Jack Ma, nama yang tidak asing lagi buat bangsa usahawan. Jika kita bukan usahawan sekalipun figura ini amat dikenali.
Bekas guru Bahasa Inggeris, Jack Ma mengasaskan Alibaba Group, salah satu perniagaan e-dagang terbesar di dunia.
Sebelum namanya gah di persada dunia menerusi empayar perniagaan yang dibina, Jack Ma telah tempuh pelbagai dugaan dan kegagalan seawal permulaan hidupnya.
Namun, kecekalan dan kesabaran menghadapi kegagalan itu menjadikannya kini usahawan berjaya di dunia.
Jack Ma atau nama sebenarnya Ma Yun lahir pada 10 September 1964 di Hangzhou, Zhejiang, China. Kedua ibu bapanya adalah seniman muzikal tradisional China.
Nama ‘Jack’ diberi sewaktu dia menjadi pemandu pelancong apabila salah seorang pelancong sukar untuk menyebut nama Cinanya.
Pada ketika itulah, Jack ma belajar bahasa Inggeris untuk memperbaiki pertuturannya.
Jom kita baca 5 rahsia kejayaan Jack Ma.
1. Kegagalan pembakar semangat
Sejak muda, kehidupan telah mengajarnya tentang pelbagai cabaran. Jack Ma berkata, dia pernah gagal sebanyak 30 kali ketika mencari kerja, gagal ujian di universiti, ditolak memasuki Universiti Harvard, dan gagal mendapat pekerjaan di KFC.
Dalam ucapannya di Universiti Stanford, Jack Ma berkata: “Tidak seorang pun yang percaya saya mampu melakukan sesuatu yang bermakna di masa depan. Saya tak pernah terfikir untuk memiliki masa depan seperti hari ini.”
Justeru baginya, pengalaman dalam kegagalan bukan sekadar menjadi pembakar semangat juangnya, malah membuatkannya setia pada visi untuk mencipta tempat di mana rakan sekerja dan kakitangannya dapat berasakan bahawa diri mereka adalah sebahagian penting dalam kewujudan Alibaba.
Kesetiaan dan pembangunan semangat berpasukan yang erat menjadi falsafah utama perniagaannya.
2. Guna kemahiran pada diri
Jack Ma mengakui yang dia tidak mempunyai kemahiran dalam bidang teknologi, tidak mempunyai ilmu pengetahuan dalam pemasaran dan tidak pandai dalam urusan undang-undang perniagaan pada permulaan perniagaannya.
Walaupun beliau tidak mempunyai semua kemahiran di atas, Jack Ma mempunyai satu kemahiran iaitu dalam memberi inspirasi kepada pekerjanya.
Beliau yang sebelum ini bekerja sebagai guru bahasa Inggeris berkebolehan memberi motivasi.
Bagi Jack Ma, jangan terlalu memikirkan tentang pelabur dan pesaing, kerana benda tersebut berada di luar kawalan kita.
Buat pekerja gembira akan menaikkan prestasi syarikat secara tidak langsung.
3. Tidak takut persaingan
Menurut Jack Ma persaingan pasti akan berlaku. Ia adalah proses yang memaksa syarikat untuk berkembang.
Justeru, pilih pihak yang paling baik untuk bersaing dengan mereka. Namun ingat, jangan sesekali mengambil hati secara peribadi.
Jangan berjuang menentang pesaing, tetapi terima kehadiran mereka dan analisis konsep teras mereka.
“Persaingan tidak akan membunuh syarikat kita. Hanya kita yang boleh membunuh syarikat kita sendiri,” tegas Jack Ma.
Jika anda mengagumi seseorang pada hari ini, cuba belajar daripada kisah perjalanan kejayaan mereka.
Mungkin, cabaran yang mereka hadapi sebelum ini lebih teruk berbanding situasi anda hari ini.
Sehubungan itu, tiada alasan untuk anda rasa kecewa sebaliknya terus mara dan berjaya!