Moratorium, Simpanan dan Anda

Rakyat Malaysia sebelum ini telah mendapat kelonggaran Kerajaan dengan perlaksanaan moratorium atau penangguhan bayaran pinjaman secara automatik, bermula 1 April hingga 30 September 2020. Nilai moratorium berjumlah RM89.6 bilion dengan RM31.4 bilion beri manfaat kepada bisnes manakala RM58.2 bilion beri manfaat kepada individu dari 1 April hingga 11 September 2020.

Malaysia ialah satu-satunya negara yang melaksanakan moratorium secara automatik selama enam bulan demi manfaat kepada rakyat dan perniagaan di negara ini.

Kami berharap, duit moratorium itu telah pun digunakan orang ramai dengan sebaiknya termasuk menyediakan tabung kecemasan terutama bagi mereka yang tiada simpanan untuk berdepan dengan keadaan luar jangka dan krisis ekonomi ketika ini. Apa yang menakutkan, kaji selidik dilakukan Bank Negara Malaysia (BNM) mendapati 75% daripada penduduk negara ini tidak mempunyai wang simpanan sekurang-kurangnya RM1,000.

Begitu juga bagi bisnes, sepatutnya duit moratorium digunakan bagi membantu dalam cash flow yang menjadi ‘nyawa’ untuk mereka terus bertahan.

Persoalannya, adakah anda telah mengguruskan duit yang sepatutnya dibayar kepada pihak bank dengan baik? Adakah anda mendapat manfaatnya daripadanya?

Ada yang menggunakan duit itu bagi menampung keperluan diri, keluarga ataupun bisnes sepanjang tempoh awal PKP dengan kebanyakan sektor ekonomi ditutup kecuali sektor essential. Selain itu, ada yang menggunakan duit moratorium ini bagi terlibat dengan bisnes online dan mengembangkan lagi bisnes mereka dengan melaburkan kepada ilmu-ilmu bisnes serta dapatkan bimbingan daripada mereka yang ada kepakaran dan berpengalaman.

Tapi mungkin ada juga yang menggunakan duit itu untuk dapat membeli telefon bimbit baru, televisyen baru yang mana bukannya keperluan tapi kehendak mereka. Sepatutnya kita perlu membuat keutamaan dan menyelesaikan keperluan yang penting terlebih dulu.

Selepas itu, kerajaan beralih ke arah Bantuan Pembayaran Bersasar mulai 1 Oktober lalu hingga hujung tahun ini. Institusi perbankan menawarkan moratorium lanjutan dan lain-lain kaedah bantuan pembayaran sejak inisiatif Bantuan Pembayaran Bersasar diumumkan Kerajaan. Jelas Menteri Kewangan, YB Senator Dato’ Sri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz, sebanyak 98 peratus daripada lebih 650,000 permohonan telah pun diluluskan oleh institusi perbankan bagi melanjutkan moratorium dan bantuan bayaran balik pinjaman yang lain.

Belanjawan 2021

Selain itu, ketika pembentangan Belanjawan 2021, Tengku Zafrul mengumumkan untuk membenarkan golongan kategori B40 untuk memilih daripada 2 pilihan sekiranya mereka menghadapi masalah untuk membayar pinjaman.

“Bank melaporkan bahawa 85 peratus pemberi pinjaman meneruskan pembayaran setelah moratorium tamat pada 30 September. Bagaimanapun, bank membenarkan golongan kategori B40 untuk memilih dari dua pilihan sekiranya mereka menghadapi masalah untuk membayar pinjaman,” katanya.

Tambah beliau, golongan B40 boleh memilih moratorium tiga bulan atau mengurangkan pembayaran ansuran bulanan mereka sebanyak separuh selama enam bulan. Mereka yang berada dalam kategori M40 boleh menyusun semula pakej kewangan mereka melalui proses pengisytiharan diri sekiranya mereka mengalami pengurangan pendapatan. Kemudahan ini akan bermula pada Disember 2020.

Justeru itu, melalui langkah terbaru dalam Belanjawan 2021 jika diluluskan nanti – kami berharap agar mereka yang memerlukan dan akan mendapatkannya boleh menggunakan dengan sebaik-baiknya. Buat perancangan teliti dan uruskan kewangan anda atau bisnes, lihat apa dia keutamaan.

Jika anda gagal merancang, maka anda telah merancang untuk gagal.

Artikel terbaru

Leave a Reply