Masalah-masalah dalam hidup mungkin kelihatan berat dan sukar untuk dihadapi. Apabila kita tidak dapat mencari penyelesaian atau jalan keluar yang terbaik, hati ini boleh menjadi sangat resah dan gelisah.
Bila hati mulai resah, ia akan menyukarkan kita untuk melalui hari-hari yang mendatang dengan baik dan mungkin orang di sekeliling seperti ahli keluarga dan staf akan turut terkena tempiasnya.
Bagi mengelakkannya terjadi, kita perlulah berusaha untuk mendapatkan ketenangan fikiran. Dengan cara itu, tenaga kita akan dicaj semula dan boleh menjadikan kita lebih kuat.
Berikut adalah lima cara anda boleh cuba menenangkan hati untuk menguatkan diri.
- Usah difikirkan perkara yang berada di luar kawalan anda
Ringankan beban di minda. Bebaskan diri anda daripada perkara yang berada di luar kawalan.
Kita tidak boleh memastikan semuanya berjalan seperti yang diingini tetapi kita boleh cuba menerima realiti yang ada. Jangan kusutkan fikiran dan habiskan tenaga anda untuk perkara yang tidak boleh diubah lagi.
- Dapatkan rehat yang secukupnya
Ambil masa khas untuk berehat seketika. Lakukan apa sahaja perkara yang boleh membantu kita merehatkan badan dan minda.
Memetik buku Meditations, Marcus Aurelius mendedahkan, “Teruskan memberi diri anda peluang untuk berehat bagi pulihkan diri.
Pastikan semua prinsip yang anda pegang adalah ringkas dan asas, supaya sebaik sahaja anda kembali kepada mereka, ia akan cukup untuk membersihkan jiwa anda sepenuhnya dan kemudian membawa anda kembali bebas daripada segala bentuk kekacauan dengan perkara yang telah anda hadapi selama ini.”
- Amalkan teknik bernafas yang betul
Terdapat senaman pernafasan yang boleh dilakukan untuk menjadikan kita lebih tenang dan fikiran lebih seimbang. Caranya agak mudah.
Hanya tarik nafas perlahan-lahan dengan menutup satu lubang hidung dan hembus sambil menutup lubang hidung sebelah. Lakukan senaman pernafasan ini beberapa kali sehingga anda berasa lebih tenang dan lebih fokus.
- Selesaikan perkara yang mudah terlebih dahulu
Cuba selesaikan satu persatu masalah yang ada. Sikit-sikit pun tidak mengapa. Untuk menjadi, kita perlu menghadapi ketakutan dalam diri dan meningkatkan keberanian untuk menyelesaikan masalah satu per satu.
Anda boleh mulakan dengan melakukan perkara yang lebih mudah dahulu sebelum beralih kepada perkara seterusnya.
- Letak sepenuhnya harapan pada Tuhan
Percaya yang baik-baik. Apabila hati resah dan gelisah, kita perlu kerap mengucapkan kata-kata positif pada diri sendiri agar dapat meneutralkan fikiran dan merasa tenang.
Selagi kita masih boleh membayangkan perkara yang baik, maka ketenangan jiwa juga akan datang dengan lebih mudah.
Semoga apa sahaja masalah yang anda alami dan hadapi pada saat ini dapat diselesaikan dengan baik.
Sebagai seorang usahawan, jangan lupa juga untuk dapatkan circle yang tepat agar dapat membantu anda ‘sembuh’ dengan lebih cepat dan bangkit dengan lebih bersemangat. Jangan berputus asa dan mulakanlah tindakan dari sekarang!