Menjadi seorang usahawan dilihat sebagai alternatif terbaik untuk mencari punca pendapatan. Usahawan selalunya dilihat sebagai mereka yang ada kemampuan dari segi kewangan dan juga masa di mana mereka diibaratkan sebagai ‘majikan kepada diri sendiri’.
Status ‘bisnes sendiri’ selalu menjadi impian ramai orang. Dengan keadaan ekonomi yang tidak kuat, ramai yang mula terlibat dalam perniagaan sama ada secara sepenuh masa, sambilan, secara online atau dengan memiliki kedai fizikal.
Malangnya, tak ramai usahawan yang baru setahun jagung usianya ini tahu bahawa hanya 80% peratus usahawan baru, boleh bertahan sehingga setahun usia perniagaan mereka, dan hanya 50% peratus usahawan mampu bertahan sehingga mencecah 3 tahun usia perniagaan.
Ramai yang kecundang di awal perjalanan dan kembali bekerja. Ini kerana cabaran dalam dunia keusahawanan sebenarnya sangat tinggi. Ianya melibatkan cabaran mental, fizikal dan tentangan dari pelbahai sudut! Itu realitinya dunia keusahawanan.
Berapa ramai dari anda yang pernah berniaga kecil-kecilan dan selepas beberapa lama, terpaksa menutup perniagaan? Berapa ramai dari anda yang tak sanggup untuk berusaha keras seperti usahawan yang sedia ada? Berapa ramai dari anda yang pernah memulakan perniagaan sambilan tapi sampai ke sudah hasilnya ‘sambil-sambil’ sahaja?
Kata Datuk Wira Dr Azizan Osman, “Sangat mudah nak buka bisnes, pergi sahaja ke Suruhanjaya Syarikat Malaysia, dan dah boleh daftar bisnes, tapi yang susahnya ialah untuk sustainkan bisnes, lebih-lebih lagi nak tempuhi fasa pertama dan anda tak memiliki ilmu yang cukup.”
Kami kongsikan anda 5 cabaran sebagai usahawan baru akan hadapi bila memulakan bisnes :
1. Cabaran berhubungan dengan orang lain
Bila ada bisnes, anda mesti berhubung dengan orang lain. Ini adalah termasuk pelanggan, pembekal, pengeluar, keluarga anda sendiri dan orang sekeliling. Cara anda berurusan dengan mereka menentukan kredibiliti anda sebagai usahawan. Ada orang sangat pandai berurusan dengan pelanggan, tetapi gagal untuk menyakinkan keluarga kenapa mereka mahu memulakan bisnes mereka.
Ada orang yang mendapat sokongan keluarga dan orang terdekat untuk memulakan bisnes tapi gagal untuk membina hubungan baik dengan pelanggan. Anda juga perlu tahu bagaimana untuk berurusan dengan vendor, pembekal dan pengeluar, bagaimana nak membina hubungan yang dapat memberi faedah jangka panjang kepada anda dan mereka.
2. Cabaran dengan pesaing
Pesaing bukan musuh. Itu pun jika anda pandai berurusan dengan mereka. Kesilapan ramai usahawan buat ialah bermusuh dengan pesaing. Sehingga ada yang sanggup lakukan perkara di luar batasan agama.
Pesaing sebenarnya boleh dijadikan guru. Pesaing juga boleh dijadikan ‘business partner’. Bahkan, pesaing boleh juga dijadikan sebagai satu cabaran yang sihat untuk jadikan kita lebih baik dari hari ke hari. Isunya bagaimana kita nak menguruskan persaingan ini dengan cara terbaik supaya ianya tak memakan diri kita sendiri? Anda perlu bijak dan pandai berkomunikasi.
3. Cabaran menguruskan duit bisnes
Berapa ramai dari anda yang pernah berniaga sebelum ini, tapi kerap gagal? Apa puncanya? Kesilapan ramai usahawan buat ialah mereka gagal untuk menguruskan duit bisnes mereka. Bila mereka dah mula nampak duit masuk, cabaran mengawal nafsu berbelanja menjadi faktor utama kerana mereka tak sedar duit bisnes yang masuk bukan duit mereka 100% peratus.
Bila gagal urus duit bisnes, mereka akan mengalami masalah untuk kekurangan tunai atau cashflow yang perlu mereka gunakan untuk memastikan operasi bisnes berjalan lancar. Mereka akan ada masalah nak beli stok, nak tambah stok, nak bayar gaji pekerja, nak bayar kos operasi bisnes dan lain-lain lagi. Silap-silap ini boleh menyebabkan usahawan terpaksa berhutang.
4. Cabaran dalam pemasaran
Usahawan kena tahu ilmu pemasaran. Cabaran yang dihadapi oleh usahawan ialah sama ada mereka tak tahu langsung macam mana nak buat marketing, tak tahu macam mana nak buat marketing dengan kos yang efektif, atau mereka hanya buat marketing ikut-ikut orang. Mereka tak ada target untuk setiap strategi marketing yang mereka nak guna.
Paling malang bila mereka buat kesilapan dengan mengeluarkan kos yang tinggi untuk buat marketing, tetapi tidak berhasil dan tidak membantu dalam peningkatan jualan.
5. Cabaran dalam menguruskan stok
Sepanjang kami mengadakan program untuk membantu usahawan, kami dapati situasi yang selalu dihadapi oleh peserta program marketing kami ialah, selepas mereka aplikasikan ilmu marketing, mereka akan ada masalah menguruskan stok.
Stok habis dan susah nak restok, supplier yang tak mampu mengeluarkan stok seperti jumlah yang dipinta dan stok yang tak mengikut permintaan. Ada juga usahawan yang tak ada ilmu marketing yang betul terpaksa menyimpan lebihan stok yang banyak kerana tidak tahu macam mana nak menghabiskannya. Stok yang tidak dicairkan atau tak terjual akan mengganggu aliran tunai bisnes.
Bisnes itu bagus, tapi bisnes tanpa ilmu hanya akan membuatkan kehidupan anda semakin susah dan bermasalah. Sebelum kita terlalu teruja nak bergelar usahawan berjaya, pastikan kita ada ilmu terlebih dahulu dan bersedia untuk hadapi cabaran dalam dunia bisnes.
3 Comments
Bangkitlah dengan semangat baru azam baru aktiviti baru… bertindak segera bersama menthor
Kita bangkit bersama-sama menthor yang betul dan terbukti . Insya ALLAH BERJAYA dunia dan akhirat .
Terima kasih atas comment yang positif. Semoga bermanfaat!