Apa yang ada dalam fikiran ada mengenai hari Isnin?
Ada yang menyebut monday blues atau kemurungan Isnin.
Adakah anda memulakan hari Isnin dengan penuh keceriaan, senyuman dan semangat membara setelah bercuti di hujung minggu?
Untuk menggambarkan betapa muramnya Isnin, kajian membuktikan bahawa penduduk di United Kingdom mula tersenyum seawal 11.16 pagi setiap hari Isnin!
Separuh bilangan pekerja lewat tiba ke pejabat pada hari Isnin.
Kajian itu dijalankan oleh syarikat pengeluar makanan, Marmite berdasarkan responden daripada United Kingdom pada tahun 2011.
Atas sebab tertentu, semua orang menganggap hari Isnin adalah hari yang SUKAR!
Mari kita tukar persepsi hari Isnin yang membosankan kepada hari Isnin yang lebih bermakna.
MenThor Datuk Wira Dr Azizan Osman pernah bawa topik mengenai topi. Topi apa yang anda ingin pakai pada pagi atau hari ini?
Ia terletak kepada diri kita sendiri untuk pilih topi keceriaan, kegembiraan ataupun topi lemau atau tak bersemangat untuk mulakan hari anda.
Meskipun ada masanya kita berada dalam keadaan bersedih, atau ada sesuatu tak kena, tak mengapa untuk bersedih sebentar namun jangan biarkan ia mempengaruhi keseluruhan hari anda.
5 tips menceriakan hari Isnin anda:
1. Meneliti kekuatan dan kelemahan diri
Meneliti semula kekuatan dan kelemahan diri yang ditunjukkan sepanjang minggu lepas sebelum memulakan pekerjaan atau pembelajaran minggu yang akan datang. Apakah yang boleh dipelajari dari penelitian berkenaan?
2. Membangunkan potensi diri
Setiap orang mempunyai potensi diri yang tertentu yang boleh diolah dan diberi tenaga semula agar memberi manfaat kepada diri sendiri dan organisasi.
Jika seseorang itu mempunyai tahap pemikiran kritis yang tinggi, gunakan potensi berkenaan untuk memberi idea-idea segar untuk manfaat organisasi.
3. Membina jaringan positif
Jaringan yang bermanfaat atau memberi kesan positif kepada diri dan organisasi perlu disemarakkan.
Menghubungi rakan-rakan baharu atau yang sedia dan bertukar-tukar pendapat atau idea baru yang mempunyai nilai tambah terhadap tahap produktiviti dan pencapaian mingguan adalah perlu.
4. Mengurang atau mengelakkan risiko yang menyebabkan produktiviti yang rendah
Produktiviti yang rendah boleh berlaku dalam dunia pekerjaan akibat daripada faktor risiko yang tidak dikawal. Umpamanya kegagalan untuk merancang aktiviti pengeluaran produk secara mingguan adalah salah satu contoh risiko psikologi yang sepatutnya dapat dielakkan pada minggu berkenaan agar emosi pekerja tidak berada dalam situasi yang tertekan.
5. Perancangan jangka masa panjang
Perancangan bulanan atau tahunan bukannya perancangan mingguan mungkin berdepan dengan emosi kemurungan Isnin.
Kemurungan Isnin tidak seharusnya menjadi penghalang kepada kemajuan bulanan dan tahunan seseorang.
Jangan biarkan kemurungan Isnin menghantui anda.
Jangan menunggu hingga 11.16 pagi untuk melontarkan senyuman. Jadikan hari Isnin dan hari-hari lain dengan penuh kecerian, kegembiraan yang akhirnya membawa kejayaan.
Walau di mana anda berada, mari kita kekal positif untuk diri sendiri, keluarga dan rakan-rakan.
Jom mulakan hari dengan senyuman. =)