanggan. Contohnya, Marvel tidak boleh lagi bergantung kepada pengeluaran komik semata-mata.
2 – Kekayaan sesebuah perniagaan adalah bergantung kepada raving fans / followers / peminat / pelanggan tetap. Berikan perhatian yang lebih kepada mereka. Berikan apa yang mereka mahukan tapi jangan berhenti untuk berevolusi.
3 – Perancangan sebaiknya membuatkan pelanggan tetap dan followers tak sempat untuk berpaling kepada pesaing. Keputusan untuk menghasilkan 2 filem sekurang-kurangnya untuk setahun mencipta keterujaan di kalangan followers. Anda sebagai usahawan perlu tahu target jualan anda, dan dari situ mula rancang apa anda perlu buat untuk mencapainya.
4 – Penggunaan Media Sosial dan Digital Marketing semaksimum mungkin membuatkan followers sentiasa ternanti-nanti apa yang terkini dari Marvel. Ini juga membuatkan mereka akan terus serbu panggung bila sampai waktu filem sedia untuk ditayangkan.
5 – Teknik untuk keluarkan sequel bagi setiap watak Superheronya adalah antara teknik yang menjadi. Ianya mampu mencipta followers baru untuk satu-satu watak superhero. Anda mungkin boleh gunakan teknik sequel ini untuk produk anda.
6 – Pembinaan jenama dengan sebaiknya dan berkolaborasi dengan jenama besar lain yang mempunyai latar demografik yang sama adalah sangat menguntungkan. Sebagai contoh, kolaborasi watak Guardian of Galaxy dengan Coke dan Captain America dengan Audi.
7 – Tak peduli apa orang kata, terus mara ke hadapan. Kritikan pasti ada di mana-mana. Tapi jika anda tahu dan kenal siapa pelanggan anda, anda hanya perlu fokus kepada mereka dan abaikan mereka yang mengkritik.