5 Tips Untuk Membina Strategi Jualan Jangka Panjang

strategi

Membina strategi jualan jangka panjang bagi memastikan perniagaan kekal relevan dan berdaya saing adalah matlamat utama ramai usahawan. 

Tanpa strategi yang kukuh, perniagaan mungkin hanya bertahan dalam jangka masa pendek dan gagal mencapai potensi yang sebenar.

Oleh itu, penting bagi usahawan untuk mempunyai rancangan yang bukan sahaja menjana jualan hari ini, tetapi juga memastikan pertumbuhan yang konsisten dan berterusan. 

Adakah syarikat anda sudah mempunyai strategi jualan jangka panjang yang boleh diterima? Jika belum, sekarang adalah masa untuk mula susun strategi perniagaan anda.

Tips bantu merangka strategi jangka panjang buat perniagaan anda

1. Sentiasa percaya dengan apa yang anda jual

Siapa lagi yang nak percayakan apa yang anda jual lebih dari kepercayaan anda sendiri? Tapi cukup ke anda seorang je yang percaya?

Pekerja anda terutama yang bekerja di bahagian jualan wajib percaya juga kepada produk atau perkhidmatan anda. 

Barulah mereka mampu yakinkan pelanggan dan buat mereka turut percaya apa yang anda jual. Kalau tak ada kepercayaan, macam mana nak membeli? Atas dasar apa?

Jangan pandang ringan kerana pelanggan sangat bijak. Sebelum keluarkan duit, mereka juga nak pastikan duit yang mereka laburkan adalah berbaloi. 

Jika jurujual sendiri macam tidak yakin dengan apa yang mereka jual atau tidak yakin dengan tawaran syarikat, ini boleh menyebabkan pelanggan anda lari mencari pesaing anda.

2. Pelanggan adalah keutamaan anda

Nak capai target jualan setiap bulan, tak mungkin boleh terjadi tanpa pelanggan yang membeli. Mana ada orang yang nak beri duit sesuka hati kepada orang lain melainkan sedekah. 

Jika niat nak bersedekah, kan lebih baik beri kepada mereka yang lebih memerlukan. Sebagai usahawan, anda kena tawarkan sesuatu untuk pelanggan beli dan hasilnya akan capai target jualan anda.

Utamakan keperluan pelanggan dan jujurlah pada produk atau perkhidmatan anda. Dengan memperkukuh hubungan anda dan pelanggan, walaupun ia tidak membawa kepada transaksi sekarang namun hubungan yang kukuh akan membantu membina kejayaan jualan anda di masa hadapan.

3. Latih pasukan jualan untuk sentiasa bersedia menghadapi masa depan

Lanskap perniagaan sentiasa berubah, jadi setiap pasukan jualan mesti mengikuti perkembangan melalui pembelajaran dan pembangunan yang  profesional. 

Untuk pastikan pasukan anda bersedia menghadapi cabaran masa depan, lihat cara untuk memperluaskan kepakaran jualan mereka melalui kelas jualan sama ada dalam talian, webinar, pembentangan, dan sebagainya.

Tawarkan sumber yang memberi tumpuan kepada jualan jangka panjang untuk mereka asah kemahiran dan memberi pandangan yang baharu tentang proses jualan, yang boleh membuahkan hasil dalam jangka masa panjang.

4. Fokus pada sistem ‘referrals’

Jangan pandang rendah dengan kuasa review mulut ke mulut daripada pelanggan yang berpuas hati.

Dapatkan kepercayaan pelanggan anda untuk mereka sebarkan kebaikan dan keberkesanan produk anda yang mereka telah gunakan. Terutama sekali pada mereka yang setia dengan produk atau perkhidmatan anda.

5. Manfaatkan media sosial untuk faedah jangka panjang

Walaupun perniagaan anda ‘meriah’ di media sosial, belum tentu ia akan selamanya berada di atas. Perlu sentiasa cari jalan dan ruang untuk penambahbaikan. 

Apa sahaja situasi, memanfaatkan media sosial untuk jualan jangka panjang harus menjadi komponen utama dalam sebarang strategi yang lebih luas.

Zaman sekarang, video yang menarik dan menghiburkan memberikan pelanggan tarikan untuk lebih ingat dan nak lihat apa yang perniagaan anda tawarkan. 

Media sosial tidak akan hilang. Siarkan testimoni video daripada pelanggan yang berpuas hati atau video yang mungkin viral dan membuatkan jenama anda terus dikenali.

Setiap langkah perlu hala tuju

Penting untuk diingat bahawa kejayaan perniagaan tidak datang dalam sekelip mata. Ia memerlukan perancangan yang teliti, komitmen yang berterusan, dan keupayaan untuk menyesuaikan diri dengan perubahan pasaran. 

Setiap langkah yang diambil dalam merangka strategi jualan perlu disertakan dengan pemahaman mendalam tentang pasaran dan keperluan pelanggan. 

Mereka yang berjaya adalah mereka yang mampu melihat jauh ke hadapan dan bersedia untuk menyesuaikan diri dengan cabaran yang mendatang.

Semoga artikel ini memberi inspirasi dan panduan yang berguna dalam usaha anda membina strategi jualan jangka panjang yang mantap. Teruskan usaha dan semoga berjaya dalam perjalanan perniagaan anda!

Artikel terbaru

Leave a Reply