Dalam Islam perniagaan dianggap sebagai satu aktiviti yang sangat mulia. Ia merupakan ibadah dan juga sunnah rasul SAW.
Bagi mereka yang melaksanakan aktiviti peniaga dengan amanah, mereka turut dijanjikan balasan syurga bersama para nabi, orang soleh dan syuhada’.
Namun, sekiranya dilakukan luar dari batasan syariat Islam maka ianya tidak lagi dianggap ibadat tetapi tetapi aktiviti yang boleh mendatangkan padah kebinasaan baik di dunia dan akhirat.
Sungguhpun aktiviti perniagaan dianjur dan digalakkan dalam Islam, ia tidak bermakna manusia bebas menentukan tatacara perniagaan tanpa ada prasyarat yang mesti dituruti.
Bagi menjamin kemaslahatan manusia terjamin dan terpelihara, Islam telah mengharamkan beberapa perkara dalam aktiviti pernigaan.
Jom kita baca 7 perkara haram dalam perniagaan dipetik dari portal rasmi muamalat dan kewangan Islam, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).
1. Riba
Riba merupakan perkara yang diharamkan dalam Islam. Orang yang menyatakan riba adalah halal akan menjadi kufur dan terkeluar dari Islam, kerana riba adalah salah satu dari dosa besar yang wajib dielakkan oleh seorang muslim yang disebutkan secara jelas dalam al-quran dan sunnah tentang pengharamannya.
Dimaksudkan dengan riba ialah sebarang tambahan dalam barangan tertentu (ribawi) dan tambahan di atas hutang akibat penangguhan tempoh. Di dalam surah al-Baqarah, ayat 278-279 dirakamkan bahawa Allah dan rasul memerangi pemakan riba.
Firman Allah, mafhumnya:Wahai orang-orang yang beriman! bertaqwalah kamu kepada Allah dan tinggalkanlah (jangan menuntut lagi) saki baki riba (yang masih ada pada orang yang berhutang) itu, jika benar kamu orang- orang yang beriman. Oleh itu, kalau kamu tidak juga melakukan (perintah mengenai larangan riba itu), maka ketahuilah kamu: akan adanya peperangan dari Allah dan RasulNya, (akibatnya kamu tidak menemui selamat). dan jika kamu bertaubat, maka hak kamu (yang sebenarnya) ialah pokok asal harta kamu. (dengan yang demikian) kamu tidak berlaku zalim kepada sesiapa, dan kamu juga tidak dizalimi oleh sesiapa. (Surah al-Baqarah: 278-279).
Dalam menjalankan aktiviti perniagaan, amalan riba hendaklah dielakkan sepenuhnya. Peniaga yang baik dan diredhai Allah SWT ialah peniaga yang mampu berniaga dengan berpandukan peruntukan syarak, bebas dari sebarang bentuk riba sama ada dalam mendapatkan modal, membuat simpanan, membuat pelaburan dan seumpamanya.
2. Memeras ugut dan megambil harta dengan cara yang batil
Islam juga mengharamkan perbuatan memeras ugut serta tindakan megambil harta orang lain dengan cara yang batil (salah).
Megambil harta orang lain dengan cara yang batil dan salah ini boleh berlaku dalam pelbagai cara dan bentuk seumpama mencuri, merompak, menipu, memperdaya, judi dan seumpamanya.
Sekiranya seseorang berkeinginan kepada barangan dan sesuatu yang berharga pada milikan orang lain maka ia boleh mendapatkannya melalui jalan perniagaan yang bebas dari sebarang unsur yang dianggap sebagai cara yang salah dan batil.
Pengharaman perbuatan seumpama memeras ugut dan megambil harta orang lain dengan cara yang batil ini, jelas disebutkan dalam sural al-Nisa ayat 29 mafhumnya: (Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu makan (gunakan) harta-harta kamu sesama kamu dengan jalan yang salah (tipu, judi dan sebagainya), kecuali dengan jalan perniagaan yang dilakukan secara suka sama suka di antara kamu, dan janganlah kamu berbunuh-bunuhan sesama sendiri. Sesungguhnya Allah sentiasa mengasihani kamu).
3. Menipu dan bersumpah bagi melariskan barangan.
Dalam keghairahan mempromosi dan menarik pelanggan, pelbagai cara dan strategi dibuat dengan tujuan melariskan barang jualan. Sungguhpun perbuatan itu dibolehkan, namun sebagai perniaga yang beriman mereka sewajarnya tidak alpa dan lupa bahawa Islam melarang sebarang bentuk penipuan dalam pernigaan. Menipu ialah melakukan suatu helah untuk kepentingan diri sendiri dan memudharatkan orang lain.
Pelbagai cara penipuan boleh berlaku dalam aktiviti perniagaan seperti memalsukan tandatangan, menjual barang tiruan dengan harga yang mahal dan menipu pelanggan dengan iklan-iklan yang palsu.
Termasuk juga dalam perbuatan menipu ialah perbuatan bersumpah dengan nama Allah dengan tujuan melariskan barang jualan seperti menyatakan “demi Allah, barang ini adalah paling murah dijual di kota ini dan saya hanya menjual harga modal sahaja” sedangkan hakikat yang sebenar adalah sebaliknya.
Diriwayatkan oleh Abu Hurairah bahawa Rasulullah SAW telah melalui setimbunan makanan (yang dijual) seraya memasukkan tangannya ke dalam timbunan makanan tersebut dan mendapati jari-jemarinya basah. Rasulullah SAW bersabda, apakah semua ini wahai pemilik makanan? Lelaki itu menjawab; makanan ini telah ditimpa hujan wahai Rasulullah SAW. Seraya Rasulullah bersabda: kenapa tidak kamu jadikan yang basah itu disebelah atas makanan agar manusia dapat melihatnya, barang siapa yang menipu maka ia bukan dari agamaku (yang sempurna).
Semua perkara yang haramkan ini adalah perkara yang boleh mendatangkan mudarat dan kesulitan kepada manusia.
Sekiranya semua manusia bepegang teguh dengan ajaran dan panduan Islam, nescaya semua akan mendapat rahmat Allah SWT dan kesejahteraan di dunia dan akhirat.