5 Balasan Si Bakhil

5 Balasan Si Bakhil

Anda peminat filem karya Allahyarham Tan Sri P Ramlee?

Ingat tak watak Haji Bakhil dalam filem Labu Labi yang dilakonkan dengan jayanya oleh Udo Omar.

Dalam filem itu, Haji Bakhil seorang tua yang sangat kedekut.

Sifat bakhil merupakan sifat mazmumah yang dibenci oleh Allah. Orang yang besifat bakhil tidak rela memberikan apa yang dimilikinya kepada orang lain.

Di dalam Al-Quran Allah SWT mengancam golongan yang bersifat bakhil sebagaimana firman-Nya dalam surah an-Nisaa’ ayat ke-37 yang bermaksud, “Orang-orang yang bakhil dan menyuruh manusia supaya bakhil serta menyembunyikan apa-apa jua yang Allah berikan kepada mereka daripada kurniaan-Nya dan Kami telah sediakan bagi orang-orang kufur (dengan nikmat Allah) azab seksa yang amat menghinakan.”

Antara hadis yang menjelaskan penderitaan yang bakal dialami oleh orang yang seperti berikut:

1.Dipatuk ular pada hari kiamat

Diriwayatkan daripada Abu Hurairah bahawa Rasulullah saw bersabda, “Barang siapa yang diberi harta oleh Allah Azza wa Jalla, lalu dia tidak menunaikan zakatnya, maka hartanya akan berubah pada hari kiamat menjadi seekor ular berkepala putih serta memiliki dua titik hitam di atas matanya atau dua taringnya. Kemudian ular itu akan mematuknya dengan kedua-dua tulang rahangnya pada hari kiamat, lalu berkata, Akulah harta simpananmu, akulah harta simpananmu.” (HR Imam al-Bukhari).

2. Dihalang daripada masuk syurga

Diriwayatkan daripada Abu Bakar as-Siddiq bahawa Rasulullah saw bersabda, “Tidak akan masuk syurga orang yang bakhil, penipu, pengecut, dan tidak pula orang yang berperangai kasar.” (HR Imam Ahmad)

3. Didoakan kehancuran oleh malaikat

Diriwayatkan daripada Abu Hurairah bahawa Rasulullah saw bersabda, “Tidak ada suatu hari pun ketika seorang hamba melewati paginya kecuali akan turun dua malaikat kepadanya lalu salah satunya berkata; Ya Allah! Berikanlah pengganti kepada sesiapa yang menafkahkan hartanya.” Sedangkan malaikat yang berikutnya berkata, Ya Allah! Berikanlah kehancuran kepada orang yang menahan hartanya (bakhil).” (HR Imam al-Bukhari)

4. Allah bakhil pada yang bakhil

Diriwayatkan daripada Asma’ binti Abu Bakar bahawa Rasulullah saw bersabda kepadanya, “Berinfaklah atau bersedekahlah! Dan janganlah kamu menahan sebahagian daripada hartamu, kalau tidak, Allah akan menyempitkan rezekimu. Dan janganlah kamu bakhil, kalau tidak, Allah akan bakhil terhadapmu.” (Hadis Riwayat Imam Ahmad)

5. Disenaraikan dalam golongan yang dibenci Allah

Diriwayatkan daripada Abu Dzar bahawa Rasulullah s.a.w bersabda, “Sesungguhnya Allah mencintai tiga golongan dan membenci tiga golongan. Allah swt membenci lelaki tua yang berzina, orang fakir yang sombong dan orang berharta yang bakhil.” (HR Imam Ahmad)

Orang yang bersifat bakhil adalah golongan yang MENGINGKARI NIKMAT Allah. Mereka sengaja menyembunyikan nikmat yang Allah berikan kepada mereka serta menyekat tangan daripada bersedekah dan menderma.

Bangsa usahawan yang berjaya, janganlah sesekali bersifat bakhil. Berkongsilah rezeki dan nikmat yang Allah kurniakan, itu lebih besar ganjaran dan nikmatnya.

Artikel terbaru

1 Comment

  • Leraning point
    1. amalakan bersedekah
    2. Tidak masuk syurga orang yang bakhil
    3. Allah akan bakhil kpd orang yg bakil
    4.ingatlah akhirat nanti allah akan di
    datangi dua ular yg mematuk rahang
    nya..na’uzubilah
    5. Moga rezeki yg allah kurniakn pd kita
    Di berkati dunia akhirat
    aaminn

Leave a Reply