Orang yang tak tahu, ingat buat bisnes ni senang je. Bagi arahan semua benda boleh settle. Tapi sebenarnya banyak cabaran yang perlu ditempuhi. Kadang-kadang sampai rasa hilang semangat dan stres sehingga putus asa.
Nak senyum dengan staf dan pelanggan pun rasa seperti terpaksa. Walaubagaimanapun, sebagai usahawan anda perlu kembalikan senyuman dan dapatkan semangat yang positif.
Bila ditimpa kesusahan, kita kena cuba keluarkan dari cabaran tersebut. Orang lain tak akan dapat bantu kalau diri sendiri yang tak nak.
Naikkan semangat dan kembali tersenyum
1. Ubah mindset
Mindset atau cara berfikir kita memainkan peranan penting dalam menentukan bagaimana kita menghadapi cabaran dan kejayaan dalam kehidupan. Dengan mengubah mindset ke arah yang lebih positif, kita mampu mengatasi cabaran dengan lebih berkesan, menjalani kehidupan yang lebih bahagia dan kembali tersenyum dengan yakin.
Mindset adalah kunci kepada kejayaan dan kebahagiaan. Jadi, perkara pertama yang perlu dilakukan apabila bangun tidur ialah set mindset anda untuk perkara-perkara yang positif. Setiap kali bangun tidur, katakan pada diri ‘Hari ini hari terbaik aku. Aku ingin senyum dan bahagia sepanjang hari. Aku tak mahu sedih’
2. Bersyukur
Bersyukur adalah satu amalan yang mampu membawa perubahan besar dalam kehidupan kita. Walaupun sering diuji dengan cabaran, menjalani kehidupan yang bermakna bermula dengan menghargai apa yang kita miliki. Bisnes tak menguntungkan hari ini, belum tentu esok juga tak ada keuntungan.
3. Manjakan diri
Sesekali, luangkanlah masa untuk manjakan diri anda atau orang putih kata ‘me time’. Manjakan diri adalah cara yang baik untuk mengisi semula semangat. Anda mungkin boleh berehat dengan pergi ke spa, mengurut, beli-belah, makan makanan kegemaran, layan Netflix dan macam-macam lagi. Lebih elok lagi kalau anda dapat merancang percutian, tidak kiralah di dalam atau luar negara.
4. Hubungi insan tersayang
Dalam kesibukan menguruskan bisnes, rutin kita menjadi penuh. Sibuk sampai lupa untuk menghubungi insan-insan yang tersayang sedangkan mereka adalah sumber kebahagiaan dan kekuatan yang tiada tandingannya.
Ambil telefon dan hubungilah mereka dengan kata-kata yang positif. Pasti senyuman akan terukir kembali dan lebih bersemangat untuk mencari penyelesaian kepada masalah bisnes anda.
5. Mengingati Allah SWT
Sistem saraf, jantung dan semua bahagian tubuh bertindak balas terhadap apa yang kita fikirkan. Keresahan dalam benak fikiran akan mewujudkan tekanan dan menjejaskan kesihatan.
Justeru, mengingati Allah SWT secara sedar membantu mengubah diri. Sekiranya kita melakukannya secara konsisten, kita akan sentiasa merasa dilindungi dan dikasihi.
Pada akhirnya, ia mewujudkan kedamaian dan ketenangan yang dapat membantu mengawal tekanan dan keresahan.
Memberi inspirasi
Ketika kita mampu mengembalikan semangat dan tersenyum kembali, kita juga memberi inspirasi kepada orang lain untuk melakukan perkara yang sama. Semoga artikel ini memberi manfaat dan memotivasikan anda untuk mengambil langkah-langkah positif dalam hidup sekaligus mencapai kebahagiaan yang lebih besar dan terus tersenyum dengan penuh keyakinan.