Nak membina hubungan peribadi dan profesional, penting untuk anda mempunyai kemahiran komunikasi.
Komunikasi ini terbahagi kepada dua iaitu komunikasi lisan dan bukan lisan. Cara komunikasi yang sering digunakan dalam aktiviti harian adalah secara lisan.
Tapi tanpa anda sedar, komunikasi bukan lisan juga adalah sangat penting. Bagaimana anda boleh meningkatkan kemahiran komunikasi bukan lisan anda?
Apa yang dimaksudkan dengan komunikasi bukan lisan?
Ia adalah bahasa yang dituturkan tanpa suara tapi melalui bahasa badan, ekspresi muka, bahasa isyarat tangan, pandangan mata dan banyak lagi.
Sebagai contoh, apabila anda melemparkan senyuman menunjukkan keramahan anda untuk bertegur sapa dengan individu yang anda cuba untuk berinteraksi.
Komunikasi bukan lisan sangat bergantung kepada ekspresi dan pergerakan fizikal untuk menyampaikan maklumat.
Potensi orang tak faham apa yang anda ingin sampaikan sangatlah tinggi.
Komunikasi bukan lisan penting untuk memberi dan menerima maklumat secara diam dalam pelbagai situasi.
Dapat berkomunikasi secara bukan lisan adalah satu kelebihan yang anda boleh manfaatkan dalam hidup serta kerjaya.
Jenis-jenis komunikasi bukan lisan
1. Bahasa gerakan badan
Biasa lihat orang menggerak-gerakkan badan semasa berkomunikasi? Gerakan ini juga boleh digunakan dalam komunikasi bukan lisan.
Sebagai contoh anda mahukan sesuatu atau mahu orang lain melihat ke arah sesuatu, anda hanya perlu menunjukkan jari ke arah perkara yang anda mahu diberi perhatian.
Atau anda mungkin menyilang tangan sebagai tanda anda sedang cuba untuk memahami sesuatu.
Cara anda menggerakkan tangan, kaki, duduk malah diam juga ada mesej yang boleh disampaikan dan difahami.
2. Ruang
Mencipta atau menjaga jarak antara anda dan orang disekeliling anda juga boleh menyampaikan mesej tentang tahap keselesaan anda, kepentingan perbualan, keinginan anda untuk menyokong, memberi semangat serta banyak lagi.
Sebagai contoh lain, rakan anda sedang bercakap melalui telefon. Anda menjauhkan jarak dengan rakan untuk memberi ruang untuk dia bercakap secara peribadi.
Rakan anda mungkin akan rasa lebih selesa dengan cara ini.
3. Parabahasa
Ada yang pertama kali mendengar perkataan ini?
Parabahasa adalah unsur pertuturan bukan bahasa seperti kelajuan bercakap, nada, kepelbagaian intonasi, kelantangan suara, dialek, gumaman serta banyak lagi.
Setiap ciri-ciri suara ini adalah komunikasi tentang emosi atau memikirkan sesuatu. Contohnya anda berasa teruja tentang sesuatu perkara, anda mungkin akan bercakap dengan laju.
4. Ekspresi muka
Ini adalah salah satu bentuk komunikasi bukan lisan yang paling biasa kita lihat.
Dengan menggunakan kening, mulut, mata dan otot muka sudah dapat menyampaikan emosi yang dilontarkan tanpa menggunakan kata-kata dan ianya sangat berkesan.
Ada orang yang tidak boleh menyembunyikan ekspresi muka sehingga selalu kantoi tentang perasaan dalam hati.
Kadang-kadang anda tak nak orang tahu pun apa yang anda rasakan di dalam hati, tapi ekspresi muka anda sukar untuk menyembunyikannya seperti rasa terkejut, tidak suka, gembira dan sebagainya.
5. Pandangan mata
Pernah tak anda berjanji dengan rakan di pejabat untuk pergi ke suatu tempat, tiba-tiba seorang rakan lain datang dan bercerita tentang sesuatu tanpa henti?
Anda lihat jam, dah lambat dan berikan isyarat mata kepada rakan anda untuk menghentikan perbualan tersebut. Itu adalah contoh komunikasi hanya dengan pandangan mata sahaja.
6. Sentuhan
Sesetengah orang juga menggunakan sentuhan sebagai satu bentuk komunikasi yang selalunya digunakan untuk sampaikan sokongan atau memberitahu keselesaan seperti meletakkan tangan di bahu rakan untuk menyampaikan sokongan.
Walau bagaimanapun, ia tidak boleh digunakan untuk menyampaikan kemarahan, kekecewaan atau sebarang emosi negatif yang lain.
Tapi ingat! Anda perlu berhati-hati berkomunikasi dengan sentuhan kerana tidak semua orang terima baik cara ini.
Jangan sentuh orang sesuka hati sehingga menimbulkan ketidakselesaan pada orang lain.
Membaca isyarat bukan lisan adalah kemahiran sukar
Walaupun sukar, namun anda boleh kembangkan sepanjang kerjaya. Setiap orang menggunakan komunikasi bukan lisan secara berbeza, terdapat beberapa isyarat biasa yang perlu diberi perhatian yang akan memberitahu anda tentang perasaan, niat dan motivasi seseorang.
Apabila berkomunikasi dengan seseorang, perlu mengambil kira sebarang tanda komunikasi bukan lisan, sambil mengambil komunikasi lisan mereka.
1 Comment
terimakasih.