Sejarah telah tercipta apabila supermodel antarabangsa, Naomi Campbell memperagakan sendiri hasil ciptaan duo pereka fesyen terkemuka negara, Rizman Ruzaini di acara penutup Dubai Fashion Week pada Ahad malam yang lalu.
Menerusi video yang dikongsi di Instagram, Rizman Nordin dan Ruzaini Jamil melahirkan rasa teruja apabila impian mereka untuk melihat supermodel ikonik itu menyarungkan rekaan mereka akhirnya menjadi kenyataan.
“Adalah menjadi impian bagi setiap pereka fesyen untuk menyaksikan ikon dalam dunia peragaan memperagakan busana ciptaan mereka. Apabila perkara ini menjadi realiti, kami sangat teruja dengan sifat kejujuran dan profesionalisme yang ditonjolkan oleh dirinya.
“Dia benar-benar seorang supermodel yang diiktiraf di seluruh dunia. Tambahan pula, dia memiliki suatu keajaiban apabila berjalan sambil menyarungkan rekaan Rizman Ruzaini di pentas global, Dubai Fashion Week.
“Naomi Campbell berdiri dalam kelasnya sendiri. Dia benar-benar menawan,” tulis mereka.
Penampilan Campbell sebagai ‘wajah inspirasi’ di pertunjukan fesyen tersohor itu mencuri tumpuan ramai kerana terpesona dengan keanggunan supermodel legenda itu yang menyarungkan gaun maxi monokrom yang digayakan bersama jaket bolero yang sedondon.
Di acara berkenaan, Rizman dan Ruzaini telah menampilkan 60 busana rekaan mereka bertemakan ‘Spring/Summer 2024’ dengan mengambil ilham daripada legenda rakyat iaitu Naga Seri Gumum; kisah seekor naga tidur di Tasik Chini, Pahang.
Jenama fesyen ini ternyata memanfaat bimbingan yang diterima di program pementoran Titan Circle Plus dengan sebaiknya apabila telah berjaya melebarkan sayap mereka hingga menembusi pasaran antarabangsa.
Inilah bukti bahawa pengetahuan dan panduan yang diberikan oleh mentor semestinya dapat membantu untuk mencari peluang baru bagi memperbesarkan perniagaan ke peringkat yang lebih tinggi.