Bila sudah terlalu lama berada dalam zon selesa, pastinya anda tertanya-tanya bagaimana caranya lagi untuk mengembangkan potensi dalam diri ke peringkat yang lebih tinggi.
Dalam dunia yang bergerak pantas pada masa sekarang, penting juga untuk kita turut serta bergerak pada tempo sama dan menyerlahkan lagi potensi hebat yang ada dalam diri tidak kiralah sama ada di tempat kerja ataupun di luar. Jika bukan sekarang, bila lagi bukan?
Berikut ialah langkah-langkah untuk membantu anda berkembang secara profesional walaupun tanpa sokongan syarikat anda. Jika anda merupakan pemilik perniagaan, perkara sama boleh dilakukan agar terus kekal relevan dan maju ke depan.
5 langkah untuk anda berkembang secara profesional:
1. Sahut cabaran baharu
Ia boleh jadi sangat berisiko, memberi tekanan dan kadangkala mengelirukan. Namun, perkara yang paling penting untuk anda lakukan adalah meneruskannya dan tidak berhenti. Beginilah cara dilakukan oleh golongan profesional dan syarikat yang berjaya bertahan sehingga sekarang.
Kadangkala memang meletihkan terutamanya bila masalah baru muncul sejurus anda berjaya menyelesaikan yang terdahulu. Namun, itu bukan bererti perlu panik sebaliknya ia bermakna anda sedang bergerak ke hadapan iaitu semakin baik dan lebih kuat. Apabila peluang menghampiri anda, rebutlah ia!
2. Tambah ilmu dengan membaca
Ya, ia begitu mudah namun tak semua mampu melakukannya. Jadilah seorang yang berilmu dengan mengaut ilmu sebanyak yang mungkin selagi mampu. Baca artikel bermaklumat daripada sumber yang kukuh dan dipercayai.
Cubalah luangkan masa selama satu jam sehari untuk membaca dan menimba lebih banyak pengetahuan dalam hidup.
3. Melabur dalam pembelajaran anda
Terdapat begitu banyak webinar percuma dan boleh dikatakan hampir setiap topik tersedia. Namakan sahaja dan anda pasti akan menemuinya.
Luangkan sedikit masa setiap hari atau setiap minggu untuk menonton satu atau dua webinar. Kebanyakannya pendek, mudah difahami dan tidak mengambil masa yang lama. Sangat sesuai untuk anda yang sibuk dengan kehidupan seharian.
Dalam masa sama, bila sampai pada tahapnya jangan pula ‘sayang duit’ untuk melabur bagi mendapatkan ilmu, sistem & strategi dalam pembelajaran berbayar.
Cabaran berubah dan bertukar bila mana anda melangkau ke fasa seterusnya. Adakah cabaran ketika bisnes capai RM10,000 sama seperti mereka capai RM1 juta?
4. Dapatkan mentor
Lihat sekeliling… Mungkin anda boleh cari seseorang dalam syarikat untuk membimbing anda. Jika tidak, carilah seseorang yang boleh memimpin anda melalui LindkedIn, kenalan yang sudah berjaya atau syarikat seperti RichWorks.
Banyak manfaat dan ilmu yang dapat dipelajari jika anda berkenalan dan mula membina hubungan dengan seseorang yang berpengaruh dalam industri yang diceburi.
5. Kelilingi diri anda dengan rakan yang berfikiran sama
Jangan terlalu sibuk dengan kerja hingga lupa membina ukhwah bersama masyarakat. Berkawanlah, bekerjasama dan carilah keseronokan bersama. Ia sememangnya boleh membuka minda anda dengan lebih luas lagi.
Anda boleh bertemu rakan sebaya yang mempunyai pemikiran sama dengan menghadiri acara kelab, persatuan mahupun organisasi. Tinggalkan mereka yang toksik dan carilah rakan yang sentiasa boleh memberi sokongan kepada kita.
Kesimpulannya, sentiasalah cari ruang dan peluang untuk tingkatkan kemahiran diri bagi mengembangkan kerjaya dan kepimpinan diri. Perjalanannya mungkin sukar namun yang pasti ia semestinya berbaloi.