Di laman LinkedIn, Karly Pavlinac Blackburn dari Carolina Utara berkongsi cara bagaimana sebuah kek membantunya mendapatkan temu duga dengan jenama sukan terkenal dunia, Nike.
Memohon jawatan di Valiant Labs yang merupakan cabang inkubasi dalaman baharu Nike, Karly telah didorong oleh rakan sekerjanya untuk menonjolkan diri dalam permohonan kerjanya.
Ketika itulah Karly melakukan ‘siasatan’ dan mendapati Nike mengadakan sambutan tahunan Just Do It Day. Walaupun tidak dijemput, Karly mengerah minda memikirkan cara untuk menjadi sebahagian daripada parti itu.
Dia kemudian mendapat idea untuk menghantar kek dengan resume yang dicetak di atasnya. Walau bagaimanapun, dia tidak tahu bagaimana caranya untuk menghantar ke individu yang tepat.
“Bagaimana saya boleh mendapatkan resume yang boleh dimakan di atas kek yang dihantar ke majlis yang saya tidak dijemput, kepada pasukan yang saya mahu mereka terima, daripada North Carolina hingga ke Beaverton, Oregon,” tulis Karly.
Blackburn menempah kek cetakan resume dari kedai runcit Albertsons berhampiran dengan ibu pejabat Nike di Beaverton melalui aplikasi Instacart dan bersyukur menerima pemandu yang sangat baik.
Pemandu tersebut iaitu Denise Baldwin, seorang ibu tunggal kepada tiga anak yang sedang hamil anak keempat teruja mendengar cita-cita Karly yang tinggi melangit sekaligus ingin membantunya dengan sepenuh hati.
“Saya bercakap dengan Denise melalui telefon dan dia berkata kepada saya, ‘Karly saya tahu ini penting untuk awak, dan saya akan melakukan apa sahaja yang diperlukan untuk membawa kek ini ke tempat yang sepatutnya.”
Denise menjalankan tugasnya sebaik mungkin dengan mencari orang itu di kampus seluas 300 ekar dengan lebih 75 bangunan sambil membawa kek di sebelah tangan dan mendukung anak lelakinya yang berusia lapan bulan di sebelah lagi.
Walaupun diberitahu untuk meninggalkan kek di resepsi, Denise yang berbangga dengan pesanan Instacart yang diterimanya sanggup menelefon dan menunggu orang yang sesuai turun untuk menerima kek itu.
Usaha ini ternyata tidak sia-sia kerana selain daripada Nike, kisah menarik Karly ini telah menarik minat ramai majikan di luar sana sehingga dia ditawarkan pelbagai temu duga lain selepas ceritanya tular di media sosial.