Ada orang yang berpuasa namun berada dalam kerugian dalam bulan Ramadan ini. Hal ini kerana puasa itu bukannya sekadar menahan lapar dan dahaga, ia lebih daripada itu bagi mendapatkan keampunan, kerahmatan dan keberkatan Allah SWT.
Apa yang penting kita perlu berbalik kepada makna dan erti sebenar puasa itu sendiri. Menurut bahasa, puasa ialah menahan diri daripada melakukan sesuatu, seperti makan, minum dan bercakap.
Puasa dari segi syarak pula ialah menahan diri daripada sebarang perkara yang membatalkannya, bermula dari terbit fajar hingga matahari terbenam dengan niat puasa.
Sehubungan itu, ada banyak faktor mengapa maksiat masih berlaku di bulan mulia ini walaupun syaitan sudah dibelenggu ketika ini.
Daripada Abu Hurairah R.A, sabda Rasulullah SAW:
إِذَا جَاءَ رَمَضَانُ فُتِحَتْ أَبْوَابُ الْجَنَّةِ وَغُلقَتْ أَبْوَابُ النَّارِ وَصُفِّدَتِ الشَّيَاطِينُ
Maksudnya: “Apabila menjelmanya Ramadan, nescaya dibuka pintu syurga, ditutup pintu-pintu neraka dan dibelenggu syaitan-syaitan.”
(Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Hadis di atas memberi gambaran bahawa bulan Ramadan merupakan bulan suci dan bersih daripada segala perbuatan dosa dan maksiat. Sebahagian ulama berpendapat, perkataan ‘dibelenggu’ hanyalah satu kiasan dan bukannya berlaku secara zahir nas tersebut.
Imam Nawawi menjelaskan kalimah ‘dibelenggu’ merujuk kepada keadaan saluran darah orang berpuasa yang akan menjadi semakin sempit. Bila ini berlaku,maka ia akan menyukarkan syaitan untuk menghasut manusia melakukan maksiat.
Sebenarnya, ada banyak faktor menyebabkan ada sesetengah kita masih melakukan maksiat dan lalai dengan tanggungjawab dan kewajiban yang ada. Kita tidak mahu, puasa yang dibuat nanti hanyalah sia-sia disebabkan tunduk dengan nafsu dalam diri .
Sukar bila maksiat dilakukan sudah menjadi kebiasaan. Mereka terbiasa melakukan dosa dan maksiat walaupun tiada hasutan syaitan.
Sehubungan itu, marilah kita semak diri ini sebentar dalam Ramadan yang masih berbaki sekitar 13 hari lagi.
4 golongan yang rugi dalam bulan Ramadan :
1. Orang yang tak bersahur
Orang yang berada dalam keadaan rugi dalam bulan Ramadan adalah mereka tak bersahur sedangkan di dalamnya ada keberkatan. Rasulullah SAW sendiri memerintahkan kita agar jangan meninggalkan sahur.
Sabda Rasulullah: “Sesungguhnya bersahur untuk mengandungi keberkatan maka janganlah kamu meninggalkan bersahur! Sekalipun kamu sekadar meminum seteguk air kerana sesungguhnya Allah dan Malaikat berselawat (mendoakan) orang yang bersahur.”
2. Orang bangun sahur tetapi tidak solat dua rakaat
Orang yang bangun sahur, tetapi tidak menunaikan solat dua rakaat sebelum itu. Sedangkan waktu paling mustajab untuk seseorang itu berdoa adalah di penghujung sepertiga malam.
Sabda Rasulullah: “Sesungguhnya Allah turun ke langit dunia setiap malam pada satu pertiga bahagian malam yang terakhir.
Lalu Allah bertanya: ‘Siapa yang berdoa kepadaKu nescaya Aku kabulkan! Siapa yang meminta kepadaKu nescaya Aku perkenankan! Siapa yang meminta ampun kepadaKu sudah tentu Aku ampunkan. Demikianlah keadaannya sehingga terbit fajar.'”
Hadis sahih ini diriwayatkan oleh Imam Bukhari menggambarkan kepada kita bahawa waktu sepertiga malam yang terakhir adalah waktu doa kita sangat rapat dengan Allah.
Ruginya, ramai di antara kita sekadar bangun bersahur dan tidak menunaikan solat sunat apatah lagi solat fardhu.
3. Melakukan maksiat
Orang yang paling rugi dalam bulan Ramadan.
Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Wahai orang beriman, diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas orang sebelum kamu, mudah-mudahan kamu bertakwa.” (Surah al-Baqarah, ayat 183)
Menurut Saidina Umar Abdul Aziz, takwa itu bukan sekadar puasa pada siang hari dan bangun qiamullail pada malam hari, tetapi takwa meninggalkan perkara yang diharamkan Allah dan melakukan segala kewajipan.
4. Orang berbuka tetapi tidak berdoa
Mungkin ada di kalangan kita yang begitu teruja nak berbuka hingga terlupa nak berdoa.
Ia merupakan satu kerugian kepada mereka sedangkan waktu yang paling sesuai untuk kita memperbanyakkan berdoa kerana ia dikatakan waktu yang mustajab.
Sabda Rasulullah yang mafhumnya: “Sesungguhnya bagi orang yang berpuasa itu, ada satu waktu buat dirinya di mana sekiranya dia berdoa maka doanya tidak akan ditolak iaitu waktu ketika dia hendak berbuka.
Dalam hadis yang diriwayatkan al-Imam al-Tirmizi pula, Rasulullah menjelaskan terdapat tiga kumpulan yang mana doa mereka tidak akan ditolak iaitu: Pemimpin yang adil, orang yang berpuasa ketika dia hendak berbuka dan orang yang dizalimi.
Sehubungan itu, marilah kita berusaha menjaga dan mempertingkatkan amal ibadat dalam bulan Ramadan ini. Kita pastinya tidak mahu puasa yang dilakukan hanya mendapat lapar saja.
Jaga percakapan, penglihatan, pendengaran dan perbuatan kita agar tak mengurangkan atau menghapuskan pahala puasa.
Dalam hadis lain riwayat an-Nasa’i, Ibn Majah dan al-Hakim, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Betapa banyak orang yang berpuasa tetapi ia tidak mendapatkan sesuatu daripada puasanya itu melainkan lapar. Dan betapa banyak orang yang melakukan solat malam tetapi ia tidak mendapatkan sesuatu daripada solat malamnya itu kecuali tidak tidur.”
1 Comment
MULA sekarang dibulan Ramadhan untuk elak kerugian menambah pahala dengan mudah