7 Kelebihan Daftar ‘Trademark’ yang Usahawan Patut Tahu

trademark

Bayangkan anda berniaga tanpa ‘trademark’, tiba-tiba ada usahawan lain tiru apa yang perniagaan anda buat. Apakah tindakan anda pada waktu itu? Nak marah atau biarkan saja? Lagi parah, bila pelanggan salah sangka pesaing adalah jenama yang sebenar.

Ramai je usahawan yang terlepas pandang tentang trademark, dengan alasan perniagaan kecil-kecilan tak penting semua itu. Mereka lebih fokus kepada jualan dan pemasaran. Tapi nak jual macam mana kalau pelanggan lebih percayakan pesaing anda?

Kita tahu dengan pemasaran boleh buat orang kenal jenama dan produk kita.  Bila dah kenal, barulah orang nak produk yang membawa jenama kita. Makin lama jualan semakin meningkat, keuntungan berlipat kali ganda.

Apa perasaan anda bila jenama yang dibangunkan digunakan oleh orang lain di luar sana?  Atau tiba-tiba, anda dapat surat arahan untuk hentikan penggunaan jenama kerana telah didaftarkan oleh pihak lain terlebih dahulu? Dan anda, perlu mulakan semula memasarkan jenama yang baru dari bawah.

Sebab tu perlu mendaftarkannya untuk jenama anda. Walaupun nampak macam satu langkah kecil, kesannya boleh jadi besar untuk masa depan perniagaan. 

Apa itu trademark?

Trademark atau tanda dagangan boleh jadi simbol, perkataan, frasa atau logo yang mewakili jenama anda. Ia membezakan perniagaan anda dengan perniagaan orang lain. Anda tak wajib untuk mendaftar, tapi anda mungkin hadapi risiko jenama diceroboh oleh pihak lain. 

Kelebihan mendaftar trademark

1. Pemilikan sah nama jenama

Bayangkan anda dah pilih nama yang gempak untuk perniagaan dan mula guna nama itu dalam semua pemasaran. Tiba-tiba dapat surat daripada pihak lain suruh anda berhenti guna nama itu disebabkan ada usahawan lain dah daftar dulu. 

Frust, kan? Tapi kalau anda telah mendaftar trademark, tak perlu risau perkara ini berlaku. Anda ada hak penuh ke atas nama jenama anda sendiri.

2. Lindungi jenama daripada diciplak

Bila dah daftar trademark, nama, logo dan tagline yang berkaitan, jenama anda akan dilindungi undang-undang. Ini bermakna tiada siapa boleh tiru atau guna tanpa izin. Kalau ada yang langgar, anda boleh ambil tindakan undang-undang.

3. Perlindungan di media sosial

Kita semua tahu media sosial ni penting untuk perniagaan. Kadang-kadang ada orang yang buat akaun palsu guna nama jenama anda. Tapi bila anda ada trademark yang berdaftar, anda boleh lapor kepada pihak platform media sosial dan minta mereka hentikan akaun tersebut. Jadi, jenama anda lebih selamat di dunia digital.

4. Tingkatkan kepercayaan pelanggan

Trademark yang berdaftar menunjukkan imej bahawa anda serius tentang perniagaan anda. Bila pelanggan tahu jenama anda dilindungi secara sah, mereka lebih yakin untuk berurusan dengan anda. Lama-kelamaan, ini boleh membina kesetiaan pelanggan yang lebih kukuh.

5. Meningkatkan nilai perniagaan

Kalau satu hari nanti anda memutuskan nak menjual perniagaan yang sedia ada, nilainya akan menjadi lebih tinggi dengan trademark yang berdaftar. Pembeli akan lebih tertarik sebab jenama yang mereka bakal ambil alih sudah terkenal dan dilindungi undang-undang.

6. Berkuasa terhadap nama domain

Anda dah daftar, tapi tiba-tiba ada orang lain guna nama jenama anda untuk laman web mereka? Jangan risau, dengan trademark berdaftar anda ada kuasa untuk minta laman web tersebut ditutup.

7. Pelaburan jangka panjang

Mendaftarkan trademark bukanlah percuma, tapi kosnya taklah setinggi yang anda sangka. Dan selepas itu trademark tersebut jadi milik anda untuk selama-lamanya. Berbaloi kan?

Pelaburan bijak untuk masa depan jenama anda

Trademark bukan sekadar simbol atau logo, tetapi ia adalah asas kepada jenama yang kukuh. Dengan mendaftar trademark memang nampak macam proses yang makan masa dan sedikit susah, tapi bila dilihat dari segi kelebihan jangka panjang, ia sangat berbaloi. 

Bukan sahaja melindungi jenama anda, tapi ia juga boleh membina kepercayaan pelanggan dan meningkatkan nilai perniagaan. 

Jadi, kalau anda betul-betul serius nak bangunkan jenama, ia boleh jadi pelaburan terbaik untuk masa depan bisnes anda. Jangan tunggu sehingga timbul masalah di masa hadapan, baru nak cari jalan untuk lindunginya kerana harapan dah menjadi sangat nipis. 

Mulakan dari sekarang untuk melindungi jenama anda dengan mendaftarkannya.

Artikel terbaru

Leave a Reply