Terlupa Dengan Matlamat? Ini 4 Langkah Untuk Kembali Ke Landasan Yang Betul

Terlupa Dengan Matlamat? Ini 4 Langkah Untuk Kembali Ke Landasan Yang Betul

Tak pelik jika saya katakan, setiap usahawan ada matlamat yang ingin dan perlu dicapai dalam jangka masa pendek mahupun panjang. 

Pada awalnya, kebanyakan orang penuh bersemangat untuk capai setiap satu matlamat terutama sekali semasa di awal tahun. Tapi lama-kelamaan bila timbul terlalu banyak isu dan cabaran, sedikit demi sedikit mereka akan kehilangan momentum dan semangat mula luntur. 

Terlalu fokus untuk selesaikan segala masalah sehingga usahawan terpaksa mengetepikan segala impian mereka.

Kembali kepada matlamat anda!

Jangan biarkan matlamat anda terkubur sahaja. Usahawan perlu ada matlamat yang perlu dicapai. Ketahui cara untuk kembali ke landasan yang betul dalam mencapai matlamat dan mempercepatkan momentum anda.

1. Perlu tahu kenapa nak capai matlamat

Pada awalnya, kenapa anda letakkan matlamat anda sebagai matlamat yang nak dicapai? 

Kebanyakan matlamat kita lebih cenderung kepada ‘sepatutnya’ dan bukan ‘kemahuan’. Bila tengok orang lain dah berjaya terus terdetik dihati, “sepatutnya aku perlu berjaya macam dia” dan bukannya “aku nak berjaya macam dia.” 

Kita rasa kita patut berjaya tapi tak cukup untuk memotivasikan diri dan mengekalkan komitmen untuk mencapainya. Seolah-olah anda nak berjaya sebab orang lain berjaya dan bukannya kemahuan anda untuk berjaya. 

Tanpa keinginan yang kuat untuk capai matlamat, motivasi akan mudah berkurang dan tanpa sedar keinginan anda akan beralih kepada suatu keinginan lain yang nampak lebih menarik. Tapi jika anda tahu kenapa nak berjaya, kemahuan anda akan menjadi semangat untuk capai matlamat tersebut. 

Keluarkan senarai matlamat anda dan setiap satunya anda perlu tahu kenapa anda nak capai matlamat tersebut? Adakah sudah cukup komitmen yang anda berikan? Dengan kenalpasti kenapa, anda akan lebih berusaha untuk mencapainya.

2. Buat pelan tindakan

Setelah pastikan bahawa anda benar-benar nak capai matlamat itu, sediakan pelan tindakan. Pastikan apa yang anda perlukan untuk capai tindakan tersebut dan rangka berapa lama masa yang anda perlu untuk berjaya mencapainya. 

Seterusnya jadualkan semua aktiviti yang diperlukan untuk mencapai setiap satu matlamat anda. Sebaik sahaja ada jadual aktiviti tapi anda tak ada masa yang cukup untuk merealisasikan semuanya serentak, utamakan matlamat yang penting dahulu.

3. Kongsikan matlamat anda

Apabila anda dah jelas dengan matlamat yang ingin dicapai, kongsikan matlamat anda dengan orang lain. 

Sebagai usahawan yang nak bina bisnes berjaya, kongsikan dengan staf anda supaya mereka tahu bahawa mereka perlu ada matlamat yang sama. Ini sekaligus menaikkan semangat mereka untuk merealisasikan matlamat tersebut. 

Jika anda selesa, tak salah jika anda berkongsikan dengan keluarga dan kenalan rapat. Lebih ramai orang tahu, kemungkinan untuk anda tingkatkan usaha lebih tinggi. Tapi pastikan dahulu matlamat anda hangat-hangat tahi ayam tau! Komen negatif tu perkara biasa, buktikan kepada mereka yang pandang rendah bahawa anda boleh berjaya.

4. Wujudkan akauntabiliti

Ada ramai usahawan yang mengamalkan sikap lepas tangan. Mereka fikir ada staf dah tak perlu berganding bahu untuk sama-sama capai matlamat bersama. Leader pula ada yang hanya mengharapkan staf bawahan tanpa memberi bantuan. 

Kerjasama dari semua pihak adalah sangat penting untuk mengukuhkan sesebuah organisasi apatah lagi untuk menuju ke arah matlamat yang berjaya. 

Sentiasalah berkongsi pendapat, mencari jalan untuk penyelesaian masalah dan bukan sekadar memberi arahan semata-mata tanpa motivasi kepada team. Memastikan organisasi mencapai matlamat adalah tanggungjawab bersama.

Macam mana nak pastikan team ada sikap yang bertanggungjawab? Pertama, pastikan anda dahulu yang mempunyai sikap tersebut. Leader yang baik adalah leader yang dapat memberi contoh yang baik kepada team. Dan yang kedua, luangkan masa bersama team agar mereka rasa penting untuk mereka bawa syarikat kepada matlamat yang anda tetapkan dari awal. 

Jangan bertangguh untuk kembali ke landasan yang betul!

Menyimpang dari arah yang sepatutnya semasa mengejar matlamat adalah perkara yang biasa. Ini boleh berlaku jika kita tak benar-benar komited kepada matlamat kita. 

Kadang-kadang tanggungjawab terhadap tugasan lain yang memerlukan komitmen yang tinggi juga membuatkan kita terleka dan tersalah landasan. Bila menyedarinya, cepat-cepat kembali ke landasan yang betul dan capai matlamat anda.

Artikel terbaru

2 Comments

Leave a Reply