Pejam celik, sekejap saja kita sudah memasuki 10 malam terakhir Ramadan kali ini. Adakah kita sudah menggunakan waktu bulan mulia ini dengan sebaik-baiknya?
Inilah masa, untuk kita meningkatkan lagi amal dan ibadat untuk terus mendapatkan keampunan, kerahmatan dan keberkatan daripada Allah SWT.
Apatah lagi, penghujung bulan Ramadan yang dinanti-nantikan ini kerana terdapat satu malam yang lebih baik dari 1,000 bulan iaitu bersamaan lebih kurang 83 tahun iaitu Lailatulqadar.
Firman Allah SWT:
“Malam kemuliaan itu lebih baik daripada seribu bulan.” (Surah al-Qadr, ayat 3)
Ia bermaksud maksud sesiapa sahaja yang beribadah pada malam itu, mereka akan memperolehi pahala selama 1,000 bulan atau 83 tahun.
Contohnya, kalau kita bertarawih dan berzikir pada 10 malam terakhir Ramadan dan malam itu adalah Lailatulqadar, ia seumpama kita bertarawih dan berzikir selama 83 tahun tanpa henti. Malah ia lebih baik daripada 1,000 bulan.
Bagaimanapun, kita tidak mengetahui bila sebenarnya malam Lailatulqadar itu. Hakikatnya, hanya ALLAH SWT Yang Maha Mengetahui bilakah tarikh dan waktunya yang sebenar.
Tapi Rasulullah SAW memberi beberapa isyarat yang menyatakan bahawa malam Lailatulqadar berlaku pada 10 akhir Ramadan daripada malam-malam yang ganjil.
Sabda Rasulullah SAW: “Carilah malam al-Qadar pada sepuluh malam terakhir pada malam yang ganjil.” (Riwayat Ahmad)
Amalan pada Lailatulqadar atau 10 malam terakhir Ramadan :
Berikut doa yang dianjurkan Nabi Muhammad SAW untuk dibaca apabila beribadah pada 10 malam terakhir Ramadan.
Dalam sebuah hadis, Saidatina ‘Aisyah RA berkata: “Aku bertanya: “Ya Rasulullah, apa pendapatmu jika aku tahu bilakah malam Lailatulqadar terjadi, apa yang harus aku ucapkan?” Baginda SAW menjawab: “Ucapkanlah: “Ya ALLAH, Engkau Maha Pengampun dan mencintai orang yang meminta ampun, maka ampunilah aku.” (Riwayat at-Tirmizi dan Ibnu Majah)
Ketika Rasulullah SAW ditanya oleh ‘Aisyah RA apakah amalan yang patut dilakukan jika bertemu Lailatulqadar? Baginda SAW menyarankan supaya perbanyakkan doa mohon keampunan, dikurniakan syurga dan dijauhkan azab neraka.
Selain itu, kita digalakkan supaya mengejutkan ahli keluarga untuk bersama-sama menghidupkan malam dengan amal ibadah.
Moga kita semua akan dipertemukan dengan Lailatul qadar pada Ramadan kali ini. Kita hanya perlu istiqamah atau konsisten melaksanakan amalan ibadat yang dianjurkan setiap malam.
InsyaAllah, satu malam itu adalah Lailatulqadar dan kita akan peroleh keberkatan dan kemuliaannya.
1 Comment
In syaa Allah