Rasa macam sekejap saja, pejam celik kita sudah pun masuk ke bulan terakhir bagi tahun 2020. Banyak perubahan berlaku disebabkan pandemik Covid-19 yang menyaksikan krisis ekonomi dunia.
Banyak benda tak dapat kita lakukan disebabkan larangan dan sekatan dikenakan bagi memutuskan rantaian pandemik itu. Prosedur operasi standard (SOP) dan amalan norma baharu menjadi kebiasaan buat kita semua. Kita terus jaga kita.
Bagaimanapun ramai orang yang terjejas, hilang pekerjaan, pengurangan pendapatan, bekerja dari rumah, pengecilan operasi syarikat, penutupan operasi bisnes sama ada jenama besar mahupun yang kecil.
Hal ini juga melibatkan kehidupan seharian kita dengan pergerakan yang terbatas, kebiasaan dibuat seperti bersalaman, solat berjemaah di surau atau masjid, had kapasiti pelanggan dalam 1 meja makan dan lain-lain lagi.
Pastinya, akan ada benda yang tak ‘berguna’ – jarang ataupn tak sempat pun digunakan dalam tempoh setahun ini.
Apakah benda yang tak ‘berguna’ pada tahun ini?
- Pasport
Nampaknya, dokumen rasmi ini boleh dikatakan sebagai benda paling tak ‘berguna’ pada tahun ini. Hal ini kerana pintu sempadan negara ditutup kepada warga asing dan tempatan kecuali mendapatkan kebenaran pihak berkuasa dan bagi kes tertentu.
Apatah lagi, banyak juga negara luar yang mengambil langkah sama dengan menutup pintu sempadan mereka untuk mengekang penyebaran pandemik Covid-19.
Kerajaan yang turut menutup pintu sempadan negara seperti Bangladesh, Amerika Syarikat, Brazil, India, Rusia, Peru, Colombia, Afrika Selatan, Mexico, Sepanyol, Argentina, Chile, Iran, United Kingdom, Arab Saudi, Pakistan, Perancis, Turki, Itali, Jerman, Iraq, Filipina dan Indonesia.
Bagi negara yang membuka pintu sempadan mereka pula, ada meletakkan syarat kemasukan seperti kuarantin mandatori 14 hari setibanya di sana, bukti negatif swab test dibuat sebelum penerbangan dan sebagainya. Syarat kemasukan yang ketat termasuk kuarantin juga menjadi antara pertimbangan utama orang untuk pergi ke destinasi berkenaan.
Apakah benda yang paling ‘berguna’ pada tahun ini?
- Internet
Ya, internet dilihat menjadi benda yang paling berguna pada tahun ini. Ekoran Covid-19, kita banyak menghabiskan masa di rumah ketika Perintah Kawalan Pergerakan yang dilaksanakan bermula 18 Mac 2020.
Malah selepas kawalan pergerakan dilonggarkan, masih ada yang bekerja dari rumah mengikut keadaan ketika ini. Sebab itu, penggunaan internet menyaksikan peningkatan dan menjadi keperluan ramai orang.
Buktinya, Ketua Pegawai Eksekutif KumpulanTELEKOM Malaysia Berhad (TM), Datuk Noor Kamarul Anuar Nuruddin memberitahu, rekod TM sepanjang tempoh PKP menunjukkan penggunaan Internet oleh pelanggannya secara purata meningkat 40% dan situasi sama didapati berterusan ketika tempoh PKP Bersyarat (PKPB) dan PKP Pemulihan (PKPP).
Hal ini secara tak langsung menunjukkan penggunaan internet tinggi hasil daripada tingkah laku baharu yang berada dikalangan masyarakat.
Sementara itu, Ketua Perangkaan, Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, peratus penggunaan internet di Malaysia telah meningkat kepada 84.2% pada 2019 berbanding 81.2% (2018).
Mengikut Kajian Penggunaan dan Capaian penggunaan teknologi komunikasi maklumat (ICT) oleh Individu dan Isi Rumah yang dikeluarkan Jabatan Perangkaan pada 10 April 2020 mendapati aktiviti paling popular dalam kalangan pengguna internet di Malaysia ialah :
1- Menyertai rangkaian sosial (97.1%);
2- Memuat turun gambar, filem, video & muzik atau muat turun permainan (84.7%)
3- Mendapatkan maklumat tentang barangan atau perkhidmatan (83.5%);
4- Membuat panggilan telefon melalui internet (77.4%); dan
5- memuat turun perisian atau aplikasi (77.1%).
Analisis pengguna internet mengikut kumpulan umur :
Berusia 20 hingga 24 tahun
- Cenderung menggunakan internet untuk mencari pekerjaan (49.5%) dan menonton televisyen secara atas talian (56.3%).
Berusia 25 hingga 29 tahun
- Lebih memilih aktiviti perbankan internet (61.5%) dan membeli barangan atau perkhidmatan melalui e-Dagang (45.1%).
Berusia 35 hingga 39 tahun
- Lebih aktif dalam aktiviti menggunakan perkhidmatan berkaitan perjalanan atau penginapan perjalanan (32.6%).
Berusia 45 hingga 49 tahun
- Berminat dengan aktiviti mengemukakan pendapat atau mengundi mengenai isu politik atau sivik (21.1%)
Peluang Kepada Usahawan
Nampak tak, di mana peluang yang ada dan hala tuju diperlukan bagi bisnes anda?
Digitalisasi sangat penting yang mempunyai peluang besar untuk anda perkenalkan produk atau perkhidmatan bisnes secara online. Sebabnya kini semakin ramai orang berada di dunia digital.
Cuba lihat rakan di sebelah anda, berapa kerap mereka memegang telefon bimbit? Sama ada nak jawab telefon ataupun layari platform media sosial dan googled bagi mencari maklumat tertentu.
Jika anda tak mula mendigitalkan bisnes, kemungkinan besar anda boleh hanyut dan tenggelam dibawa arus. Bisnes anda boleh merundum dan dipintas oleh pesaing-pesaing lain yang sudah pun berada pada platform digital untuk mereka mencapai kepada lebih ramai orang di alam maya.