Tidur awal memang nampak seperti perkara yang mudah tetapi tidak semua yang boleh melakukannya.
Mungkin ramai yang tidak nampak perbezaannya namun secara tidak langsung tidur awal di malam hari boleh memberikan impak positif pada diri.
Bukan hanya andaian, perkara ini sememangnya telah disahkan sendiri oleh penyelidik di seluruh dunia mengenai kebaikan tidur awal untuk manusia.
1. Membantu menjadi lebih positif
Satu kajian pada 2014 menunjukkan bahawa orang yang tidur lewat lebih cenderung untuk berfikiran negatif. Ramai usahawan yang mengakui perkara itu, selama ini mereka sampai tidak tidur malam kerana runsing memikirkan mengenai staf, bagaimana cara untuk dapat lebih banyak pelabur dan mungkin ada yang terfikir inilah masanya untuk gulung tikar.
Jika anda memilih untuk tidur awal, ia akan meringankan segala beban di minda dan membantu menyelesaikan masalah. Aturan tidur yang lena selama 6 ke 9 jam setiap malam juga membantu anda membuang segala perkara negatif yang berlari-lari di minda.
2. Peluang untuk berjaya menjadi semakin cerah
Menurut Christopher Randler, seorang profesor biologi di Universiti Pendidikan di Heidelberg, Jerman, “Apabila bercakap tentang kejayaan perniagaan, orang yang bangun pagi mempunyai kuncinya.
“Penyelidikan saya sebelum ini menunjukkan bahawa mereka cenderung untuk mendapat gred yang lebih baik di sekolah yang membolehkan mereka ke kolej yang lebih baik dan kemudiannya membawa kepada peluang pekerjaan yang lebih baik.
“Orang yang bangun pagi juga menjangkakan masalah yang bakal terjadi namun mereka cuba meminimumkannya.
“Mereka proaktif. Banyak kajian telah mengaitkan sifat proaktif ini dengan prestasi kerja yang lebih baik dan kejayaan kerjaya yang lebih besar serta gaji yang lebih tinggi,” jelasnya.
Tambahan pula, tidur malam yang berkualiti boleh menjadikan anda lebih produktif kerana ia membantu meningkatkan tumpuan, ingatan dan menyelesaikan masalah yang kompleks.
3. Menjadi lebih gigih, bekerjasama, bersetuju, teliti dan proaktif
Menurut kajian Randler, dia telah mengenal pasti bahawa mereka yang bangun awal cenderung untuk menjadi lebih gigih, bekerjasama dan teliti. Ini semua adalah sifat positif yang dimiliki oleh pemimpin dan orang yang berjaya kerana kualiti ini menjadikan mereka lebih disukai, berdisiplin, menghargai dan bersemangat untuk belajar.
4. Tubuh badan anda lebih sihat
Jika anda bekerja sendiri atau mempunyai bisnes kecil seperti kebanyakan daripada kita, perkara paling akhir yang anda mahu elakkan semestinya adalah jatuh sakit. Jika sakit, anda tidak boleh bekerja dan duit tidak dapat dicari.
Bagi mengelakkannya terjadi, anda bolehlah mengamalkan bangun tidur dengan awal. Hasil kajian mendapati bahawa tidur yang cukup menguatkan sistem imun anda yang merupakan pencegahan yang sangat baik terhadap sebarang wabak yang berlaku di sekeliling.
Kedua, mendapat rehat yang secukupnya membuatkan tenaga anda cukup untuk bersenam. Bangun awal juga memudahkan anda untuk mencuri masa bagi bersenam di pagi hari sebelum menghadapi dunia realiti.
Jika anda memilih untuk bangun lewat, pastinya anda akan terlepas waktu sarapan pagi. Perkara ini akan membuatkan anda mengidam pilihan makanan yang tidak sihat apabila anda berasa lapar nanti.
5. Mengurangkan stres & menjadikan perasaan lebih bahagia
Satu jam pertama atau lebih di pagi hari menetapkan momentum dan ‘angin’ anda sepanjang hari. Kajian yang dijalankan oleh Dr Joerg Huber dari Universiti Roehampton di London mendapati bahawa orang yang bangun pagi cenderung menjadi lebih sihat dan lebih gembira serta mempunyai indeks jisim badan (BMI) yang lebih rendah.’
Anda juga tidak akan tergesa-gesa untuk bersiap ke tempat kerja malah ada waktu yang lebih untuk diri sendiri.
6. Kurang membazir waktu
Kajian pada 2008 mendapati bahawa mereka yang bangun awal tidak berlengah-lengah seperti orang yang berjaga kemudian.
Kenyataan ini tidak sepatutnya mengejutkan kerana mereka akan menjadi proaktif dan mempunyai masa yang lebih tenang pada waktu pagi untuk menyelesaikan tugasan. Apabila anda tidak menunggu sehingga saat akhir, anda mengurangkan tekanan dan boleh tidur di malam hari tanpa bimbang.
7. Wajah lebih berseri & menarik
Terdapat satu kajian menarik dari Universiti Stockholm yang mendapati bahawa mereka yang kelihatan letih berkemungkinan dianggap tidak sihat dan kurang menarik.
Ia bukanlah suatu hal yang besar namun jika anda mahu buat tanggapan pertama yang baik dan menarik kepada bakal pelanggan atau bakal pelabur, pastinya anda ingin serlahkan diri dan kelihatan sebaik mungkin di hadapan mereka.