Tahun Baru Cina dah berlalu, tapi kemeriahannya masih terasa, kan? Selepas meraikan hari perayaan, inilah masa terbaik untuk kita, sebagai bangsa berniaga buat refleksi semula dan fikir apa strategi bisnes yang seterusnya.
Perayaan ini bukan sekadar makan besar seisi keluarga, kunjung-mengunjung ke rumah sanak saudara serta kenalan dan pakai pakaian yang baru saja.
Sebagai usahawan, ia juga waktu kita boleh lihat peluang bisnes yang boleh dikembangkan.
Strategi selepas perayaan
Walaupun perayaan dah habis, tapi jangan berhenti di situ sahaja. Perniagaan bukan tentang perayaan sahaja, banyak lagi yang kita boleh buat untuk pastikan bisnes terus berkembang.
Kalau berniaga hanya nak fokus pada perayaan, siapa nak beli pada waktu yang tiada perayaan? Jom tengok strategi yang boleh usahawan jalankan selepas perayaan.
1. Clearance sale untuk stok perayaan
Kebanyakan perniagaan, memang suka buat produk ‘limited edition’ semasa musim perayaan. Siap dengan motif yang mengikut tema, barulah meriah. Tapi, bukan selalu semua stok akan terjual.
Akhirnya terperuk di dalam stor sebab dah ketinggalan zaman. Lagi lama anda simpan, lagi susah nak jual.
Jika ada stok yang berlebihan, jangan biar terlalu lama di dalam stor. Buat promosi menarik macam “Beli 2 Percuma 1” atau potongan harga gila-gila.
Ramai orang masih suka membeli walaupun selepas musim perayaan, especially kalau ada diskaun harga.
2. Ambil peluang kumpul data pelanggan
Jangan lupa, penting untuk kumpul data pelanggan. Ini adalah persediaan untuk tarik pelanggan membeli dengan kita.
Masa kempen perayaan, mesti banyak data yang kita dapat kumpul, kan? Tengok apa produk jualan yang paling laris, kempen mana yang paling berjaya dan apa komen serta review dari pelanggan.
Gunakan info ni untuk perbaiki strategi kita untuk perayaan seterusnya. Yang baik kita tambah baik, yang buruk kita ubah untuk jadi yang terbaik
3. Follow up dengan pelanggan setia
Dah ada data pelanggan, takkan nak simpan je. Gunakan sebaiknya, tetapi jangan melanggar etika pula ya! Data pelanggan perlu dilindungi!
Lepas perayaan, hantar mesej atau e-mel ucapan terima kasih kepada pelanggan kerana telah membeli dengan anda supaya mereka tidak lupa untuk membeli lagi. Kalau boleh, bagi diskaun eksklusif untuk pembelian seterusnya.
Cara ni nampak simple, tapi bakal memberi impak yang besar dalam perniagaan anda kerana buat pelanggan rasa dihargai.
4. Bersedia untuk bulan Ramadan
Pejam celik, tak lama lagi bulan Ramadan akan tiba pada Mac nanti. Ini adalah peluang besar untuk perniagaan, terutama dalam kategori makanan, pakaian dan produk keperluan rumah serta hari raya.
Anda boleh mulakan perancangan untuk kempen Ramadan dari sekarang. Promosi seperti pakej berbuka puasa, koleksi baju raya awal atau kotak hadiah eksklusif pasti menarik perhatian pelanggan.
5. Mula susun strategi untuk perayaan akan datang
Tahun Baru Cina dah habis, tapi perayaan lain macam Hari Raya, Deepavali atau Krismas akan datang tak lama lagi. Gunakan pengalaman kali ni untuk buat strategi yang lagi mantap untuk kempen perayaan yang akan datang.
Tips santai untuk bangsa berniaga
1. Jangan takut ambil risiko
Nak berjaya tak mudah, kena ambil risiko. Kalau duduk buat benda yang sama je, hasilnya pun akan sama. Jangan takut gagal jika mencuba. Sebab kalau tak cuba, mana nak tahu anda berjaya atau gagal.
Jadi, beranilah buat sesuatu yang baru. Contohnya, cuba platform TikTok untuk promosi produk atau kolaborasi dengan influencer.
2. Sentuh hati pelanggan dengan ikhlas
Pelanggan kita bukan beli barang je, mereka nak rasa dihargai. Jadi pastikan mesej atau servis yang kita beri, ada “human touch.” Kadang-kadang, ucapan ikhlas pun boleh buat orang tersentuh dan terus setia.
3. Manfaatkan penggunaan digital
Mesti anda dah sedia maklum, ramai yang dah mula beralih ke arah beli-belah secara online. Kalau bisnes anda belum ada platform e-dagang, inilah masanya untuk mula.
Pastikan laman web kita mesra pengguna dan senang untuk urusan jual beli. Jangan nampak cantik je, tapi tak berfungsi dengan baik. Orang nak membeli dengan mudah, jadi mudahkanlah urusan mereka.
Bina strategi dengan peluang yang baru
Walaupun Tahun Baru Cina 2025 dah lepas, perniagaan perlu berjalan seperti biasa dan tak boleh sama-sama berlalu. Jadikan pengalaman perayaan yang lepas peluang untuk belajar, improve dan bina strategi baru.
Bulan Ramadan bakal tiba, jadikan ia satu lagi peluang untuk perniagaan anda berkembang. Masa depan perniagaan yang cerah adalah untuk mereka yang berani melangkah.
Semoga tahun ni bawa rezeki yang lebih besar untuk anda semua. Insya-Allah.